Khamis, 4 Julai 2013

Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Gunanya

“Itu sahajalah untuk rancangan Jejak Jenayah pada minggu ini. Ingat, berhati-hatilah dengan ‘tailong-tailong’ ini. Jangan meminjam wang daripada peminjam-peminjam duit haram ini,” sebut pengacara rancangan Jejak Jenayah.

Dengan itulah Amir memetik suis televisyen. Rancangan Jejak Jenayah pada hari itu telah membawa kembali kenangan-kenangan yang pahit. Apa yang terjadi dua tahun yang lalu masih bermain di kotak fikiran Amir. Peristiwanya bermula begini.

Pada Jumaat itu, aku dan Amir sepatutnya berkumpul di satu sudut bersama teman-teman kami untuk membincangkan tentang projek di sekolah sebelum waktu pembelajaran. Namun, Amir membisu sahaja. Air mukanya sedih sahaja. Aku tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbincangan mereka. Aku cuba berborak dengannya tetapi mulutnya bagaikan dikunci. Aku cuba menanyakan apa masalahnya tetapi dia masih mendiamkan diri sahaja. Aku cuba bergurau dengannya untuk membuatnya ketawa tetapi tiada senyuman pun yang terukir di bibirnya.

“Mari kita mula projek kita, Amir,” aku berkata dengan nada perlahan, sambil tersenyum lebar.

Tiba-tiba, Amir melalak. Matanya merah macam biji saga sementara air matanya bergenangan membasahi pipi tembamnya tanpa henti. Aku terperanjat. Aku boleh mendengar hati aku berdegap-degup. Aku hairan.

“Mengapakah awak menangis?” aku bertanya dengan sabar.

Sambil menghela nafas panjang, dia mula menceritakan masalah keluarganya kepada kepadaku. Sebenarnya, abangnya kaki judi. Dia meminjam wang daripada peminjam duit haram untuk membiayai hutangnya yang bergunung disebabkan tabiat berjudinya. Semalam, pintu Amir dijilat api. Nasib baik Amir telah bangun untuk ke tandas apabila dia terbau asap. Ayahnya berjaya memadamkan api itu. Seringkali juga, pintu rumah mereka disimbah dengan cat merah dan hitam. Keluarganya sudah penat hendak membersihkan cat itu.

Amir terus menangis tersesak-esak. Aku menepuk bahunya dan cuba memujuknya. Aku bercadang untuk dia berbual dengan abangnya dan juga menasihatinya untuk mengubah sikapnya. Amir menelan air liurnya sambil memandang jauh. Dia memberitahu aku bahawa ayah dan ibunya selalu menasihatinya tetapi nasihat itu seperti masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Dia memang degil macam keldai. Setakat itu sahajalah perbualan kami kerana loceng berdering menandakan bahawa pelajaran kami akan bermula.

Selepas sekolah, semasa makan tengah hari di rumah, Amir pun berbual dengan abangnya. Suaranya perlahan dan dia berasa serba salah hendak menegur seseorang yang lebih tua daripadanya.

“Abang, Amir tahu memang susah untuk abang berhenti berjudi dan meminjam wang daripada peminjam duit haram tetapi abang mesti berfikir tentang ibu bapa kita. Ibu telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang dan dengan harapan bahawa kita menjadi orang yang berguna dan berjasa kepada mereka dan masyarakat. Ayah pula ringan tulang untuk menyara kehidupan kita sekeluarga. Dia memegang dua jawatan semata-mata untuk membayar hutang abang. Saya harap abang akan mendengar nasihat saya,” Amir berkata kepada abangnya sambil memandangnya dengan penuh harapan.

Abang Amir termenung sejenak. Setelah berfikir, abangnya bersuara. Suaranya terketar-ketar. Air matanya memenuhi kelopak matanya. Dia meluahkan perasaannya kepada Amir.

“Amir, Abang minta maaf. Abang sedang cuba berubah. Semalam apabila pintu rumah kita dijilat api, abang bertekad hendak berubah. Abang tidak mahu menyesal kemudian apabila ahli keluarga abang diapa-apakan. Abang juga berasa sedih melihat ibu bapa malu menghadapi jiran-jiran. Abang akan cuba sedaya upaya untuk berubah. Namun, ketagihan seperti ini akan mengambil masa untuk pulih. Abang harap Amir, ibu dan ayah tidak jemu memberi abang sokongan,” kata abangnya.

Amir dan abangnya mendakap satu sama lain. Perasaan kasih sayang tidak pernah pudar di antara dua beradik ini. Harapan yang positif berputik di dalam hati Amir kerana dia yakin abangnya akan berubah.

Ding! Dong! Kedengaran loceng pintu rumah Amir berbunyi. Amir tersentak daripada lamunannya dan kembali ke alam realiti. Dia melihat ke arah pintu rumahnya dan senyuman terukir di bibirnya. Abangnya sudah pulang dari tempat kerjanya. Kini, dua tahun kemudian, abang Amir sudah berubah. Dia sekarang memegang jawatan sebagai seorang guru. Pintu hati Amir diketuk kegembiraan. Peminjam duit haram tidak lagi mengganggu mereka. Amir bersyukur kerana abangnya sudah insaf dan berubah. Abang Amir sedar bahawa dia seharusnya berubah sebelum sesuatu perkara yang buruk berlaku terhadap dirinya dan ketika itulah masa untuk menyesal sudah terlambat bak peribahsa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Amir akan sentiasa mengingati peristiwa itu, bukan kerana kepahitannya sahaja tetapi tentang kemanisannya juga kerana sesuatu yang baik telah berputik daripada peristiwa itu. Hubungan Amir sekeluarga semakin erat dan Amir berasa bangga bahawa keluarganya telah berjaya mengatasi masalah yang besar sebegitu. Setiap ahli keluarga telah memainkan peranan dalam perubahan dalam diri abang Amir bak pantun pusaka berikut,

Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang payah menjadi senang.

Karya:           Ishuarwin Kaur Kosha
                        Sekolah Rendah Woodgrove
                        Pri 5G

Isnin, 1 Julai 2013

Sambutan Hari Kebangsaan Yang Begitu Bermakna Kepada Saya Dan Keluarga

           "Boom! Boom! Boom!"begitulah bunyi tembakan bunga api di udara.

            Berwarna-warni kilauan cahaya menerangi angkasa. Itulah saat-saat yang saya dan keluarga nanti-nantikan pada setiap sambutan hari kebangsaan setiap tahun.

          Masih segar diingatan saya pada 9 Ogos tahun 2012, sambutan Hari Kebangsaan Singapura yang diadakan di Marina Bay Sands. Bangunannya  indah dan berbentuk seakan-akan sebuah kapal. Saya sekeluarga dari awal lagi telah membuat perancangan dan persiapan. Pakaian kami sama warnanya dengan warna bendera Singapura. Kami mengenakan baju yang berwarna merah dipasangkan dengan seluar yang berwarna putih. Tiket untuk menyaksikan acara-acara menarik pada Hari Kebangsaan sudah kami dapatkan. Pendek kata semua persiapan untuk menyambut hari lahir negara tercinta sudah kami siapkan.

           Pada jam 4 petang, kami sekeluarga sudah sampai di Marina Bay Sands dan kami terus duduk di bangku-bangku yang berwarna-warni mengikut warna tiket. Tiket-tiket tersebut pula boleh ditukarkan dengan beg cenderahati.

            "Seronoknya!" bisik hati saya.

            Banyak barang-barang yang terdapat di dalam beg itu seperti makanan, minuman, lampu dan banyak lagi.

            Setelah menungu selama dua jam, barulah acara yang gemilang itu dimulakan. Acara dimulakan dengan ucapan dari Presiden dan Perdana Menteri Singapura dan diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan serta ikrar negara. Semua yang hadir berdiri tanda hormat. Perasaan bangga menyelubungi seluruh sanubari saya. Saat itu, saya benar-benar bangga menjadi rakyat Singapura.

           Acara perbarisan, persembahan tarian dan nyanyian memeriahkan lagi  suasana. Apabila  hari semakin gelap, kami menghidupkan lampu berwarna yang diberi. Semua yang hadir berasa terhibur dengan acara-acara yang diatur. Namun, yang paling kami senangi ialah acara bunga api.

           Malam itu kami pulang dengan perasaan gembira dan kenangan yang pastinya tidak dapat kami lupakan. Meraikan hari jadi terbesar negara bersama seluruh rakyat Singapura.


Karya : Siti Khadijah Bte Mohd Yusof
              Sekolah Rendah Woodgrove
              Pri 6G