Cerita ini adalah tentang bagaimana saya memahami
pengorbanan seorang ibu. Bulan November ini bermakna sudah sebelas tahun saya
hidup di dunia ini. Namun saya sedar bahawa saya sudah banyak menyakiti hati
ibu saya. Kini saya sudah tahu sedikit-sebanyak tentang pengorbanan seorang
ibu. Ceritanya bermula begini…
Doktor telah mengesahkan ibu saya hamil. Saya mula berasa iri hati
kerana saya berfikiran negatif, menyangka bahawa keluarga saya akan bersikap
berat sebelah kerana mendapat cahaya mata baharu. Namun, saya tersilap. Ibu
tersayang tetap melayan saya dengan amat
baik sekali. Sejak hari itu, saya mula cuba untuk memahami pengorbanan seorang
ibu. Pada saya, inilah waktu dan peluang yang terbaik untuk mendalami hal ini.
Pada
awal kehamilan ibu saya, dia sering muntah dan sentiasa berasa lemah dan letih.
Siapa lagi yang menjaga dia kalau bukan
saya. Jika saya bersekolah, nenek saya yang masih sihat itu akan datang ke rumah saya untuk bantu
menjaga ibu saya. Mujurlah, nenek saya tinggal berdekatan. Ayah saya pula
bekerja siang malam untuk mencari wang. Dia sentiasa membanting tulang demi
mencari nafkah. Kadang-kala dia berasa pilu kerana tidak dapat memberi kemewahan
yang saya inginkan. Selepas saya pulang dari sekolah, nenek saya akan pulang ke
rumahnya untuk menjaga datuk saya yang kurang sihat.
Saya berasa amat simpati melihat ibu saya dalam keadaan sebegitu. Dia
akan berasa pening kepala, kerap muntah, lemah, sakit di beberapa bahagian
tubuh dan banyak lagi. Perasaannya juga tidakmenentu. Kadang-kala dia akan
berasa tertekan tanpa sebab. Pada waktu-waktu begitu, saya tidak boleh
mengganggunya. Selepas menyiapkan kerja sekolah, saya akan menemani ibu saya.
Nenek saya sudah membuat hampir kesemua kerja rumah. Saya akan menyiapkan baki-baki
tugas yang ada. Walaupun penat, saya pasti bahawa keringat saya amat bermakna
kepada ibu saya.
Ibu
saya akan berasa tidak selesa, dan perangainya kadang-kala amat pelik. Namun,
dia tetap berusaha untuk berdikari dan menjaga saya. DIa akan sentiasa
berterima kasih kepada saya terhadap setiap perkara mahupun kecil atau besar yang
saya lakukan. Dia sentiasa terlantar di atas katil kerana dia tidak kuat untuk
berjalan terlalu lama atau membuat apa-apa pekerjaan. Dia mahu saya sentiasa
menemaninya kerana dia berasa kesunyian jika bersendirian. Dia juga berasa muak
untuk memakan ubat yang sama setiap hari. Saya pula akan memujuknya supaya
makan ubat tersebut.
Akhirnya, waktu yang dinanti-nantikan sudah tiba. Selepas segala derita
yang dialami, ibu saya akhirnya melahirkan adik saya. Walaupun saya tidak dapat
melihat ibu melahirkan, saya seakan terdengar-dengar jeritannya semasa
melahirkan adik saya. Perasaan gelisah mula menyelubungi saya. Selepas ibu
selamat melahirkan, saya sekeluarga dibenarkan untuk melawatinya. Mukanya pucat
seperti mayat kerana terlalu letih tetapi senyuman manis tetap terpancar di mukanya. Saya
berasa amat kagum dengannya kerana dia tidak pernah mengeluh semasa menjalani
dugaan yang amat besar.
Dia
tetap berlaku adil terhadap saya dan adik. Dia tetap menjaga anak-anaknya
dengan baik dan penuh kasih sayang ketika
sihat mahu pun ketika sakit. Saya masih
ingat bagaimana dia menjaga saya semasa dia demam dahulu. Pada masa itu, dia
masih lagi melayan saya dengan baik. Air mata mula membasahi pipi saya.
Kini
saya sudah tahu sedikit sebanyak tentang pengorbanan seorang ibu. Kita harus sentiasa
menghormati ibu kita dan jangan sesekali melukakan hati mereka. Sesungguhnya
doa seorang ibu adalah yang paling mujarab dan restu seorang ibu dapat membantu
dalam kehidupan anak-anaknya.