Isnin, 1 April 2013

Pengalaman Yang Tidak Dapat Saya Lupakan

               Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Burung-burung berkicauan merentasi awan ke awan. Cuaca beginilah yang amat dinantikan oleh ayah saya. Dia telah lama merancang untuk pergi ke Pantai Pasir Ris. Pintu hati saya diketuk kegembiraan. Sepantas kilat, saya dan adik saya, Saif, bersiap sedia untuk berkelah. Kami meletakkan baju mandi yang baru dibeli semalam ke dalam beg yang berwarna merah macam biji saga. Ibu saya pun membawa makanan-makanan yang dimasak olehnya pada pagi itu. Selepas bersiap sedia, kami pun memasuki kereta ayah saya yang berjenama ‘Honda’ itu.
              Tidak lama kemudian, kami pun sudah tiba di destinasi kami. Dengan tidak membuang masa, Ibu, ayah, adik saya dan saya membawa keluar barang-barang dari kereta kami seperti makanan dan minuman untuk sarapan kami, tikar untuk dialas supaya kami ada tempat untuk duduk dan berehat dan baju mandi untuk kami mandi laut. Kami dengan segera mencari tempat yang redup untuk kami duduk dan berehat. Selepas memilih tempat duduk di tepi sebatang pokok yang besar macam gajah, ibu mengeluarkan makanan dan minuman yang dibawa. Saya dan adik saya menukar ke pakaian mandi kami untuk kami mandi di tepi pantai. Bapa saya pula membaca surat khabar yang dibawanya.
               Dalam sekelip mata, saya dan Saif sudah pun menyelam ke dalam air yang sejuk tetapi menyegarkan itu. Keceriaan terpancar di muka kami. Kami berasa seronok bermandi-manda di situ. Tidak jauh dari situ, ada dua orang adik beradik yang juga sedang mandi. Kami rasa tidak ada perkara yang boleh merosakkan kegembiraan kami pada hari itu.
Tiba-tiba, salah seorang adik beradik di situ terkapar-kapar kelemasan. Dia menjerit meminta tolong. Abangnya pula sedang terjerit-jerit macam orang hilang akal kerana dia benar-benar ketakutan. Dia tidak mahu kehilangan adiknya. Keadaan menjadi rumit apabila tangan adiknya sudah mula layu.
               Saya terus memberitahu ayah saya tentang kejadian itu kerana tiada orang ingin menolong budak itu. Selepas ayahku sedar akan kejadian itu, dia dengan segera menghulurkan bantuan.  Ayah saya terus meletak surat khabar yang dibacanya di atas tikar lalu cuba menyelamatkan budak itu. Nasib baik ayah saya pandai berenang. Ayah saya berenang menuju ke arah budak lelaki itu dan berjaya mencapai kedua-dua belah tangan budak itu lalu naik ke darat.
                 Selepas kedua-dua orang budak itu diselamatkan. Ibu bapa mereka berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada ayah saya.  Sebagai tanda terima kasih, ibu bapa budak itu memberi wang. Ayahku pula menolaknya kerana dia menolong dengan ikhlas. Ayah saya memang putih hati. Setelah semuanya selesai, saya dan Saif terus bersiap untuk pulang ke rumah. Saya dan Saif masih tidak boleh melupakan kemalangan itu. Ayah saya menasihati kami supaya belajar berenang dan lebih berhati-hati apabila berada di tepi pantai.
Karya:    Nur Sa’idah Syahirah Bte Saifulnizam
                 Sekolah Rendah Woodgove
                 Pri 5F

Selasa, 22 Mei 2012

Peristiwa Yang Tidak Dapat Dilupakan

            Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon menari ditiup angin. Angin yang agak kencang itu membuat rambut Ibrahim kusut-masai. Apa yang terjadi satu bulan yang lalu bermain di kotak fikiran Ibrahim. Peristiwa itu bermula begini.
            Hari itu hari Isnin. Ibrahim dan dua orang kawan baiknya, Ali dan Ahmad sedang berjalan pulang dari sekolah selepas makan bersama-sama. Mereka semua kacak macam putera. Semasa mereka berjalan, mereka melambung bola. Mereka asyik bermain. Mereka segirang burung camar yang terbang bebas.
            Tiba-tiba, bola yang dilempar kepada Ibrahim terjatuh daripada tangannya. Bola itu terpelantun ke arah jalan raya. Tiga orang kawan itu berasa terperanjat. Mereka tidak tahun apa yang harus mereka melakukan. Mereka boleh mendengar jantung mereka berdegap-degup. Ibrahim terus bergegas ke arah bola itu.
            “Jangan Ibrahim! Jangan!” teriak Ahmad dan Ali kepada Ibrahim.
            Mereka tidak mahu sebuah kemalangan berlaku tetapi Ibrahim degil macam keldai. Nasihat kawannya masuk ke telinga kanan dan keluar ke telinga kiri.
            “Boom!” sebuah kereta Honda melanggar Ibrahim.
            Pemandu kereta itu terperanjat. Muka Ali dan Ahmad pucat macam mayat. Pakaian seragam sekolah Ibrahim yang putih macam kapas menjadi merah. Pemandu kereta itu keluar dari keretanya lalu menelefon ambulans.
Tidak lama kemudian, siren ambulans kedengaran. Paramedik-paramedik menuju ke arah Ibrahim dan membawanya ke hospital yang berdekatan. Ibrahim terlantar di hospital selama dua minggu. Ibrahim amat kesal dengan perbuatannya. Dia sepatutnya mendengar nasihat kawan-kawannya. Dia berjanji tidak akan melakukan perbuatan yang tidak mendatangkan faedah itu lagi. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Ibrahim tidak boleh melupakan peristiwa itu.

Ditulis oleh: Ishuarwin Kaur Khosa
Kelas: P4G

Jumaat, 24 Februari 2012

Akibat Tidak Mendengar Nasihat (1)

Haziq dan Azlan sedang bermain bola sepak di ruang tamu. Ibu mereka telah pergi ke pasaraya untuk membeli-belah. Sebelum ibu mereka pergi, dia sempat mengingatkan kedua beradik itu supaya jangan bermain bolasepak di rumah. Walau bagaimanapun, mereka tidak mengendahkan nasihat ibu mereka dan terus bermain dengan gembiranya.

Ketika mereka sedang asyik bermain, Haziq tersepak bola dengan kuat. Bola itu melayang dan terlanggar pasu di atas meja. Pasu itu jatuh dan pecah berderai. Mereka berasa cemas kerana pasu itu pasu kegemaran milik ibu. Mereka tidak tahu membuat apa-apa. Dalam suasana tergopoh-gapah, Azlan terpijak kaca dan kakinya berdarah. Dia mengerang kesakitan dan tidak berhenti menangis. Haziq cuba mengubati luka Azlan dengan menampal sekeping plaster.

Tiba-tiba, mereka terdengar bunyi jejak langkah seseorang mendekati rumah mereka. Pintu pun terbuka dan ibu tercegat di depan rumah mereka. Ibu tersentak apabila melihat keadaan pasu yang telah pecah dan kaki Azlan berlumuran darah.

Walaupun ibu sangat marah, ibu tetap cuba mengurangkan kesakitan Azlan. Ibu memberi ubat supaya Azlan dapat menahan kesakitannya. Sebagai hukuman, ibu melarang Azlan dan Haziq bermain komputer pada masa lapang selama sebulan.

Ditulis oleh: Auni Afiqoh (2012)

Kelas: P4F

Akibat Tidak Mendengar Nasihat (2)

Hari itu hari Ahad. Hujan turun dengan lebatnya. Ibu bapa Rusyid dan Ali telah menghadiri satu jemputan majlis perkahwinan jiran mereka. Kedua-dua anak mereka, Rusyid dan Ali tidak ikut bersama. Ibu telah menasihati Rusyid untuk menjaga adiknya dan jangan bermain bolasepak di dalam rumah. Rusyid hanya mengangguk kepalanya. Selepas ibu bapa mereka keluar, mereka menonton televisyen tetapi tidak ada rancangan yang menarik. Mereka berasa bosan. Mereka bermuda bermain bolasepak di ruang tamu. Mereka berasa segirang burung camar yang terbang bebas ketika bermain.

Sedang mereka asyik bermain bolasepak, dengan tidak sengaja, Rusyid menendang bola dengan kuat. Dia tercegat melihat lampu sisi kesayangan ibu terjatuh dan pecah. Mulut mereka ternganga apabila melihat keadaan lampu sisi ibu mereka.

Tiba-tiba, Ali terpijak kaca kerana dia mahu menyimpan bolanya. Dia menangis teresak-esak. Rusyid berasa gelisah seperti cacing kepanasan.

Pada saat itu, loceng pintu berbunyi. Dengan hati yang berat, Rusyid membuka pintu untuk ibu bapanya. Ibu bapa Rusyid terperanjat melihat apa yang telah terjadi. Dengan segera, ibu merawat kecederaan pada kaki Ali. Dia membalut kaki Ali sambil memarahi Rusyid kerana cuai menjaga adiknya dan tidak mendengar nasihatnya. Ibu menyuruh Rusyid menyapu lantai. Rusyid menyesal dan berjanji pisang tidak akan berbuah dua kali.

Ditulis oleh: Ishuarwin Kaur Khosa (2012)

Kelas: P4G

Peristiwa Ibu Terlantar di Hospital (1)

Satu bulan yang lalu, ibu Ali telah jatuh sakit. Ibunya mengalami demam panas yang sangat teruk. Dia terus dimasukkan ke dalam hospital. Semasa dia berada di hospital, ibunya kelihatan sangat letih dan air mukany sangat muram. Dia sibuk memikirkan hal-hal di rumah. Walaupun doktor menasihatinya untuk rehat, dia masih risau dengan keadaan di rumah yang tidak terjaga.

Apabila Ali menziarahi ibunya, dia berasa sedih. Hatinya bagaikan kaca jatuh ke batu apabila melihat keadaan ibunya yang sangat uzur. Dia tahu ibunya risau tentang keadaan rumah mereka. Dia berazam untuk membuat kerja rumah supaya ibunya tidak risau lagi.

Apabila Ali pulang, tanpa berlengah dia terus membuat kerja rumah. Dia mencuci pinggan mangkuk, menyapu dan mengemop lantai. Semua baju kotor dicucinya. Dia memastikan rumah mereka bersih dan teratur. Dia berharap ibunya akan berasa gembira apabila ibunya pulang nanti. Dia pasti ibunya akan sembuh setelah mengetahui keadaan rumah mereka.

Selepas satu minggu berada di hospital, ibunya pulang ke rumah. Ibu Ali sangat ceria apabila di melihat keadaan rumahnya yang rapi. Ibu Ali sangat bangga dengan kelakuan Ali kerana dapat menjaga rumah mereka dengan baik. Ali pula sangat bersyukur dapat menggembirakan ibunya. Dia berharap agar dia dapat terus menolong ibunya dengan kerja rumah. Dia tahu bahawa alah bisa tegal biasa dan menolong ibunya akan menjadi satu kebiasaan.

Ditulis oleh: Auni Afiqoh (2012)

Kelas: P4F

Peristiwa Ibu Terlantar di Hospital (2)

Apa yang terjadi dua bulan yang lalu masih bermain di kotak fikiran Hakim. Itulah hari yang Hakim telah belajar berdikari. Peristiwanya bermula begini…

Hari itu hari Selasa. Ibu Halim, Puan Hasnah, telah jatuh sakit. Ibunya terlantar di Hospital Kandang Kerbau. Doktor memberitahu Hakim bahawa ibunya keracunan makanan dan terpaksa ditahan di hospital selama beberapa hari. Barulah Hakim teringat bahawa ibunya telah makan epok-epok basi pada hari semalamannya. Doktor memesan bahawa ibunya harus banyak berehat dan makan ubat. Hakim terasa amat sedih bagai kaca terhempas ke batu setelah melihat muka ibunya pucat macam mayat.

Hakim ialah seorang anak tunggal. Ayahnya, Encik Zukri, berada di Jakarta kerana ada urusuan perniagaan dan hanya akan pulang dalam masa dua minggu lagi. Setiap hari, selepas sekolah, Hakim akan menziarahi ibunya di hospital. Dia akan membawa buah tangan untuk ibunya. Dia akan memotong beberapa biji buah epal untuk disuapkan ibunya.

Dengan hati yang berat, dia akan melangkah pulang ke rumah. Ayahnya menelefon dari Jakarta. Hakim memberitahunya apa yang telah terjadi. Ayahnya berasa risau. Dia memesan kepada Hakim supaya menjaga dirinya. Ayahnya berkata bahawa dia akan balik secepat mungkin. Hakim rajin seperti semut. Dia mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk dan membasuh pakaian.

Seminggu kemudian, ibu Hakim pulih. Hakim terlalu gembira ibu pulang sampai menitiskan air mata. Hakim ada akal untuk memasak bubur untuk ibunya. Pada hari itu juga ayahnya pulang. Ibu memberitahu ayahnya bahawa Hakim ialah seorang anak yang bertanggungjawab. Hakim tajam akal menguruskan kerja rumah. Semenjak hari itu, ibunya tidak akan membeli makanan daripada penjaja yang tidak berlesen lagi.

Ditulis oleh: Ishuarwin Kaur Khosa (2012)

Kelas: P4G

Peristiwa Ibu Terlantar di Hospital (3)

Semenjak Puan Shafirah dimasukkan ke dalam hospital, anaknya, Haikal, mahu membuat kerja rumah seperti mencuci pinggan mangkuk dan mengemas biliknya. Dia ambil berat terhadap ibunya yang sedang sakit di hospital kerana keracunan makanan.

Sebenarnya, kawan-kawan Puan Shafirah menceritakan kepadanya tentang sebuah pusat penjaja di Vista Point. Setelah dia mendengar cerita itu, dia terus pergi ke Vista Point untuk mencuba makanan di situ. Puan Sharifah membawa Haikal pergi ke pusat penjaja itu.

Apabila Haikal melihat pusat penjaja itu, dia berasa sangat terperanjat melihat keadaan di situ. Haikal memberi nasihat kepada ibunya supaya jangan makan di situ tetapi ibunya keras hati dan tidak mahu mendengar nasihatnya.

Apabila ibunya menyuruh Haikal untuk memesan makanan untuk dirinya, Haikal tidak mahu kerana dia tahu tempat itu kotor.

Keesokan harinya, Puan Shafirah menghidapi keracunan makanan. Dia asyik membuang air besar dan muntah-muntah. Haikal terus memberitahu ibunya yang ibunya harus pergi ke klinik.

Mereka terus pergi ke klinik yang berdekatan dengan rumah mereka. Selepas berjumpa dengan doktor, doktor itu memberi sepucuk surat kepada ibunya untuk memberitahunya yang dia harus pergi ke hospital dengan segera. Ibunya terus pergi ke hospital.

Sudah lama ibunya berada di dalam hospital. Setiap hari Haikal akan menziarahi ibunya. Dia akan memberi buah tangan kepada ibunya. Dia juga berasa kasihan terhadap ibunya kerana ibunya harus makan banyak ubat.

Ibunya boleh balik dalam masa dua hari lagi. Apabila Haikal mendengar berita itu, dia berasa sangat gembira dan berjanji kepada doktor yang dia akan menjaga ibunya dengan baik. Ibunya juga telah pelajari bahawa dia tidak akan makan di tempat yang kotor lagi.

Kelas: Ditulis oleh: Madinah Bte Ramli (2012)

Kelas: P4C