Isnin, 25 Oktober 2010

Anakku Samad

Aku seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Samad. Aku amat menyayanginya bagaikan menatang minyak yang penuh. Namun, dia telah melukakan hatiku. Tidakku sangka yang dia sanggup membuat demikian. Beginilah ceritanya . . .

Saban hari, Samad akan pulang dari sekolah lalu salam sambil mencium tanganku. Namun, pada suatu petang, Samad agak berlainan. Bukan sahaja dia tidak salam dan mencium tanganku tetapi dia kelihatan sedih. Aku rasa dia penat lalu menyuruhnya untuk pergi berehat. Aku tidak mahu merumitkan lagi masalah yang dia ada. Samad turuti perintahku lalu menuju masuk ke dalam kamarnya. Aku pun menyambung kerjaku. Apabila waktu untuk makan petang tiba, aku pun memanggilnya. Tiada balasan yang aku terima. Aku pun memanggilnya sekali lagi. Masih tiada balasan yang aku terima. Aku pun menjadi cemas. Hatiku berdegup-degup kerana Samad ialah anak kesayanganku.

Apabila aku masuk ke dalam kamarnya, aku dapati dia sedang tidur lalu aku pun mengejutnya. Aku mengajak Samad makan bersamaku. Perlahan-lahan seperti kura-kura, Samad menuju ke ruang makan. Semasa kami sedang makan, Samad memberitahuku yang dia memerlukan wang sebanyak $100. Aku berasa terkejut. Mataku terbeliak besar. Telingaku tidak percaya apa yang dikatakan Samad. Betulkah dia meminta $100? Aku hanya membisu tidak memberinya sebarang jawapan. Samad pula hanya menundukkan kepalanya, tidak berani melihatku.

Keesokan harinya, aku telah membuat keputusan untuk memberikan duit itu kepadanya. Aku tidak mahu anak emasku bersedih. Apabila dia mendapat wang itu, dia tersenyum lebar. Barulah lega hatiku. Namun, di dalam lubuk hatiku, aku masih tertanya-tanya mengapa dia memerlukan wang sebanyak itu. Keadaan di rumah kembali seperti biasa.

Namun, pada suatu hari, aku telah menerima berita yang telah menjawab segala pertanyaanku tentang perangai Samad. Alangkah terperanjatnya aku apabila ternampak anakku dengan kawan-kawannya berada di sebuah pusat makanan. Aku hanya memerhatikan gelagatnya dengan teliti. Samad sedang bersuka ria dengan kawan-kawannya. Dia berlagak seperti anak orang kaya memesan makanan untuk kawan-kawannya. Padahal, aku harus berpenat lelah menjual kuih-muih di warung untuk mendapatkan nafkah untuk menyara kehidupan kami berdua. Setelah selesai makan, Samad menghulurkan wang $100 itu untuk membayarkan makanan minuman yang dipesan tadi. Hatiku terasa sakit seperti dicucuk pisau yang tajam. Tanpaku sedari, air mataku mengalir membasahi pipi. Aku pun beredar dari tempat itu.

Ketika di rumah, aku menunggu kepulangan Samad untuk mendapatkan penerangannya. Tidak lama kemudian, Samad pun pulang. Aku pun bersemuka dengan anakku. Aku memberitahunya betapa kecewa aku dengan perangainya. Aku pun berkata yang aku tidak marah sekiranya dia mahu belanja kawannya tetapi dia harus fikir yang aku bukanlah orang berada dan duit yang aku kumpulkan adalah untuk perbelanjaan persekolahan. Aku juga menasihatinya supaya berbelanja mengikut kemampuannya dan jangan berlagak. Samad hanya tertunduk malu. Dia berasa sungguh kesal dengan perangainya. Dengan segera dia meminta maaf kepadaku dan berjanji tidak akan melakukan perkara itu lagi. Dia pun berjanji yang dia akan belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasaku kerana membesarkannya. Aku hanya tersenyum. Aku memaafkan Samad, anakku. Aku hanya mahu Samad berlaku jujur dan menjadi manusia yang sempurna apabila dia dewasa kelak.

Hasil karya: Nurul Izzah, 5H (2009)

Pencerobohan

Hujan lebat terus turun. Ayah masih belum pulang. Kami masih menunggu kepulangannya. Tiba-tiba, pintu rumah kami diketuk oleh seseorang. Semakin laman, semakin kuat. Kedengaran juga suara-suara yang tidak dikenali memekik-mekik dari luar. Kami menggigil ketakutan. Ibu segera menelefon ayah tetapi tiada jawapan. Ibu menyuruh kami pergi ke dalam kamar tidur utama.


Sambil menggoncang pintu pagar, orang itu menjerit, “Buka pintu sekarang!” Kami tidak menjawab.


“Kenapa ayah belum pulang lagi?” saya tertanya-tanya di dalam hati.


Tiba-tiba, pintu rumah terbuka. Beberapa orang yang tidak dikenali menceroboh masuk ke dalam rumah kami. Kami terpaku. Penceroboh itu masuk ke dalam setiap kamar. Ibu terus mengunci pintu kamar tidur utama. Mereka cuba membukanya tetapi tidak berjaya. Mereka cuba menggunakan pisau untuk membukanya. Akhirnya, mereka berjaya juga.


Penceroboh-penceroboh itu berkaca mata hitam dan memakai topi yang sama berwarna merah. Mereka juga membawa pisau. Salah seorang daripada mereka berlari meluru ke arah ibu dengan sebilah pisau. Ibu menyuruh kami lari untuk menyelamatkan diri. Dengan kekuatan yang kami ada, kami bertiga menolak kuat dua orang yang cuba menghalang kami. Kami berjaya meloloskan diri tetapi kami terdengar suara ibu menjerit.


Suara ibu terhenti di situ. Kami tidak sempat menoleh, hanya mampu berlari sepantas mungkin. Kami terjumpa sebuah kereta tersadai di tepi jalan raya. Alangkah terkejutnya apabila kami terlihat tubuh ayah kaku berlumuran darah. Ayah telah ditikiam. Fikiran saya kusut masai bercampur takut dan marah. Saya menangis tersedu-sedu. Dalam tangisan saya terdengar siren kereta polis dan ambulans.


Rupa-rupanya, ada orang yang telah menelefon polis. Ada seorang lelaki dari blok hadapan itu telah menyaksikan segala-galanya. Ketiga-tiga penceroboh itu dapat diberkas oleh polis. Saya tidak dapat melupakan wajah-wajah orang yang telah membunuh kedua-dua ibu bapa saya yang tersayang. Saya masih tidak mengetahui mengapa mereka melakukannya.


Hasil karya: Muhd Haziq, 5F (2009)

Kehilangan Orang Yang Tersayang

Semasa saya sedang tidur di dalam bilik saya, saya terdengar suara seorang wanita memekik. Saya berasa takut. Saya segera ke arah bilik ibu dan bapa saya.

Rupa-rupanya suara jeritan tadi datang dari bilik ibu dan ayah saya. Ibu sebenarnya sedang sarat dan kini tiba masanya untuk bersalin. Ayah pun menyuruh saya mengejutkan kakak saya kerana kami harus menghantar ibu ke hospital dengan segera. Sementara itu, ayah terus menelefon ambulans. Apabila ambulans sampai, kami sekeluarga mengiring ibu ke hospital. Saya dan kakak terpaksa tunggu di luar bilik pembedahan sebaik sahaja kami tiba di hospital. Ayah pula dibenarkan menemani ibu di dalam bilik pembedahan itu.

Setelah menunggu selama dua jam, seorang jururawat yang merawat ibu saya pun keluar dari bilik pembedahan. Mukanya kelihatan ceria. Dia mengatakan bahawa ibu dan adik baharu saya berada di dalam keadaan baik. Saya dan kakak bersyukur kepada Tuhan sebaik sahaja mendengar berita baik itu. Saya kini telah mendapat gelaran kakak sekian lama dipanggil adik di kalangan keluarga saya. Malam itu saya pulang dengan hati yang gembira dan tenang.

Namun, dua kemudian, saya mendapat berita buruk. Panggilan dari hospital di mana ibu saya berada telah menggoncang dunia saya. Doktor telah memberitahu kami bahawa ibu dan adik baharu saya berada dalam keadaan yang parah. Ibu telah tergelincir semasa hendak ke tandas. Adik pula sesak nafas semasa tidur. Kedua-duanya gagal untuk diselamatkan. Kejadian yang pahit itu berlaku pada tarikh 25 Januari 2007. Tarikh yang tidak akan hilang dari minda saya kerana kejadian itu telah meruntuhkan dunia saya dan membuat saya sedih tidak terhingga.

Setelah ibu dan adik baharu saya telah selamat dikebumikan, kami sekeluarga rasa kehidupan kami tidak seperti biasa. Walaupun; kini tiga tahun sudah berlalu, saya masih rasa kepahitan peristiwa itu. Saya cuma dapat berdoa agar ibu dan adik saya dicucuri rahmat.

Hasil karya: Nathra, 5G (2009)

Ibuku

Aku melamun seorang diri di dalam kamarku. Tiada sesiapa yang berada disisiku. Aku membelek sebuah album yang sudah lama dibiarkan di dalam almari. Satu persatu gambar di dalam album itu aku menatap. Setiap gambar membuahkan seribu kenangan manis yang tidak dapatku lupakan. Tanpa aku sedari, air mataku mengalir. Teringatlah aku tentang satu peristiwa yang begitu menyedihkan. Baru dua bulan yang lalu aku kehilangan seorang ibu yang sangat aku sayangi. Ibuku telah mengalami kemalangan yang parah sehinggakan doktor tidak dapat menyelamatkannya. Aku kesal. Kerana akulah, ibu boleh meninggal dunia.

Pada masa itu, aku hendak pulang ke rumahku dengan keputusan peperiksaanku yang amat mengecewakan. Apabila tiba di rumah, aku pun menunjukkan keputusanku kepada ibuku. Ibuku berasa kecewa dengan diriku kerana keputusan yang aku dapat bukanlah keputusan yang diharapkannya. Ibu bertanya mengapa aku tidak memberi perhatian kepada guru semasa guru sedang mengajar. Teguran itu membuat aku menjadi berang kerana aku tidak boleh menerimanya. Aku pun meninggikan suaraku untuk membela diriku dengan bahasa yang agak kasar.

Beberapa minit kemudian, bapaku pun pulang. Dia amat terperanjat melihat aku bergaduh dengan ibu. Dia pun menanyakan apa yang telah berlaku. Kami berdua hanya membisu. Oleh kerana dia tidak mahu memanjangkan cerita, dia pun beredar dari situ. Aku masih tidak puas hati. Ibu pula terus mengikut bapaku masuk ke dalam bilik. Tiba-tiba aku dengar ibu menangis. Aku dapat tahu bahawa bapaku telah dibuang kerja disebabkan kegawatan ekonomi. Ibuku merasakan masa depan keluarga kami tidak cerah. Dia terus keluar dari rumah. Dia mungkin hendak menghilangkan rasa tertekannya.

Setengah jam kemudian, telefon rumah aku berdering. Aku menjawab panggilan itu. Di balik panggilan itu ialah seorang pegawai polis. Pegawai polis itu menyatakan bahawa ibuku telah mengalami kemalangan di daerah Woodlands. Aku terpaku dan mulutku ternganga. Tidak pernah sekalipun terlintas dalam fikiranku bahawa kejadian ini akan berlaku. Bapaku melihat keadaanku dengan segera mencapai gagang telefon dan menjawab panggilan itu. Bapaku kelihatan tenang walaupun aku tahu di dasar hatinya tidak sebegitu.

Kami dengan segera bergegas ke hospital di mana ibuku berada. Namun, kami telah terlambat kerana ibu sudah pergi buat selama-lamanya. Aku tidak sempat memberitahunya yang aku telah kesal dengan perangaiku yang kasar tadi. Ibu, aku benar, benar kesal.

Sejak peristiwa itu, aku terus berubah. Aku kini selalu belajar dengan tekun dan berjaya memperolehi markah yang cemerlang setiap peperiksaan. Aku berazam untuk melanjutkan pelajaranku hingga ke menara gading demi ibuku yang tercinta.

Hasil karya: Syafiqah, 5F (2009)

Dedikasi Buat Guruku

Guruku, keranamu api mengejar ilmu
Di dalam diriku tidak akan terpadam
Kamu bagaikan sinaran mentari
Yang menyuluh jalanku ke arah kejayaan
Segala pengajaran dan nasihat yang kamu beri
Akan aku hargai dan aku sanjungi
Aku bersyukur mengenali seorang insan yang mulia
Insan yang tidak pernah mengenal erti penat
Insan yang digelar seorang GURU

Hasil karya: Mohd Aqil Mohd Azhar, 6E (2009)

Guruku

Guruku, engkau seperti lilin yang menyinar hidupku,
Engkau bersusah payah mengajarku sehingga aku berjaya.
Engkau sentiasa bersabar dengan karenahku
Walapun aku mengulangi kesilapanku berkali-kali.
Sesungguhnya engkau tegas, kau tetap berlembut
Pada saat-saat yang aku memerlukannya.
Aku bertuah mendapat seorang guru sepertimu.
Terima kasih wahai guruku yang aku sanjungi.
Aku amat menyayangimu.


Hasil karya: Syakirah Bte Abdullah, 6H (2009)

Satu kejadian yang berakhir dengan perpisahan

Terasa berat hatiku untuk meninggalkan kampung ini. Terlalu banyak peristiwa yang telah berlaku di sini. Aku merenung ke langit yang luas. Teringat pula satu peristiwa yang pahit macam hempedu. Aku mengalirkan air mata. Betapa kesalnya diriku pada waktu itu. Tindakan aku yang bodoh itu telah menyebabkan perpisahan di antara aku dan ibu bapaku. Akulah punca perpisahan itu.

Aku memeluk dan mencium ibu bapaku sebelum menuju ke dewan berlepas untuk menaiki pesawatku. Aku telah berjaya memasuki Universiti Harvard di England dengan keputusan peperiksaanku yang cemerlang itu. Aku melambaikan tanganku ke arah ibu bapaku.

Namun, kos pesawat, yuran sekolah, rumah sewaku dan wang perbelanjaanku amat mahal. Keluargaku pula miskin. Orang tuaku terpaksa membiayai segala kos keperluanku supaya aku dapat belajar di universiti untuk menjadi orang yang berguna. Mereka pun bekerja bertungkus-lumus selama empat tahun meskipun sudah tua.Namun begitu,duit yang mereka perolehi tidak mencukupi kos keperluanku. Mereka terpaksa menjual rumah mereka lalu berpindah ke sebuah pondok yang kecil demi mendapatkan wang untuk diriku.Juga, orang tuaku yang semakin berumur telah menggunakan wang daripada wang simpanan mereka supaya dapat membiayai segala kos keperluanku. Sementara itu, aku menikmati kemewahan yang diberikan di England. Ibu bapaku tidak pernah menceritakan kepayahan mereka kepada diriku.

Hari yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Keputusan peperiksaan diumumkan. Aku melonjak dengan kegirangan. Tanpaku sedari, aku telah menitiskan air mata. Aku berjaya mendapat gred pujian untuk kesemua subjek. Ibu bapaku juga menerima surat yang mengandungi keputusan peperiksaanku. Mereka amat gembira dan puas hati. Akhirnya, mereka dapat juga menemui anak tunggal mereka yang tercinta. Berita itu pun tersebar di suratkhabar dan berita tersebut telah menjadi buah mulut orang ramai di desaku di Kampung Damai.

Aku tiba di lapangan terbang di tanah airku. Ramai orang telah datang untuk menyambut kepulanganku. Aku mencari-cari ibu bapaku. Sekonyong-konyong, aku terserempak mereka dengan pakaian yang compang-camping dan mereka kelihatan comot dan kotor. Jantungku berdebar-debar. Fikiranku kusut-masai dengan benang-benang kegelisahan. Patutkah aku mengaku bahawa mereka orang tua aku? Aku malu.
Ibu bapaku menghampiriku sepantas kilat. Orang ramai tercengang melihat perbuatan mereka. Tanpa berfikir dua kali, aku menolak ibuku sehingga dia jatuh ke lantai. Kepalanya berlumuran darah. Rasa kesal merasuk tubuhku.

“Tergamak kau lakukan ini kepada ibu. Setelah ibu bersusah payah mencari wang untukmu, kau sanggup buat begini. Kau langsung tak menghargai jasa ibu dan ayahmu. Ibu tidak pernah mengharapkan balasan tetapi kau anak derhaka! Kau bagaikan kacang lupakan kulit. Pintu syurgamu telah tertutup, wahai anakku,” ujar ibuku dengan nada yang sedih dan marah pada waktu yang sama.

Ibuku mengucap dua kalimah syahadah lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Bapaku yang menyaksikan kejadian itu tiba-tiba diserang sakit jantung. Ibu bapaku meninggal dunia sekaligus. Aku menangis tanpa henti. Malangnya, nasi sudah menjadi bubur. Aku terpisah dengan orang tuaku. Mereka tidak akan kembali ke dunia lagi.

Aku mengesat air mataku lalu mengangkat begku ke dalam teksi. Entah ke mana harus aku pergi. Aku seharusnya menghargai jasa orang tuaku. Aku gerun menantikan nasibku. Terlalu banyak memori yang terputik di kampungku ini. Aku berpaling lalu menatap desaku buat kali terakhirnya.

Hasil karya: Nur Aisyah Lyana, 6E (2009)

Penculikan

Kami baru sahaja selesai bersiar-siar di sebuah tempat peranginan. Sementara menunggu ketibaan bas, aku melihat-lihat barang cenderamata yang dijual di sebuah kedai. Oleh kerana terlalu asyik, aku tidak sedar yang kawan-kawanku telah bertolak pulang. Aku terkejut apabila mendapat tahu berita itu. Aku terus menjadi gelisah serta panik kerana aku tidak mempunyai wang di dalam sakuku. Hari pun sudah mulai gelap seakan-akan mahu hujan. Aku bercadang untuk menelefon ibu bapaku tetapi, apabila aku menyeluk sakuku, aku teringat bahawa aku telah meninggalkan telefon bimbitku bersama kawan-kawanku. Aku mula menangis melolong.

Tiba-tiba, seorang pemuda yang berbaju hitam dan berseluar panjang menghampiriku.

“Adik, kamu buat apa di sini? Kenapa kamu menangis? Di mana rumah kamu?” pemuda itu bertanya kepadaku.

Dalam hatiku, aku terkata bahawa akhirnya ada juga seorang pemuda sebaik dia yang mahu menolongku. Aku tersenyum. Dengan pantas aku menjawab soalan-soalannya walaupun suaraku tersekat-sekat.

Pemuda itu pun mengeluarkan sebiji gula-gula lalu memberikan kepadaku. Dia terus mempelawaku untuk pulang bersamanya. Pada mulanya aku berasa sangsi tetapi akhirnya, aku setuju kerana pemuda itu telah memujukku. Pemuda itu pun tersenyum tersengih-sengih. Dengan senang hati, aku terus menaiki keretanya yang berwarna merah.

Aku terus duduk di tempat duduk di belakang keretanya. Oleh kerana aku terlalu asyik mendengar lagu dari radio di kereta itu, aku tidak perasan bahawa pemuda itu telah memandu ke arah yang lain dan bukan ke arah rumahku. Apabila aku sedar, aku terus menanyakannya tentang mengapa dia memandu ke arah lain. Dengan pantas, pemuda itu menyuruh aku duduk diam dengan suara yang keras. Aku terus menjadi ketakutan.

Apabila sampai di rumah pemuda itu, aku diikat dengan seutas tali dan dibiarkan di dalam sebuah bilik yang kosong. Aku cuba untuk menjerit tetapi aku ditampar olehnya lalu mulutku ditampal dengan sekeping kertas lekat. Pemuda itu hanya ketawa melihat aku diikat sebegitu. Dia terus keluar dan mengunci pintunya. Dari siang hingga ke malam, aku hanya boleh berdoa agar aku dapat dibebaskan.

Pada keesokan harinya, pemuda itu memasuki bilik itu dan terus meminta nombor telefon ibu bapaku. Aku tidak mahu memberikan nombor itu kepadanya lalu dia mengamcamku. Tanpa berlengah lagi, aku menurut perintahnya itu. Apabila dia sudah mendapat nombor tersebut, dia terus menghubungi ibu bapaku. Dia memberitahu mereka bahawa aku di dalam genggamannya dan mereka harus memberinya wang tebusan jikalau mereka mahu aku selamat. Pada pukul satu petang, waktu yang telah ditetapkan, aku dan pemuda itu terus berjalan ke sebuah taman yang berdekatan. Setibanya kami di sana, aku ternampak ibu bapaku yang kelihatan panik telah menunggu aku di situ. Pemuda itu dengan pantas memegang aku dengan kuat agar aku tidak dapat melarikan diri sebelum dia mendapatkan wang tebusannya. Tiba-tiba, beberapa pegawai polis menyerbu ke arah kami. Aku tersenyum kegembiraan melihat kepintaran ibu bapaku.

Pemuda itu lalu diberkas oleh pegawai-pegawai polis itu. Aku terus berlari menghampiri ibu bapaku dengan perasaan gembira sehingga aku menitis air mata melihat mereka. Mereka terus memelukku. Aku sangat berterima kasih kepada ibu bapaku dan tidak akan lupa jasa mereka buat selama-lamanya seperti pantun berikut;

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.


Hasil karya: Anisah Bte Mohd Dawood, 6G (2009)

Satu Penyesalan

Ketika Samad pulang dari sekolah tengah hari itu, wajahnya kelihatan muram. Cik Hanis, ibunya, berasa ada yang tidak kena dengan sikap anaknya itu fikir Cik Hanis. Namun begitu, Cik Hanis tidak bertanya apa-apa. Dia menyuruh anaknya itu berehat dahulu.

Tiba-tiba, Samad bersuara, “Ibu, boleh berikan saya wang sebanyak $100?”

Cik Hanis sangat terperanjat dengan permintaan anaknya. Dia bertanya kepada anaknya mengapa dia perlu wang sebanyak itu. Samad hanya terdiam. Lama-kelamaan, Cik Hanis tidak sabar dan terus memberi wang yang sebanyak $100. Samad menerima duit itu dengan segera. Dia pun meminta izin daripada ibunya untuk ke taman permainan. Walaupun keberatan, ibunya tetap memberi kebeneran kepadanya untuk pergi.

Setibanya di taman permainan itu, Samad memberi wang sebanyak $100 dolar kepada kawannya. Selepas itu, kawannya membawanya ke blok 545 lalu ke suatu tempat. Kawan Samad memberinya sebuah beg. Di dalam beg itu berisi dengan rokok haram.

Mereka tidak perasan bahawa pihak pois telah memerhatikan gerak-geri mereka. Beberapa minit kemudian, pihak polis menyerbu mereka. Samad dan kawan-kawannya dibawa ke balai polis. Oleh kerana mereka masih bawah umur, mereka disuruh menelefon ibu bapa mereka. Ibu Samad terperanjat apabila terdengar akan kejadian itu. Samad dibenarkan pulang hanya dengan ikat jamin. Samad berasa malu menghadapi ibunya. Setibanya di rumah, Cik Hanis merotannya dan menanyakan apa yang dia telah buat.

Samad berterus terang kepada ibunya tentang masalahnya itu. Samad sebenarnya telah ketagih menghisap rokok. Cik Hanis mengambil keputusan untuk tidak membenarkan anaknya keluar bersendirian lagi. Dia juga berazam untuk membantu anaknya mengatasi masalahnya itu. Samad pula berasa sangat kesal akan perbuatannya itu tetapi nasi sudah menjadi bubur. Peristiwa itu telah berlaku. Samad hanya bertekad untuk menjadi seorang anak yang baik kerana dia tidak mahu menyesal hari kemudiannya, bak kata pepatah, sesal dahulu ada pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Hasil karya: Nur Adilah Bte Soffian, 6I (2009)

Kes Ragut

“Tak sabarlah hari ni. Ibu mesti dah membelikan kek hari lahir Ali,” bisik Ali di dalam hati. Walaupun gurunya sedang sibuk mengajar, Ali tidak dapat memberi perhatian kerana dia sedang sibuk menantikan kek yang telah dijanjikan ibunya. Ali rasa air liurnya meleleh memikirkan kek perisa coklat itu.

“Ring!” Loceng sekolah berdering menandakan waktu sekolah sudah tamat. Ali terus bergegas keluar dari bilik darjahnya sambil mengangkat beg sekolahnya yang berat macam batu itu. Dia tidak sabar untuk pulang ke rumah walaupun dia berasa sangat letih. Setapak demi setapak Ali melangkah, hatinya berdebar menantikan kek coklat yang menantinya. Setiap tahun, ibu Ali akan membelikannya sebiji kek perisa coklat untuk hari lahirnya dan tahun ini tidak ada bezanya.

Semasa Ali sedang berjalan pulang ke rumah, dia terdengar jeritan seorang wanita. Apabila dia menoleh ke arah jeritan itu, dia ternampak seorang pemuda yang berbadan sasa sedang meragut beg tangan seorang wanita. Kulit peragut itu hitam macam arang dan rambutnya kusut masai. Wanita itu kelihatan panik dan sedang menjerit-jerit meminata bantuan. Jeritannya itu mengusik suasana yang tenang pada petang itu. Tanpa berlengah lagi, Ali dengan pantas menuju ke arah wanita itu. Wanita itu terus memberitahu Ali apa yang telah terjadi.

Ali dengan segera mengejar peragut itu yang laju macam kilat. Ali mengejar peragut dengan penuh semangat kerana dia benar-benar ingin membantu wanita itu. Semasa dia sedang mengejar peragut itu, kebetulan terdapat dua orang pegawai polis yang sedang meronda di kawasan itu. Mereka ternampak Ali mengejar peragut yang sungguh licik itu. Dengan segera, mereka angkat kaki untuk membantu Ali mengejar peragut itu.

Setelah beberapa minit mereka berkejar-kejaran, Ali dan kedua orang pegawai polis tadi berjaya menangkap peragut itu. Kedua orang pegawai polis tiu terus memberkas peragut itu. Ali dengan cepat mengucapkan ribuan terima kasih kepada kedua orang pegawai polis itu atas bantuan mereka. Ali pun mencari wanita tadi untuk memulangkan beg tangannya.

Apabila wanita itu menerima beg tangannya, dia mengucapkan terima kasih kepada Ali dan bertanyakan nama Ali lalu memberinya wang nota bernilai seratus dolar.

Pada mulanya, Ali menolak pemberian wanita itu. Namun, setelah didesak, Ali menerima hadiah tersebut dengan gembira seperti peribahasa, ‘kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan’.

Ali pun pulang ke rumah dengan hati yang gembira. Selain daripada mendapat wang sebanyak seratus dolar, dia berasa ghairah menanti kek coklat kegemarannya. Apabila Ali tiba di rumah, dia dapati tiada orang yang ada di rumah. Hatinya meruntun kecewa. Dia terus menelefon ibunya untuk menanyakan di manakah dia berada. Ali betul, betul kecil hati apabila mendapat tahu bahawa ibunya masih berada di ofisnya dan akan pulang lewat. Ali tertanya-tanya mengapa ibunya boleh terlupa tentang hari lahirnya. Tidak lama kemudian, Ali pun tertidur kerana terlalu letih.

Pada keesokan harinya, Ali terdapat kejutan yang amat menggembirakan. Sebaik sahaja matanya celik, dia ternampak beberapa buah hadiah di dalam biliknya. Dia berasa gembira sekali kerana ibunya masih ingat akan hari lahirnya. Dia pun bergegas ke ruang tamu dan mendapati ibunya sudah berada di meja makan. Dia pun terus memeluk ibunya dan mengucapkan terima kasih atas pemberiannya. Ibunya hanya tersenyum dan mencium pipi anak kesayangannya itu lalu menyuruhnya duduk bersama untuk bersarapan pagi. Ketika Ali berada di meja makan, matanya terlintas sebuah artikel yang tertera di suratkhabar pagi itu. Ali terus mencapainya lalu membaca artikel tersebut.

Ali terkejut apabila mendapat tahu bahawa lelaki yang meragut beg tangan wanita semalam sebenarnya adalah suami wanita tersebut. Sebenarnya, suami wanita tersebut adalah seorang penagih dadah yang memerlukan wang untuk membiayai ketagihannya itu. Wanita itu meluahkan rasa kecewa terhadap sikap suaminya dan suaminya pula berasa amat kesal dengan perbuatannya seperti pantun berikut;

Sungguh dalam di tengah lautan,
Tempat bertapa Sang Buaya,
Sesal dahulu ada pendapatan,
Sesal kemudian tiada gunanya.

Setelah membaca artikel itu, Ali pun menceritakan peristiwa semalam kepada ibunya. Ibunya menyatakan rasa bangga terhadap anaknya yang telah menolong orang yang dalam kesusahan dan harap anaknya akan terus berbuat demikian.

Hasil karya: Zuhairi Anuar, 6J (2009)