Isnin, 25 Oktober 2010

Anakku Samad

Aku seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Samad. Aku amat menyayanginya bagaikan menatang minyak yang penuh. Namun, dia telah melukakan hatiku. Tidakku sangka yang dia sanggup membuat demikian. Beginilah ceritanya . . .

Saban hari, Samad akan pulang dari sekolah lalu salam sambil mencium tanganku. Namun, pada suatu petang, Samad agak berlainan. Bukan sahaja dia tidak salam dan mencium tanganku tetapi dia kelihatan sedih. Aku rasa dia penat lalu menyuruhnya untuk pergi berehat. Aku tidak mahu merumitkan lagi masalah yang dia ada. Samad turuti perintahku lalu menuju masuk ke dalam kamarnya. Aku pun menyambung kerjaku. Apabila waktu untuk makan petang tiba, aku pun memanggilnya. Tiada balasan yang aku terima. Aku pun memanggilnya sekali lagi. Masih tiada balasan yang aku terima. Aku pun menjadi cemas. Hatiku berdegup-degup kerana Samad ialah anak kesayanganku.

Apabila aku masuk ke dalam kamarnya, aku dapati dia sedang tidur lalu aku pun mengejutnya. Aku mengajak Samad makan bersamaku. Perlahan-lahan seperti kura-kura, Samad menuju ke ruang makan. Semasa kami sedang makan, Samad memberitahuku yang dia memerlukan wang sebanyak $100. Aku berasa terkejut. Mataku terbeliak besar. Telingaku tidak percaya apa yang dikatakan Samad. Betulkah dia meminta $100? Aku hanya membisu tidak memberinya sebarang jawapan. Samad pula hanya menundukkan kepalanya, tidak berani melihatku.

Keesokan harinya, aku telah membuat keputusan untuk memberikan duit itu kepadanya. Aku tidak mahu anak emasku bersedih. Apabila dia mendapat wang itu, dia tersenyum lebar. Barulah lega hatiku. Namun, di dalam lubuk hatiku, aku masih tertanya-tanya mengapa dia memerlukan wang sebanyak itu. Keadaan di rumah kembali seperti biasa.

Namun, pada suatu hari, aku telah menerima berita yang telah menjawab segala pertanyaanku tentang perangai Samad. Alangkah terperanjatnya aku apabila ternampak anakku dengan kawan-kawannya berada di sebuah pusat makanan. Aku hanya memerhatikan gelagatnya dengan teliti. Samad sedang bersuka ria dengan kawan-kawannya. Dia berlagak seperti anak orang kaya memesan makanan untuk kawan-kawannya. Padahal, aku harus berpenat lelah menjual kuih-muih di warung untuk mendapatkan nafkah untuk menyara kehidupan kami berdua. Setelah selesai makan, Samad menghulurkan wang $100 itu untuk membayarkan makanan minuman yang dipesan tadi. Hatiku terasa sakit seperti dicucuk pisau yang tajam. Tanpaku sedari, air mataku mengalir membasahi pipi. Aku pun beredar dari tempat itu.

Ketika di rumah, aku menunggu kepulangan Samad untuk mendapatkan penerangannya. Tidak lama kemudian, Samad pun pulang. Aku pun bersemuka dengan anakku. Aku memberitahunya betapa kecewa aku dengan perangainya. Aku pun berkata yang aku tidak marah sekiranya dia mahu belanja kawannya tetapi dia harus fikir yang aku bukanlah orang berada dan duit yang aku kumpulkan adalah untuk perbelanjaan persekolahan. Aku juga menasihatinya supaya berbelanja mengikut kemampuannya dan jangan berlagak. Samad hanya tertunduk malu. Dia berasa sungguh kesal dengan perangainya. Dengan segera dia meminta maaf kepadaku dan berjanji tidak akan melakukan perkara itu lagi. Dia pun berjanji yang dia akan belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasaku kerana membesarkannya. Aku hanya tersenyum. Aku memaafkan Samad, anakku. Aku hanya mahu Samad berlaku jujur dan menjadi manusia yang sempurna apabila dia dewasa kelak.

Hasil karya: Nurul Izzah, 5H (2009)