Jumaat, 3 Mei 2013

Peristiwa Yang Tidak Dapat Saya Lupakan

           Peperiksaan akhir tahun sudah tamat. Saya berasa sangat lega. Tambah lagi dengan keputusan yang memuaskan, ibu berasa sangat berpuas hati. Setibanya cuti akhir tahun, kami sekeluarga tidak ke mana-mana kerana ayah tidak dapat mengambil cuti. Oleh itu, saya meminta izin daripada ibu dan ayah untuk berjumpa dengan Nasuha di pusat beli-belah pada hujung minggu.
            Nasuha ialah teman karib saya. Kami sangat rapat bagai isi dengan kuku. Dia mempunyai sifat yang lemah-lembut dan itu yang membuat saya tertarik dengan kelakuannya. Kami sering ke mana-mana bersama-sama. 
Kami berjumpa di Pusat Beli-belah Causeway Point. Seperti biasa, gedung itu sangat sesak dengan para pembeli.  Oleh kerana kesesakan di situ, kami membuat keputusan untuk pergi ke perpustakaan di seberang jalan.
Kami menggunakan lampu isyarat untuk ke seberang jalan. Lampu isyarat pada ketika itu berwarna merah untuk pejalan kaki. Oleh sebab keadaan jalan raya lengang, kami becadang untuk menyeberang jalan raya itu. Kami berdua memegang tangan untuk melintas jalan ke seberang. Tanpa kami sedari, sebuah motosikal datang menuju ke arah kami dengan laju. Saya terus meluru ke hadapan tetapi Nasuha ketinggalan di belakang. Apabila saya menoleh untuk melihat Nasuha, saya begitu terperanjat lalu menjerit.
“ Nasuha!” teriak saya sehingga tegang urat leher saya.
Saya bergegas ke tempat di mana Nasuha terlantar kerana dia telah dilanggar oleh penunggang motosikal tadi. Tanpa berlengah, saya menggunakan telefon bimbit saya dan menelefon ambulans kerana kdarah berlumuran di bahagian tangan dan kaki Nasuha. Dalam masa beberapa minit, ambulans pun tiba. Saya menemani Nasuha di dalam ambulans sambil menangis teresak-esak. Saya meminta maaf kepadanya bertubi-tubi kerana meninggalkan dia semasa kami melintas jalan raya tadi. Saya telah bertindak begitu kerana saya dalam keadaan panik apabila ternampak motosikal yang bergerak laju tadi. Saya kesal, sungguh kesal.
Dengan tidak membuang masa, saya terus menelefon ibu Nasuha dan memberitahunya tentang apa yang telah berlaku. Sebaik sahaja saya tiba di hospital, ibu bapa Nasuha menyusul. Apabila kami tiba di bilik kecemasan di Hospital Kandang Kerbau, doktor yang bertugas di situ dengan segera merawat Nasuha.
Dalam masa dua jam kemudiah, doktor pun keluar dari bilik rawatan. Alhamdulillah, kecederaan teman karib saya tidak begitu serius cuma tangan kanannya dan kakinya patah. Nasuha terpaksa tinggal di hospital itu selama seminggu.
            Saya berasa sungguh kesal kerana tidak mengikuti undang-undang jalan raya. Oleh sebab kecuaian kami berdua, Nasuha menjadi mangsanya. Daripada peristiwa inilah, saya bertekad untuk lebih prihatin di jalan raya agar perkara sebegini tidak berlaku lagi bak pepatah pisang tidak akan berbuah dua kali.

Karya: Maisarah Bte Ishak
            Sekolah Rendah Woodgrove
            Pri 5H