Ahad, 20 November 2022

Satu Salah Sangka

 

                Afiqah dan aku sudah berkawan semenjak kami berusia lima tahun. Aku sungguh beruntung mendapat kawan seperti Afiqah. Sememangnya kami banyak persamaan selain daripada suka membaca. Kami berdua bagai dakwat dan kertas dan jarang berpisah. Di mana adanya saya, di situ juga adanya Afiqah. Afiqah seorang kawan yang baik budi dan lemah lembut. Saya suka melihat perangainya yang sering sabar dan rajin membantu orang lain. Dia jarang hilang marah dan sering tersenyum.

        Pada hari lahirku yang ke-sebelas, aku berasa sangat ghairah dan tidak sabar untuk menyambutnya. Ibu dan ayah aku telah mengaturkan sebuah majlis untuk menyambut hari itu. Mereka telah menjemput ramai keluarga dan kawan-kawan aku termasuk Afiqah. Selepas semua orang yang dijemput telah hadir, ibu dan ayah aku mengajak mereka makan lalu memotong kek. Akhirnya masa untuk aku membuka hadiah-hadiah yang diberi tetamu-tetamu kami. Ayah aku menyuruh aku membuka hadiah yang lain sebelum membuka hadiah yang diberi olehnya dan ibu aku. Setelah membuka semua hadiah, aku pun mula membuka hadiah ibu bapaku. Apabila aku ternampak benda yang mereka telah memberi aku, aku berlari ke arah mereka untuk memeluk mereka kerana terlalu gembira. Di dalam kotak itu, terdapat sebuah telefon bijak yang terkini. Aku mengucapkan terima kasih berkali-kali kepada mereka.

             Pada keesokan hari, aku pergi ke sekolah dengan membawa telefon bijak baharu itu. Aku membawa telefon itu dengan niat untuk menunjuk kepada semua kawan sedarjah aku pada waktu rehat. Malangnya semasa waktu rehat tiba,  aku tak dapat jumpa telefon bijak baharu aku yang telah aku pegang tadi. Aku cuba mencarinya di dalam beg sekolahku, kocekku dan sekeliling mejaku tetapi aku masih tidak jumpa. Aku jadi bengang kerana tidak ingat di mana aku meletaknya. Aku cuba untuk ingat lagi sekali di mana aku telah meletakkan telefon itu. Setahu aku, hanya Afiqah sahaja yang tahu aku membawa telefon bijakku itu.

            “Kamu ke yang ambil telefon bijak aku?” tanya aku kepda Afiqah dengan perasaan marah.

Afiqah menggelengkan kepalanya. Walaupun Afiqah cuba membantu dan mencadangkan tempat-tempat yang patut aku cari, telefon bijak itu masih juga tidak dijumpai. Semakin lama aku mencari, semakin marah perasaanku. Habis Afiqah ditengking aku dan semua yang dibuatnya menjadi salah bagiku. Aku mulai mengesyaki Afiqah dan percaya dialah orang yang telah mengambil telefon bijakku itu. Seperti aku, dia juga amat menyukai telefon bijak aku it. Mungkin dia berasa cemburu dan telah mengambilnya tanpa aku sedari. Puas aku bertanya tetapi Afiqah tetap menafikannya. Akhirnya, dia menangis dan berlari pergi dari situ. Aku semakin yakin bahawa ini semua salah dia. Apalah nasib aku mendapat kawan yang cemburu seperti dia!

               Aku melaporkan kejadian itu kepada guru aku. Guruku berjanji untuk menolong aku mencari dan dia juga akan berjumpa dengan Afiqah untuk mendapatkan penjelasan daripadanya. Setelah tamat sekolah, aku pun mengemas mejaku untuk menyimpan buku-buku aku sambil menunggu guruku datang. Tiba-tiba aku terjumpa telefon bijak aku terselit di tengah-tengah sebuah buku teks. Aku berasa sungguh bersalah dan dengan segera bangun aku berlari untuk mencari Afiqah. Namun Afiqah tidak mahu bercakap dengan aku malah dia tidak mahu melihat muka aku. Perasaan aku pada masa itu sungguh sedih dan aku tidak putus asa meminta maaf dengan Afiqah dengan  mencuba menceritakan hal yang telah berlaku. Mujur akhirnya, dia dengar apa yang aku mahu cakap. Namun malangnya, dia tidak dapat memaafkan aku kerana dia berasa kecewa atas tuduhan aku terhadapnya.

               Sekarang baru aku sedar bahawa sangkaan burukku terhadap temanku ini ternyata tidak benar sama sekali. Aku menyesal kerana sikapku yang mudah menuduh tanpa usul periksa telah merenggangkan hubunganku dengan teman baikku. Walaupun perkara itu telah berlaku beberapa hari yang lepas, aku masih mencuba berbaik dengan Afiqah. Walaupun kami sudah kembali berkawan, persahabatan kami tidak serapat dahulu. Namun aku tidak berputus asa dan akan terus berusaha membina persahabatan aku dengan Afiqah sehingga dia memaafkan aku sepenuhnya.

Hasil karya: Hana Amani Binte Mohamed Sophian (5E)