Isnin, 1 Julai 2013

Sambutan Hari Kebangsaan Yang Begitu Bermakna Kepada Saya Dan Keluarga

           "Boom! Boom! Boom!"begitulah bunyi tembakan bunga api di udara.

            Berwarna-warni kilauan cahaya menerangi angkasa. Itulah saat-saat yang saya dan keluarga nanti-nantikan pada setiap sambutan hari kebangsaan setiap tahun.

          Masih segar diingatan saya pada 9 Ogos tahun 2012, sambutan Hari Kebangsaan Singapura yang diadakan di Marina Bay Sands. Bangunannya  indah dan berbentuk seakan-akan sebuah kapal. Saya sekeluarga dari awal lagi telah membuat perancangan dan persiapan. Pakaian kami sama warnanya dengan warna bendera Singapura. Kami mengenakan baju yang berwarna merah dipasangkan dengan seluar yang berwarna putih. Tiket untuk menyaksikan acara-acara menarik pada Hari Kebangsaan sudah kami dapatkan. Pendek kata semua persiapan untuk menyambut hari lahir negara tercinta sudah kami siapkan.

           Pada jam 4 petang, kami sekeluarga sudah sampai di Marina Bay Sands dan kami terus duduk di bangku-bangku yang berwarna-warni mengikut warna tiket. Tiket-tiket tersebut pula boleh ditukarkan dengan beg cenderahati.

            "Seronoknya!" bisik hati saya.

            Banyak barang-barang yang terdapat di dalam beg itu seperti makanan, minuman, lampu dan banyak lagi.

            Setelah menungu selama dua jam, barulah acara yang gemilang itu dimulakan. Acara dimulakan dengan ucapan dari Presiden dan Perdana Menteri Singapura dan diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan serta ikrar negara. Semua yang hadir berdiri tanda hormat. Perasaan bangga menyelubungi seluruh sanubari saya. Saat itu, saya benar-benar bangga menjadi rakyat Singapura.

           Acara perbarisan, persembahan tarian dan nyanyian memeriahkan lagi  suasana. Apabila  hari semakin gelap, kami menghidupkan lampu berwarna yang diberi. Semua yang hadir berasa terhibur dengan acara-acara yang diatur. Namun, yang paling kami senangi ialah acara bunga api.

           Malam itu kami pulang dengan perasaan gembira dan kenangan yang pastinya tidak dapat kami lupakan. Meraikan hari jadi terbesar negara bersama seluruh rakyat Singapura.


Karya : Siti Khadijah Bte Mohd Yusof
              Sekolah Rendah Woodgrove
              Pri 6G