Isnin, 25 Oktober 2010

Satu kejadian yang berakhir dengan perpisahan

Terasa berat hatiku untuk meninggalkan kampung ini. Terlalu banyak peristiwa yang telah berlaku di sini. Aku merenung ke langit yang luas. Teringat pula satu peristiwa yang pahit macam hempedu. Aku mengalirkan air mata. Betapa kesalnya diriku pada waktu itu. Tindakan aku yang bodoh itu telah menyebabkan perpisahan di antara aku dan ibu bapaku. Akulah punca perpisahan itu.

Aku memeluk dan mencium ibu bapaku sebelum menuju ke dewan berlepas untuk menaiki pesawatku. Aku telah berjaya memasuki Universiti Harvard di England dengan keputusan peperiksaanku yang cemerlang itu. Aku melambaikan tanganku ke arah ibu bapaku.

Namun, kos pesawat, yuran sekolah, rumah sewaku dan wang perbelanjaanku amat mahal. Keluargaku pula miskin. Orang tuaku terpaksa membiayai segala kos keperluanku supaya aku dapat belajar di universiti untuk menjadi orang yang berguna. Mereka pun bekerja bertungkus-lumus selama empat tahun meskipun sudah tua.Namun begitu,duit yang mereka perolehi tidak mencukupi kos keperluanku. Mereka terpaksa menjual rumah mereka lalu berpindah ke sebuah pondok yang kecil demi mendapatkan wang untuk diriku.Juga, orang tuaku yang semakin berumur telah menggunakan wang daripada wang simpanan mereka supaya dapat membiayai segala kos keperluanku. Sementara itu, aku menikmati kemewahan yang diberikan di England. Ibu bapaku tidak pernah menceritakan kepayahan mereka kepada diriku.

Hari yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Keputusan peperiksaan diumumkan. Aku melonjak dengan kegirangan. Tanpaku sedari, aku telah menitiskan air mata. Aku berjaya mendapat gred pujian untuk kesemua subjek. Ibu bapaku juga menerima surat yang mengandungi keputusan peperiksaanku. Mereka amat gembira dan puas hati. Akhirnya, mereka dapat juga menemui anak tunggal mereka yang tercinta. Berita itu pun tersebar di suratkhabar dan berita tersebut telah menjadi buah mulut orang ramai di desaku di Kampung Damai.

Aku tiba di lapangan terbang di tanah airku. Ramai orang telah datang untuk menyambut kepulanganku. Aku mencari-cari ibu bapaku. Sekonyong-konyong, aku terserempak mereka dengan pakaian yang compang-camping dan mereka kelihatan comot dan kotor. Jantungku berdebar-debar. Fikiranku kusut-masai dengan benang-benang kegelisahan. Patutkah aku mengaku bahawa mereka orang tua aku? Aku malu.
Ibu bapaku menghampiriku sepantas kilat. Orang ramai tercengang melihat perbuatan mereka. Tanpa berfikir dua kali, aku menolak ibuku sehingga dia jatuh ke lantai. Kepalanya berlumuran darah. Rasa kesal merasuk tubuhku.

“Tergamak kau lakukan ini kepada ibu. Setelah ibu bersusah payah mencari wang untukmu, kau sanggup buat begini. Kau langsung tak menghargai jasa ibu dan ayahmu. Ibu tidak pernah mengharapkan balasan tetapi kau anak derhaka! Kau bagaikan kacang lupakan kulit. Pintu syurgamu telah tertutup, wahai anakku,” ujar ibuku dengan nada yang sedih dan marah pada waktu yang sama.

Ibuku mengucap dua kalimah syahadah lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Bapaku yang menyaksikan kejadian itu tiba-tiba diserang sakit jantung. Ibu bapaku meninggal dunia sekaligus. Aku menangis tanpa henti. Malangnya, nasi sudah menjadi bubur. Aku terpisah dengan orang tuaku. Mereka tidak akan kembali ke dunia lagi.

Aku mengesat air mataku lalu mengangkat begku ke dalam teksi. Entah ke mana harus aku pergi. Aku seharusnya menghargai jasa orang tuaku. Aku gerun menantikan nasibku. Terlalu banyak memori yang terputik di kampungku ini. Aku berpaling lalu menatap desaku buat kali terakhirnya.

Hasil karya: Nur Aisyah Lyana, 6E (2009)