Isnin, 25 Oktober 2010

Ibuku

Aku melamun seorang diri di dalam kamarku. Tiada sesiapa yang berada disisiku. Aku membelek sebuah album yang sudah lama dibiarkan di dalam almari. Satu persatu gambar di dalam album itu aku menatap. Setiap gambar membuahkan seribu kenangan manis yang tidak dapatku lupakan. Tanpa aku sedari, air mataku mengalir. Teringatlah aku tentang satu peristiwa yang begitu menyedihkan. Baru dua bulan yang lalu aku kehilangan seorang ibu yang sangat aku sayangi. Ibuku telah mengalami kemalangan yang parah sehinggakan doktor tidak dapat menyelamatkannya. Aku kesal. Kerana akulah, ibu boleh meninggal dunia.

Pada masa itu, aku hendak pulang ke rumahku dengan keputusan peperiksaanku yang amat mengecewakan. Apabila tiba di rumah, aku pun menunjukkan keputusanku kepada ibuku. Ibuku berasa kecewa dengan diriku kerana keputusan yang aku dapat bukanlah keputusan yang diharapkannya. Ibu bertanya mengapa aku tidak memberi perhatian kepada guru semasa guru sedang mengajar. Teguran itu membuat aku menjadi berang kerana aku tidak boleh menerimanya. Aku pun meninggikan suaraku untuk membela diriku dengan bahasa yang agak kasar.

Beberapa minit kemudian, bapaku pun pulang. Dia amat terperanjat melihat aku bergaduh dengan ibu. Dia pun menanyakan apa yang telah berlaku. Kami berdua hanya membisu. Oleh kerana dia tidak mahu memanjangkan cerita, dia pun beredar dari situ. Aku masih tidak puas hati. Ibu pula terus mengikut bapaku masuk ke dalam bilik. Tiba-tiba aku dengar ibu menangis. Aku dapat tahu bahawa bapaku telah dibuang kerja disebabkan kegawatan ekonomi. Ibuku merasakan masa depan keluarga kami tidak cerah. Dia terus keluar dari rumah. Dia mungkin hendak menghilangkan rasa tertekannya.

Setengah jam kemudian, telefon rumah aku berdering. Aku menjawab panggilan itu. Di balik panggilan itu ialah seorang pegawai polis. Pegawai polis itu menyatakan bahawa ibuku telah mengalami kemalangan di daerah Woodlands. Aku terpaku dan mulutku ternganga. Tidak pernah sekalipun terlintas dalam fikiranku bahawa kejadian ini akan berlaku. Bapaku melihat keadaanku dengan segera mencapai gagang telefon dan menjawab panggilan itu. Bapaku kelihatan tenang walaupun aku tahu di dasar hatinya tidak sebegitu.

Kami dengan segera bergegas ke hospital di mana ibuku berada. Namun, kami telah terlambat kerana ibu sudah pergi buat selama-lamanya. Aku tidak sempat memberitahunya yang aku telah kesal dengan perangaiku yang kasar tadi. Ibu, aku benar, benar kesal.

Sejak peristiwa itu, aku terus berubah. Aku kini selalu belajar dengan tekun dan berjaya memperolehi markah yang cemerlang setiap peperiksaan. Aku berazam untuk melanjutkan pelajaranku hingga ke menara gading demi ibuku yang tercinta.

Hasil karya: Syafiqah, 5F (2009)