Isnin, 1 April 2013

Pengalaman Yang Tidak Dapat Saya Lupakan

               Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Burung-burung berkicauan merentasi awan ke awan. Cuaca beginilah yang amat dinantikan oleh ayah saya. Dia telah lama merancang untuk pergi ke Pantai Pasir Ris. Pintu hati saya diketuk kegembiraan. Sepantas kilat, saya dan adik saya, Saif, bersiap sedia untuk berkelah. Kami meletakkan baju mandi yang baru dibeli semalam ke dalam beg yang berwarna merah macam biji saga. Ibu saya pun membawa makanan-makanan yang dimasak olehnya pada pagi itu. Selepas bersiap sedia, kami pun memasuki kereta ayah saya yang berjenama ‘Honda’ itu.
              Tidak lama kemudian, kami pun sudah tiba di destinasi kami. Dengan tidak membuang masa, Ibu, ayah, adik saya dan saya membawa keluar barang-barang dari kereta kami seperti makanan dan minuman untuk sarapan kami, tikar untuk dialas supaya kami ada tempat untuk duduk dan berehat dan baju mandi untuk kami mandi laut. Kami dengan segera mencari tempat yang redup untuk kami duduk dan berehat. Selepas memilih tempat duduk di tepi sebatang pokok yang besar macam gajah, ibu mengeluarkan makanan dan minuman yang dibawa. Saya dan adik saya menukar ke pakaian mandi kami untuk kami mandi di tepi pantai. Bapa saya pula membaca surat khabar yang dibawanya.
               Dalam sekelip mata, saya dan Saif sudah pun menyelam ke dalam air yang sejuk tetapi menyegarkan itu. Keceriaan terpancar di muka kami. Kami berasa seronok bermandi-manda di situ. Tidak jauh dari situ, ada dua orang adik beradik yang juga sedang mandi. Kami rasa tidak ada perkara yang boleh merosakkan kegembiraan kami pada hari itu.
Tiba-tiba, salah seorang adik beradik di situ terkapar-kapar kelemasan. Dia menjerit meminta tolong. Abangnya pula sedang terjerit-jerit macam orang hilang akal kerana dia benar-benar ketakutan. Dia tidak mahu kehilangan adiknya. Keadaan menjadi rumit apabila tangan adiknya sudah mula layu.
               Saya terus memberitahu ayah saya tentang kejadian itu kerana tiada orang ingin menolong budak itu. Selepas ayahku sedar akan kejadian itu, dia dengan segera menghulurkan bantuan.  Ayah saya terus meletak surat khabar yang dibacanya di atas tikar lalu cuba menyelamatkan budak itu. Nasib baik ayah saya pandai berenang. Ayah saya berenang menuju ke arah budak lelaki itu dan berjaya mencapai kedua-dua belah tangan budak itu lalu naik ke darat.
                 Selepas kedua-dua orang budak itu diselamatkan. Ibu bapa mereka berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada ayah saya.  Sebagai tanda terima kasih, ibu bapa budak itu memberi wang. Ayahku pula menolaknya kerana dia menolong dengan ikhlas. Ayah saya memang putih hati. Setelah semuanya selesai, saya dan Saif terus bersiap untuk pulang ke rumah. Saya dan Saif masih tidak boleh melupakan kemalangan itu. Ayah saya menasihati kami supaya belajar berenang dan lebih berhati-hati apabila berada di tepi pantai.
Karya:    Nur Sa’idah Syahirah Bte Saifulnizam
                 Sekolah Rendah Woodgove
                 Pri 5F