Isnin, 11 April 2011

Peristiwa Yang Tidak Dapat Saya Lupakan

“Boom…!”

“Bunyi apakah itu?” soal Cikgu Rauf.

Kami terkejut mendengar bunyi dentuman yang menggegarkan bilik darjah. Cikgu Rauf bergegas keluar dari bilik darjah. Kami turut mengikutinya dari belakang. Kepulan asap dapat dilihat dari bilik Sains. Api dapat dilihat merebak dengan pantas. Loceng kecemasan berdering dengan kuat. Semua murid panik. Ada yang menjerit ketakutan. Guru-guru bilik darjah masing-masing cuba menenangkan murid mereka.

Sekonyong-konyong, kedengaran suara jeritan dari bilik yang terbakar.

“Tolong! Tolong! Kami terperangkap di sini!”

Oleh kerana bilik darjah kami terletak paling dekat dengan bilik Sains, saya bersama Cikgu Rauf, Ahmad dan Ali cuba memberi bantuan. Saya berlari mengambil pemadam api dari bilik yang terdekat. Saya cuba memadamkan api kebakaran itu. Api semakin membesar. Dengan pantas Cikgu Rauf mengambil pemadam api itu daripada saya lalu menghayunkannya ke arah tingkap.

“Cepat, tolong saya keluarkan mereka!” arah Cikgu Rauf seterusnya.

Saya dan kedua-dua orang kawan saya itu menarik keluar Mak Cik Rosie, seorang pembersih yang baik hati dan Cikgu Ester dari tempat kejadian. Pada masa yang sama, ahli bomba, polis dan ambulans pun tiba. Tangan dan kaki Cikgu Ester melecur. Mak Cik Rosie pula sesak nafas akibat terhidu asap yang tebal itu. Tangan Cikgu Rauf pula terkena serpihan kaca. Mereka dibawa ke ambulans. Ahli bomba dapat memadamkan api kebakaran itu dalam masa beberapa minit. Kami diperiksa oleh pegawai paramedik untuk memastikan kami tidak apa-apa. Cikgu Rauf, Cikgu Ester dan Mak Cik Rosie pula dibawa ke hospital.

Sementara itu, semua guru, murid dan kakitangan sekolah dikehendaki berhimpun di padang sekolah. Cikgu Ester terpaksa dibedah dan dirawat selama dua bulan. Cikgu Rauf dan Mak Cik Rosie dirawat selama dua hari. Kami juga telah dipuji oleh pengetua sekolah kerana keberanian kami. Peristiwa itu tidak dapat saya lupakan.

Hasil karya: Irfan Bin Ibrahim Darjah, 5H (2010)

Mimpi

Sedang aku berjalan seorangan di taman itu, tiba-tiba aku berasa takut. Aku rasa seperti ada orang sedang mengekori aku. Aku menoleh ke belakang tetapi tiada sesiapa pun. Tiba-tiba aku terdengar suara seorang wanita.


Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Tiada apa pun. Aku memberanikan diri dan berjalan secepat mungkin. Aku masih mendengar suara itu tetapi tidak tahu dari mana datangnya suara itu. Aku mula berasa risau dan takut. Bulu romaku naik dan fikiranku mula bercelaru. Aku sampai di padang yang lapang. Keadaannya kabur dan sukar untuk aku melihat dengan jelas. Angin meniup ke arah pipiku. Aku terlihat bayang-bayang putih. Bayang-bayang itu semakin jelas dan semakin menghampiriku. Aku cuba beredar dari situ tetapi kakiku terpaku. Badanku mula menggeletar.


“Ibu! Ibu! Tolong!” teriak aku sambil menutup mata kerana ketakutan.


“Aishah! Bangun! Sudah waktu subuh!” kedengaran suara ibuku.


Aku membuka mataku dan melihat ruang yang penuh dengan buku. Aku di dalam bilikku. Aku bermimpi rupanya. Sungguh lega rasa hatiku. Aku terdengar suara ibuku memanggil aku dari dapur. Suara itu tidak menakutkan. Aku lega mendengar suara ibuku.


Hasil karya: Nur Fitri Bte Abdul Rahman, 5B (2010)

Isnin, 25 Oktober 2010

Anakku Samad

Aku seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Samad. Aku amat menyayanginya bagaikan menatang minyak yang penuh. Namun, dia telah melukakan hatiku. Tidakku sangka yang dia sanggup membuat demikian. Beginilah ceritanya . . .

Saban hari, Samad akan pulang dari sekolah lalu salam sambil mencium tanganku. Namun, pada suatu petang, Samad agak berlainan. Bukan sahaja dia tidak salam dan mencium tanganku tetapi dia kelihatan sedih. Aku rasa dia penat lalu menyuruhnya untuk pergi berehat. Aku tidak mahu merumitkan lagi masalah yang dia ada. Samad turuti perintahku lalu menuju masuk ke dalam kamarnya. Aku pun menyambung kerjaku. Apabila waktu untuk makan petang tiba, aku pun memanggilnya. Tiada balasan yang aku terima. Aku pun memanggilnya sekali lagi. Masih tiada balasan yang aku terima. Aku pun menjadi cemas. Hatiku berdegup-degup kerana Samad ialah anak kesayanganku.

Apabila aku masuk ke dalam kamarnya, aku dapati dia sedang tidur lalu aku pun mengejutnya. Aku mengajak Samad makan bersamaku. Perlahan-lahan seperti kura-kura, Samad menuju ke ruang makan. Semasa kami sedang makan, Samad memberitahuku yang dia memerlukan wang sebanyak $100. Aku berasa terkejut. Mataku terbeliak besar. Telingaku tidak percaya apa yang dikatakan Samad. Betulkah dia meminta $100? Aku hanya membisu tidak memberinya sebarang jawapan. Samad pula hanya menundukkan kepalanya, tidak berani melihatku.

Keesokan harinya, aku telah membuat keputusan untuk memberikan duit itu kepadanya. Aku tidak mahu anak emasku bersedih. Apabila dia mendapat wang itu, dia tersenyum lebar. Barulah lega hatiku. Namun, di dalam lubuk hatiku, aku masih tertanya-tanya mengapa dia memerlukan wang sebanyak itu. Keadaan di rumah kembali seperti biasa.

Namun, pada suatu hari, aku telah menerima berita yang telah menjawab segala pertanyaanku tentang perangai Samad. Alangkah terperanjatnya aku apabila ternampak anakku dengan kawan-kawannya berada di sebuah pusat makanan. Aku hanya memerhatikan gelagatnya dengan teliti. Samad sedang bersuka ria dengan kawan-kawannya. Dia berlagak seperti anak orang kaya memesan makanan untuk kawan-kawannya. Padahal, aku harus berpenat lelah menjual kuih-muih di warung untuk mendapatkan nafkah untuk menyara kehidupan kami berdua. Setelah selesai makan, Samad menghulurkan wang $100 itu untuk membayarkan makanan minuman yang dipesan tadi. Hatiku terasa sakit seperti dicucuk pisau yang tajam. Tanpaku sedari, air mataku mengalir membasahi pipi. Aku pun beredar dari tempat itu.

Ketika di rumah, aku menunggu kepulangan Samad untuk mendapatkan penerangannya. Tidak lama kemudian, Samad pun pulang. Aku pun bersemuka dengan anakku. Aku memberitahunya betapa kecewa aku dengan perangainya. Aku pun berkata yang aku tidak marah sekiranya dia mahu belanja kawannya tetapi dia harus fikir yang aku bukanlah orang berada dan duit yang aku kumpulkan adalah untuk perbelanjaan persekolahan. Aku juga menasihatinya supaya berbelanja mengikut kemampuannya dan jangan berlagak. Samad hanya tertunduk malu. Dia berasa sungguh kesal dengan perangainya. Dengan segera dia meminta maaf kepadaku dan berjanji tidak akan melakukan perkara itu lagi. Dia pun berjanji yang dia akan belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasaku kerana membesarkannya. Aku hanya tersenyum. Aku memaafkan Samad, anakku. Aku hanya mahu Samad berlaku jujur dan menjadi manusia yang sempurna apabila dia dewasa kelak.

Hasil karya: Nurul Izzah, 5H (2009)

Pencerobohan

Hujan lebat terus turun. Ayah masih belum pulang. Kami masih menunggu kepulangannya. Tiba-tiba, pintu rumah kami diketuk oleh seseorang. Semakin laman, semakin kuat. Kedengaran juga suara-suara yang tidak dikenali memekik-mekik dari luar. Kami menggigil ketakutan. Ibu segera menelefon ayah tetapi tiada jawapan. Ibu menyuruh kami pergi ke dalam kamar tidur utama.


Sambil menggoncang pintu pagar, orang itu menjerit, “Buka pintu sekarang!” Kami tidak menjawab.


“Kenapa ayah belum pulang lagi?” saya tertanya-tanya di dalam hati.


Tiba-tiba, pintu rumah terbuka. Beberapa orang yang tidak dikenali menceroboh masuk ke dalam rumah kami. Kami terpaku. Penceroboh itu masuk ke dalam setiap kamar. Ibu terus mengunci pintu kamar tidur utama. Mereka cuba membukanya tetapi tidak berjaya. Mereka cuba menggunakan pisau untuk membukanya. Akhirnya, mereka berjaya juga.


Penceroboh-penceroboh itu berkaca mata hitam dan memakai topi yang sama berwarna merah. Mereka juga membawa pisau. Salah seorang daripada mereka berlari meluru ke arah ibu dengan sebilah pisau. Ibu menyuruh kami lari untuk menyelamatkan diri. Dengan kekuatan yang kami ada, kami bertiga menolak kuat dua orang yang cuba menghalang kami. Kami berjaya meloloskan diri tetapi kami terdengar suara ibu menjerit.


Suara ibu terhenti di situ. Kami tidak sempat menoleh, hanya mampu berlari sepantas mungkin. Kami terjumpa sebuah kereta tersadai di tepi jalan raya. Alangkah terkejutnya apabila kami terlihat tubuh ayah kaku berlumuran darah. Ayah telah ditikiam. Fikiran saya kusut masai bercampur takut dan marah. Saya menangis tersedu-sedu. Dalam tangisan saya terdengar siren kereta polis dan ambulans.


Rupa-rupanya, ada orang yang telah menelefon polis. Ada seorang lelaki dari blok hadapan itu telah menyaksikan segala-galanya. Ketiga-tiga penceroboh itu dapat diberkas oleh polis. Saya tidak dapat melupakan wajah-wajah orang yang telah membunuh kedua-dua ibu bapa saya yang tersayang. Saya masih tidak mengetahui mengapa mereka melakukannya.


Hasil karya: Muhd Haziq, 5F (2009)

Kehilangan Orang Yang Tersayang

Semasa saya sedang tidur di dalam bilik saya, saya terdengar suara seorang wanita memekik. Saya berasa takut. Saya segera ke arah bilik ibu dan bapa saya.

Rupa-rupanya suara jeritan tadi datang dari bilik ibu dan ayah saya. Ibu sebenarnya sedang sarat dan kini tiba masanya untuk bersalin. Ayah pun menyuruh saya mengejutkan kakak saya kerana kami harus menghantar ibu ke hospital dengan segera. Sementara itu, ayah terus menelefon ambulans. Apabila ambulans sampai, kami sekeluarga mengiring ibu ke hospital. Saya dan kakak terpaksa tunggu di luar bilik pembedahan sebaik sahaja kami tiba di hospital. Ayah pula dibenarkan menemani ibu di dalam bilik pembedahan itu.

Setelah menunggu selama dua jam, seorang jururawat yang merawat ibu saya pun keluar dari bilik pembedahan. Mukanya kelihatan ceria. Dia mengatakan bahawa ibu dan adik baharu saya berada di dalam keadaan baik. Saya dan kakak bersyukur kepada Tuhan sebaik sahaja mendengar berita baik itu. Saya kini telah mendapat gelaran kakak sekian lama dipanggil adik di kalangan keluarga saya. Malam itu saya pulang dengan hati yang gembira dan tenang.

Namun, dua kemudian, saya mendapat berita buruk. Panggilan dari hospital di mana ibu saya berada telah menggoncang dunia saya. Doktor telah memberitahu kami bahawa ibu dan adik baharu saya berada dalam keadaan yang parah. Ibu telah tergelincir semasa hendak ke tandas. Adik pula sesak nafas semasa tidur. Kedua-duanya gagal untuk diselamatkan. Kejadian yang pahit itu berlaku pada tarikh 25 Januari 2007. Tarikh yang tidak akan hilang dari minda saya kerana kejadian itu telah meruntuhkan dunia saya dan membuat saya sedih tidak terhingga.

Setelah ibu dan adik baharu saya telah selamat dikebumikan, kami sekeluarga rasa kehidupan kami tidak seperti biasa. Walaupun; kini tiga tahun sudah berlalu, saya masih rasa kepahitan peristiwa itu. Saya cuma dapat berdoa agar ibu dan adik saya dicucuri rahmat.

Hasil karya: Nathra, 5G (2009)

Ibuku

Aku melamun seorang diri di dalam kamarku. Tiada sesiapa yang berada disisiku. Aku membelek sebuah album yang sudah lama dibiarkan di dalam almari. Satu persatu gambar di dalam album itu aku menatap. Setiap gambar membuahkan seribu kenangan manis yang tidak dapatku lupakan. Tanpa aku sedari, air mataku mengalir. Teringatlah aku tentang satu peristiwa yang begitu menyedihkan. Baru dua bulan yang lalu aku kehilangan seorang ibu yang sangat aku sayangi. Ibuku telah mengalami kemalangan yang parah sehinggakan doktor tidak dapat menyelamatkannya. Aku kesal. Kerana akulah, ibu boleh meninggal dunia.

Pada masa itu, aku hendak pulang ke rumahku dengan keputusan peperiksaanku yang amat mengecewakan. Apabila tiba di rumah, aku pun menunjukkan keputusanku kepada ibuku. Ibuku berasa kecewa dengan diriku kerana keputusan yang aku dapat bukanlah keputusan yang diharapkannya. Ibu bertanya mengapa aku tidak memberi perhatian kepada guru semasa guru sedang mengajar. Teguran itu membuat aku menjadi berang kerana aku tidak boleh menerimanya. Aku pun meninggikan suaraku untuk membela diriku dengan bahasa yang agak kasar.

Beberapa minit kemudian, bapaku pun pulang. Dia amat terperanjat melihat aku bergaduh dengan ibu. Dia pun menanyakan apa yang telah berlaku. Kami berdua hanya membisu. Oleh kerana dia tidak mahu memanjangkan cerita, dia pun beredar dari situ. Aku masih tidak puas hati. Ibu pula terus mengikut bapaku masuk ke dalam bilik. Tiba-tiba aku dengar ibu menangis. Aku dapat tahu bahawa bapaku telah dibuang kerja disebabkan kegawatan ekonomi. Ibuku merasakan masa depan keluarga kami tidak cerah. Dia terus keluar dari rumah. Dia mungkin hendak menghilangkan rasa tertekannya.

Setengah jam kemudian, telefon rumah aku berdering. Aku menjawab panggilan itu. Di balik panggilan itu ialah seorang pegawai polis. Pegawai polis itu menyatakan bahawa ibuku telah mengalami kemalangan di daerah Woodlands. Aku terpaku dan mulutku ternganga. Tidak pernah sekalipun terlintas dalam fikiranku bahawa kejadian ini akan berlaku. Bapaku melihat keadaanku dengan segera mencapai gagang telefon dan menjawab panggilan itu. Bapaku kelihatan tenang walaupun aku tahu di dasar hatinya tidak sebegitu.

Kami dengan segera bergegas ke hospital di mana ibuku berada. Namun, kami telah terlambat kerana ibu sudah pergi buat selama-lamanya. Aku tidak sempat memberitahunya yang aku telah kesal dengan perangaiku yang kasar tadi. Ibu, aku benar, benar kesal.

Sejak peristiwa itu, aku terus berubah. Aku kini selalu belajar dengan tekun dan berjaya memperolehi markah yang cemerlang setiap peperiksaan. Aku berazam untuk melanjutkan pelajaranku hingga ke menara gading demi ibuku yang tercinta.

Hasil karya: Syafiqah, 5F (2009)

Dedikasi Buat Guruku

Guruku, keranamu api mengejar ilmu
Di dalam diriku tidak akan terpadam
Kamu bagaikan sinaran mentari
Yang menyuluh jalanku ke arah kejayaan
Segala pengajaran dan nasihat yang kamu beri
Akan aku hargai dan aku sanjungi
Aku bersyukur mengenali seorang insan yang mulia
Insan yang tidak pernah mengenal erti penat
Insan yang digelar seorang GURU

Hasil karya: Mohd Aqil Mohd Azhar, 6E (2009)