Ahad, 20 November 2022

Bersusah-susah dahulu, Bersenang-senang kemudian

             

                   Adi seorang budak yang degil. Dia suka bermain permainan komputer sehingga waktu malam setiap hari apabila pulang dari sekolah.

                Pada suatu Ahad, Adi sedang bermain permainan komputernya apabila dia teringat bahawa dia mempunyai peperiksaan keesokan hari. Dia berasa bimbang tetapi masih bermain permainan komputernya dan tidak belajar untuk peperiksaan yang akan mula tidak lama lagi. Selepas dia bermain permainan komputernya, Adi sedar waktu pun sudah larut malam.

             “Alamak, sudah waktu malam! Saya belum habiskan kerja rumah saya dan esok saya ada peperiksaan yang sangat penting. Apa yang harus saya lakukan sekarang?” tanya Adi kepada dirinya sendiri.

                 Oleh sebab Adi terlalu penat, dia pun tertidur. Segala perasaan bimbang tadi telah luput.

             Pada waktu pagi, Adi berjalan dangan kawannya, Bob. Perasaan gelisah mula menyelubungi dirinya pada setiap langkah yang dia ambil.

                 Bob bertanya, “Adi, awak sudah belajar untuk peperiksaan hari ini?"

                Adi hanya menggelengkan kepalanya sambil menundukkan kepalanya tanda kesal. Dia tahu dia tidak boleh lakukan apa-apa kerana semuanya sudah terlambat bak pepatah nasi sudah menjadi bubur.

         Namun, Bob tetap mahu memberikan semangat kepada Adi dengan memberinya kata-kata perangsang.

 Bob tersenyum lalu berkata, “Cubalah yang terbaik. Mana tahu sekiranya kamu boleh menjawab beberapa soalan yang boleh membantu kamu.” 

            Adi membalas dengan senyuman malas kepada Bob kerana dia tahu dia tidak mungkin lulus dengan sikapnya yang degil dan pemalas. Dia masih berasa risau. Tidak lama kemudian, mereka pun masuk ke dalam sekolah dan menuju ke kelas mereka. Semasa mereka duduk di kerusi mereka, Puan Tan, guru mereka, mengumumkan bahawa peperiksaan mereka akan bermula dalam tiga puluh minit lagi.

             Dalam tiga puluh minit itu, Adi membuat kata putus untuk cepat-cepat lihat notanya dengan harapan dia dapat menjawab beberapa soalan yang boleh membantunya seperti apa yang dikatakan Bob tadi. Selepas tiga puluh minit itu, peperiksaan tersebut pun mula. Adi berasa gementar tetapi dia cuba menenangkan dirinya.

             “Akhirnya, selepas satu jam empat puluh lima minit yang panjang itu, peperiksaan pun sudah tamat,” kata Adi sambil mengeluh.

           Selepas seminggu berlalu, Adi mendapat kembali kertas peperiksaannya. Tangannya menggeletar semasa menerima kertas peperiksaannya. Dia takut untuk melihat markahnya. Dia pun dengan perlahan-lahan mendedahkan markahnya kepada dirinya sendiri. Sekuntum senyuman terukir di bibirnya. Dia telah berjaya untuk lulus peperiksaan itu. Walaupun markahnya tidak begitu tinggi, dia tetap lulus. Dia berjaya mendapat lima puluh lapan markah daripada seratus markah untuk kertas peperiksaannya. Hati Adi melonjak-lonjak kegembiraan. Barulah dia berasa lega.

             Ketika itu, sesuatu terlintas di mindanya. Sekiranya dalam masa tiga puluh minit dia berjaya meraikan kelulusan, bayangkan berapa banyak markah yang dia boleh dapat sekiranya dia memberi fokus terhadap pelajarannya. Dengan itu, Adi membuat kata putus lagi untuk berehat daripada permainan komputernya dan lebih fokus kepada pelajarannya.

     Kini Adi dilihat sering menelaah pelajarannya dan tidak begitu sibuk dengan permainan komputernya. Ibu bapanya bangga melihat Adi berubah menjadi seorang anak yang lebih baik. Ini termasuk guru-guru di sekolah Adi juga. Mereka gembira perubahan Adi ini memberi manfaat kepada dirinya.

         Adi mendapat pengajaran daripada peristiwa itu iaitu untuk  bersusah dahulu sebelum menikmati ganjarannya bak kata pepatah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

 Hasil Karya: Fatin Marsha Binte Mahamad Mohari (5C)