Isnin, 1 April 2013

Kampung Nenek Saya

Awan kebiruan dan bersulam dengan warna putih. Angin petang yang bertiup perlahan menambahkan lagi suasana damai. Kanak-kanak bermain layang-layang di tengah padang yang luas cukup menghiburkan hati saya. Itulah suasana kampung nenek saya yang amat saya rindui dan saya tidak pernah melepaskan peluang untuk melawat nenek di kampung. Maklumlah, saya boleh balik kampung hanya setahun sekali.
Kampung nenek saya terletak di Medan, Indonesia. Saya rasa sungguh bertuah kerana dapat menjejakkan kaki saya di sana setiap tahun. Keluarga saya di sana ramai dan peluang berjumpa dengan mereka amat terhad. Oleh itu, saya selalu menghargai masa saya bersama mereka di sana.
Saya dan keluarga saya biasanya menaiki pesawat ‘Jetstar Value Air’ ke sana.  Perjalanan kami mengambil masa selama satu setengah jam. Walaupun saya sudah biasa dengan pengalaman menaiki pesawat, saya tidak pernah jemu melihat awan-awan di luar tingkap pesawat. Awan-awan itu mengkagumkan saya. Saya rasa seolah-olah saya mahu mencapai awan-awan yang kelihatan macam kapas itu.
Saya memang rindu dengan keluarga dan kawan-kawan saya di sana.  Bayangan kampung halaman nenek saya masih jelas di minda saya. Saya tidak sabar hendak kembali ke situ lagi. Dari dalam pesawat, saya sudah berangan-angan tentang perkara-perkara yang saya boleh lakukan sebaik sahaja saya berada di kampung nenek. Namun, lamunan saya terhenti kerana sudah tiba masanya untuk pesawat itu mendarat. Saya sudah tiba di Lapangan Terbang Polonia di Medan, Indonesia. Kegembiraan di hati saya hanya Tuhan sahaja yang tahu.
            Sebaik sahaja kami keluar dari Lapangan Terbang Polonia tu, dengan serta-merta kami ternampak ahli keluarga kami. Saya berlari ke arah nenek saya dan terus mendakapnya. Terubat sedikit perasaan rindu saya terhadap nenek saya. Nenek saya begitu juga. Kami berdakapan sekian lama rasanya sebelum ditegur oleh bapa saya. Dengan perasaan gembira, kami menuju ke arah kereta sewa yang disewa oleh nenek saya.
Pada ketika itu juga, perut saya sudah berkeroncong. Saya masih berasa lapar walaupun sudah alas perut di pesawat tadi. Tanpa membuang masa, pemandu kereta kami memandu kami ke sebuah restoran tempatan yang berdekatan dengan rumah pak cik saya. Makanan yang dihidangkan di restoran itu sungguh enak. Semua orang kekenyangan selepas selesai makan.
            Kami pun meneruskan perjalanan kami ke rumah nenek saya. Perjalanan kami mengambil masa selama tiga jam. Rumah nenek saya agak jauh dari Lapangan Terbang Polonia. Selama perjalanan kami, saya seperti cacing kepanasan kerana tidak sabar untuk tiba di rumah nenek. Saya amat rindu melihat halaman rumah nenek, masakan nenek dan segala-galanya di kampung.
            Pada keesokan hari, saya bangun seawal jam lima pagi. Saya menemai ayah dan ibu ke surau untuk solat Subuh. Saya sempat melihat ayam berkokok dan budak-budak kampung berjalan berderet menuju ke surau juga. Suasana di kampung amat tenang. Lebih-lebih lagi waktu pagi begini. Setelah balik dari surau, saya tersenyum puas hati melihat hidangan sarapan pagi sudah siap tersusun kemas di atas meja. Di atas meja terhidang nasi lemak, sambal udang, lengkap dengan kacang dan ikan bilis goreng serta timun dihiris nipis cukup menyelerakan. Aroma nasi lemak dengan sambal udang yang menusuk hidung saya membuat perut saya berkeroncong kelaparan. Sudah lama rasanya saya tidak merasa masakan kampung.
            Setelah bersarapan, saya mengajak sepupu-sepupu saya menangkap ikan di tengah sawah padi. Kalau dapat ikan, boleh nenek masak lauk gulai lemak. Nenek, datuk, ibu dan bapa saya cuma duduk berehat di bawah pokok besar memerhatikan kami.  Inilah aktiviti yang menyeronokkan. Habis badan kami terkena lumpur. Namun, kami tidak berjaya menangkap ikan kerana peralatan kami tidak begitu bagus. Walau bagaimanapun, saya tetap berasa gembira dapat meluangkan masa bersama sepupu-sepupu saya.
Sekian lama kami di tengah sawah, ibu memanggil saya untuk pulang. Susah juga ibu harus kerjakan saya. Bukan senang hendak membersihkan lumpur daripada badan. Setelah saya mandi, menukar pakaian dan  makan tengah hari, saya dan datuk saya terus mengeliling kawasan kampung dengan menaiki motosikal. Saya suka menaiki motosikal datuk saya kerana saya dapat melawat banyak tempat di kawasan kampung.
            Tidak lama kemudian, hari semakin jauh. Rumah-rumah di kawasan kampung nenek telah pun memasang lampu yang kelihatan amat malas untuk menyala. Kanak-kanak kampung mula berlarian pulang sebelum matahari terbenam. Saya dan nenek sama-sama menikmati suasana petang dengan aman. Sesungguhnya saya tidak mahu suasana begini berhenti.
Kedengaran azan berkumandang, saya dan nenek terus masuk ke dalam rumah. Makan malam pada hari itu amat menyelerakan; ikan goreng, sambal belacan dan lauk singgang memang menjilat jari. Nenek memang handal dalam hal masak-memasak.
Saya dan keluarga saya berada di kampung nenek saya selama empat hari. Pada hari kami harus berangkat pulang ke Singapura, saya mula berasa sedih. Nenek tidak lepas memberi peringatan kepada kami sekeluarga supaya berhati-hati dalam perjalanan pulang. Suasana mula menjadi sayu. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada nenek, datuk dan keluarga kami di Medan. Agak berat bagi saya untuk meninggalkan nenek dan datuk saya tetapi saya terpaksa. Saya berdoa agar saya dan keluarga saya dipanjangkan umur supaya kami dapat berjumpa dengan datuk dan nenek lagi pada tahun hadapan.
Karya:    Madinah Bte Ramli
                 Sekolah Rendah Woodgrove
                 Pri 5C

Pengalaman Yang Tidak Dapat Saya Lupakan

               Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Burung-burung berkicauan merentasi awan ke awan. Cuaca beginilah yang amat dinantikan oleh ayah saya. Dia telah lama merancang untuk pergi ke Pantai Pasir Ris. Pintu hati saya diketuk kegembiraan. Sepantas kilat, saya dan adik saya, Saif, bersiap sedia untuk berkelah. Kami meletakkan baju mandi yang baru dibeli semalam ke dalam beg yang berwarna merah macam biji saga. Ibu saya pun membawa makanan-makanan yang dimasak olehnya pada pagi itu. Selepas bersiap sedia, kami pun memasuki kereta ayah saya yang berjenama ‘Honda’ itu.
              Tidak lama kemudian, kami pun sudah tiba di destinasi kami. Dengan tidak membuang masa, Ibu, ayah, adik saya dan saya membawa keluar barang-barang dari kereta kami seperti makanan dan minuman untuk sarapan kami, tikar untuk dialas supaya kami ada tempat untuk duduk dan berehat dan baju mandi untuk kami mandi laut. Kami dengan segera mencari tempat yang redup untuk kami duduk dan berehat. Selepas memilih tempat duduk di tepi sebatang pokok yang besar macam gajah, ibu mengeluarkan makanan dan minuman yang dibawa. Saya dan adik saya menukar ke pakaian mandi kami untuk kami mandi di tepi pantai. Bapa saya pula membaca surat khabar yang dibawanya.
               Dalam sekelip mata, saya dan Saif sudah pun menyelam ke dalam air yang sejuk tetapi menyegarkan itu. Keceriaan terpancar di muka kami. Kami berasa seronok bermandi-manda di situ. Tidak jauh dari situ, ada dua orang adik beradik yang juga sedang mandi. Kami rasa tidak ada perkara yang boleh merosakkan kegembiraan kami pada hari itu.
Tiba-tiba, salah seorang adik beradik di situ terkapar-kapar kelemasan. Dia menjerit meminta tolong. Abangnya pula sedang terjerit-jerit macam orang hilang akal kerana dia benar-benar ketakutan. Dia tidak mahu kehilangan adiknya. Keadaan menjadi rumit apabila tangan adiknya sudah mula layu.
               Saya terus memberitahu ayah saya tentang kejadian itu kerana tiada orang ingin menolong budak itu. Selepas ayahku sedar akan kejadian itu, dia dengan segera menghulurkan bantuan.  Ayah saya terus meletak surat khabar yang dibacanya di atas tikar lalu cuba menyelamatkan budak itu. Nasib baik ayah saya pandai berenang. Ayah saya berenang menuju ke arah budak lelaki itu dan berjaya mencapai kedua-dua belah tangan budak itu lalu naik ke darat.
                 Selepas kedua-dua orang budak itu diselamatkan. Ibu bapa mereka berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada ayah saya.  Sebagai tanda terima kasih, ibu bapa budak itu memberi wang. Ayahku pula menolaknya kerana dia menolong dengan ikhlas. Ayah saya memang putih hati. Setelah semuanya selesai, saya dan Saif terus bersiap untuk pulang ke rumah. Saya dan Saif masih tidak boleh melupakan kemalangan itu. Ayah saya menasihati kami supaya belajar berenang dan lebih berhati-hati apabila berada di tepi pantai.
Karya:    Nur Sa’idah Syahirah Bte Saifulnizam
                 Sekolah Rendah Woodgove
                 Pri 5F