“Ayuh, cepat bersiap-siap!
Kita akan bercuti selama 4 hari,” kata ayah.
Aku terpinga-pinga. Bukankah sempadan semuanya ditutup sekarang?
Lagipun kita semua tidak dibenarkan melancong. Ke mana pula ayah ingin membawa
kami sekeluarga?
“Nailah, kita akan bercuti dalam negeri,” jawab ayah
dengan selamba.
Itulah kata-kata terakhir
daripada ayahku. Aku masih teringat kata-kata arwah ayahku seolah-olah ia
berlaku semalam. Itulah percutian yang terakhir bersama seluruh ahli keluarga
aku. Air mataku jatuh membasahi pipiku yang gebu. Pemergian arwah ayahku telah
membuat titisan air seluruh keluargaku jerih jatuh berguguran dari sudut mata
kami setiap hari. Sering kali aku bertanya kepada Ilahi mengapakah ayahku harus
meninggalkan kami? Mengapakah awal sekali dia diambil daripada kami? Aku tahu
aku tidak harus melawan takdir Tuhan tetapi pemergian lelaki yang terpenting
dalam kehidupanku membuat aku hilang arah. Sekiranya ayah tidak membuat kejutan
untuk bercuti, dia mungkin ada bersama kami. Kemalangan itu mungkin tidak akan
berlaku. Mengpakah ayah masih berdegil mahu keluar walaupun cuaca hujan lebat
pada hari itu? Peristiwa itu mencarik hatiku tanpa belas ihsan. Aku amat
merindui ayah.
“Nailah! Bangun sekarang! Kami akan pergi
ke tempat yang menarik dan indah untuk percutian minggu ini!” teriak ayah.
Ketika itu aku masih
bermalas di atas katil. Bercuti? Ayah bergurau agaknya. Dengan perasaan malas,
aku bergerak keluar bilik. Seluruh ahli keluargaku sedang bersiap-siap untuk
bercuti walaupun kami masih di dalam keadaan pandemik Covid-19. Aku berdiri tercegang.
Betul ke kita akan bercuti? Aku rasa perbuatan ayahku sangat pelik kerana dia
jatuhkan rancangan ini kepada kami secara mendadak. Dia membuat rancangan untuk
bercuti tanpa pengetahuan kami. Beribu-ribu soalan bermain di dalam mindaku.
“Kakak! Oi!” pekik adikku, Adrian,
Aku tersentak lalu melihat jam dindingku. Sekarang sudah
jam lapan pagi. Aku rasa aku hanya tidur selama empat jam sahaja. Aku masih
mengantuk. Aku menyesal tidur lambat kerana aku ada banyak kerja sekolah yang
perlu diselesaikan semasa cuti sekolah. Sering kali aku tertanya mengapakah
cuti sekolah diberikan kepada murid-murid tetapi kami tetap harus buat kerja
sekolah? Tidak masuk akal langsung. Aku tercegat di depan almari aku yang
dipenuhi dengan pelbagai pasang baju. Namun aku tidak tahu apa yang aku perlu
bawa. Adakah kami akan melawat datuk dan
nenek di Pulau Ubin atau tinggal di sebuah hotel yang mewah dan mahal selama
empat hari?
“Nailah! Adrian! Cepat nanti
kita lambat,” teriak ayah sambil melihat jam tangannya.
Deruman enjin melanggar
gegendang telingaku. Bunyi kereta enjin yang berkarat sedia untuk pergi ke
tempat yang ayah ingin membawa kami. Aku dengan kelam-kabut memilih baju-bajuku
dan tanpa melipatnya aku memasukannya ke dalam bagasiku. Aku terus memakai
pelitup muka lalu berjalan ke arah kereta yang menungguku. Perjalanan kami sudah
mula. Sinar gembira mengerlip di mata ayahku. Selama lima belas tahun aku
kenali ayahku, aku tidak pernah nampak ayahku berasa begitu ghairah untuk pergi
ke sesuatu tempat.
Ketika itu, cuaca panas yang
membakar kulitku membuat manik-manik peluh berguguran di dahiku. Ayahku
tiba-tiba menyanyi lagu-lagu Melayu klasik dari zaman 90an yang dia telah
memperkenalkan aku dan Adrian. Seluruh ahli keluarga aku gemar menyanyi lagu
kegemaran kami iaitu ‘Balik Kampung’ yang dinyanyi oleh penyanyi Allahyarham Datuk
Sudirman Haji Arshad semasa kami bercuti atau balik kampung datuk dan nenek di
Pulau Ubin. Tiba-tiba matahari mula hilang di balik awan yang semakin gelap.
Kebimbangan aku mula membakar. Aku tidak mahu percutian itu dibatalkan.
Sebenarnya, aku tidak mahu percutian itu dibatalkan kerana aku malas untuk
membuat kerja sekolah semasa cuti sekolah.
Awan-awan hitam kelihatan
berarak ditiup angin. Aku membuka tingkap kereta untuk merasa angin bertiup
kencang di mukaku. Angin kencang itu menjatuhkan daun-daun kering dari pohon-pohon
yang berjejer semasa perjalanan. Beberapa minit kemudian, hujan mula turun
dengan lebat. Kilat sambar-menyambar disusuli bunyi guruh yang berdentum-dentam.
Aku mula risau kerana perjalanan di hadapan kelihatan kabur dan membuat
pandangan ayahku tidak jelas.
“Berhati-hati memandu
kereta itu ayah,” pesan aku kepada ayah.
Ayah hanya tersenyum
seolah-olah cuba menenangkan hatiku. Namun bunga-bunga kebimbangan menguntum di
kelopak hati aku. Ayahku memandu kereta dengan berhati-hati kerana jalan raya
basah dan licin. Namun malang tidak berbau. Semasa kami sedang berbual-bual
tentang percutian itu, ayahku hilang kawalan semasa memandu kereta. Aku
menjerit sambil memeluk ibuku dan adikku dengan erat. Di dalam mindaku,
sekiranya kami ditakdirkan untuk meninggal dunia, kami akan pergi bersama.
Kedengan bunyi seretan tayar kereta di atas
jalan raya itu menandakan kereta Toyota kami tidak dapat dikawal ayah. Ayahku memandu
kereta itu ke arah kanan untuk mengelak kereta kami melanggar kereta-kereta
lain tetapi dia tidak tahu bahawa di sebelah kanan ialah cerun bukit yang
dipenuhi dengan pokok-pokok. Ini kerana ayah tidak boleh nampak keadaan di
sekelilingnya dengan jelas. Hujan pula menggila.
“Ayah!” jerit aku. Dengan
itu, kereta itu terjatuh. Keadaan menjadi gelap gelita.
Kelemahan membelit diri aku
bagaikan ikan kena tuba. Aku menangis
melolong. Seluruh tubuhku menggelepar macam ayam disembelih. Aku nampak
keluarga aku di dalam keadaan teruk. Darah mengalir dari kepala kami hingga ke
kaki disebabkan kecederaan yang parah dari kemalangan tadi. Nasib baik kaki aku
terseliuh dan dahi aku berdarah sahaja kerana aku memakai tali pinggang keledar.
Aku terus cuba mencari telefon bimbit di dalam kereta Toyota itu. Beberapa
minit kemudian, aku jumpa telefon bimbit itu di dalam bagasi ibuku. Aku dengan secepat
mungkin menelefon ambulans. Beberapa minit kemudian aku pitam.
Kedengaran bunyi siren
ambulans memecah kesunyian jalan raya itu. Aku dikejut oleh siren ambulans itu.
Hatiku bersyukur kerana akhirnya, ambulans sudah tiba. Aku ternampak beberapa orang
paramedik dengan segera mengeluarkan usungan-usungan untuk meletakkan ayah, ibu
dan adik aku di atas usungan- usungan itu. Aku terus memberitahu kepada seorang
paramedik yang merawat aku tentang kemalangan tadi. Dia berjanji keapda aku bahawa
keluarga aku di dalam keadaan selamat.
“Ibu bapa kamu dan adik kamu akan
dihantar ke hospital dengan segera untuk mendapatkan rawatan. Insya’Allah
mereka akan sembuh. Kamu jangan bimbang ya,” pujuk paramedik itu yang cuba
membuat hatiku tenang sedikit.
Setelah kami sampai di
hospital, aku diletakkan di dalam wad kanak-kanak bersama adik aku. Walaupun
kami berdua tidak mengalami kecederaan yang begitu parah, aku berasa sangat
bimbang akan keadaan ibu dan ayahku. Bagaimanakah keadaan mereka? Di manakah
mereka berada sekarang? Aku dan Adrian
amat memerlukan dakapan ibu dan ayah kamu. Ayah ibu di manakah kamu?
Beberapa minit kemudian, seorang doktor datang ke dalam
wad aku untuk memeriksa keadaan aku dan Adrian. Mujurlah keadaan kaki aku dan
kepala aku tidak begitu parah. Doktor itu pun langsung ke arah Adrian. Tiba-tiba
adik aku bangun. Perasaan gembira meruap di dada aku. Aku terus pergi ke arah adikku semasa doktor
itu melakukan pemeriksaannya. Adrian kelihatan tenang. Mungkin kerana dia masih
kecil dan tidak tahu tentang keadaan yang sebenarnya. Aku terus bertanya doktor
itu untuk memberi aku kebenaran untuk melawat ibu dan ayahku tetapi doktor itu berkata
bahawa mereka harus berehat dahulu. Aku terpaksa akur.
Hari demi hari berlalu. Aku masih tidak dapat jumpa ibu
dan ayahku. Aku mulai berasa marah dan resah. Mengapakah mereka tidak
membenarkan aku melawan ibu dan ayah? Tiba-tiba selang beberapa hari, doktor yang
sama timbul di tepi katil hospital aku. Aku duduk di atas katil lalu
melihatnya. Raut wajah doktor itu tidak kelihatan gembira. Hatiku mula bimbang.
Aku cuba menolak segala fikiran negatif. Namun apa yang aku rasakan ada kebenarannya. Doktor itu berkata kepada aku
dan adikku bahawa ayahku telah meninggal dunia daripada kecederaannya yang
parah. Dia telah menerangkan kepada aku bahawa kepala ayahku cedera parah
akibat kemalangan itu. Otaknya berdarah dan mereka tidak dapat menghentikan
darah itu. Mereka telah cuba sedaya upaya mereka untuk menyelamatkan ayahku
tetapi ayahku telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas meja
pembedahan.
Mata aku mula terasa basah.
Beberapa titik air jernih mula membasahi pipi aku. Aku dan adik aku menangis
teresak-esak. Kami saling memeluk antara satu sama lain. Keadaan kami yang sangat
menyedihkan membuat doktor kami menangis sekali. Selepas kami sudah dibenarkan
keluar dari hospital, ibuku mengadakan upacara pengebumian ayah. Saudara-maraku,
datuk dan nenekku semua datang untuk mengiring ayah ke Pusara Aman. Itulah kali
terakhir kami bersama sebagai sebuah keluarga. Dengan itu, tarikh 31 Ogos ialah
tarikh yang kami tidak akan lupakan.
“Nailah, mari makan sekarang.
Ibu sudah masak makanan kegemaran kamu iaitu nasi lemak,” ajak ibu aku. “Ibu
tahu kamu masih merindui arwah ayah kamu. Mari kita sama-sama mengirimkan doa
Al-Fatihah kepada ayah ya. Semoga roh ayah dicucuri rahmat,’’ sambung Ibu aku
sambil mengajak aku dan adikku untuk berdoa untuk arwah ayah.
Doa itu dikirim dengan penuh kasih sayang dan perasaan rindu
terhadap ayah yang kami sayangi.
Satu tahun sudah berlalu. Kali ini, ibu yang merancang
percutian kami. Percutian keluarga tanpa ayah. Tiba-tiba ibu memberitahu aku tentang
percutian yang ingin dibawa arwah ayah. Aku sedar aku tidak pernah tahu ke mana
arwah ayah mahu membawa kami sekeluarga. Sebenarnya, arwah ayah ingin membawa
kami ke ‘Marina Bay Sands’. Aku tahu penginapan di tempat itu bukanlah murah.
Namun arwah ayah sudah menyimpan duit agar kami dapat menikmati keindahan
bercuti di hotel yang mewah itu selama 4 hari. Air mataku berlinangan apabila
aku dengar kata-kata ibu. Mulianya hati ayahku yang inginkan yang terbaik untuk
anak-anaknya. Ayah, aku sangat merindui kamu ayah.
Hasil Karya: NUR SOFEA BINTE AZHAR, 6E (2021)