Isnin, 28 September 2015

Satu Penyesalan

Aku melangkah malas. Kepanasan sinaran matahari menggigit-gigit kulitku. Peluh merenik-renik kasar di dahiku. Ingin sekali aku membasahi tekakku yang kering ini. Dalam perjalananku ke kedai untuk membeli air minuman kegemaranku, aku ternampak seorang belia sedang berjalan bersama dua orang pegawai polis. Tangannya digari dan dia diiring ke arah sebuah kereta polis. Fikiranku terus melayang ke sebuah peristiwa yang berlaku sepuluh tahun yang lalu. Kejadian itu masih segar bermain di dalam minda itu. Itulah satu-satunya peristiwa yang telah membuat diriku sedar akan perbuatanku yang bodoh itu.
         Sepuluh tahun yang lalu, aku sungguh angkuh. Aku boleh dikatakan daripada keluarga yang berada dan aku tidak pernah perlu berusaha untuk apa-apa pun. Ketika itu, aku memegang jawatan yang tinggi dan mempunyai gaji yang besar kerana aku bekerja di syarikat bapaku. Aku tahu ramai pekerja di syarikat bapaku menganggap aku ini tidak berguna tetapi apa peduli aku. Aku berbelanja sewenang-wenangnya dan keluar masuk kerja sesuka hatiku. Bapaku kurang senang dengan perangaiku tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa. Aku memang kepala batu.
Aku berkenalan dengan isteriku, Qistina, semasa aku berada di dalam sebuah pesta. Aku dengan segera tertarik dengan perwatakannya yang lemah-lembut dan ayu. Kami berumahtangga beberapa bulan kemudian dan dikurniakan seorang cahaya mata Aku tidak tahu apa yang sedang aku fikirkan. Aku sangat bodoh macam kerbau. Pada masa aku dan isteriku berkenalan, dia tidak tahu tabiatku yang memang suka mengambil dadah. Itulah satu rahsia yang aku sembunyikan daripadanya.  Aku rasa aku boleh berhenti mengambil dadah bila-bila masa.
Dua tahun selepas aku berumahtangga, ketagihanku semakin  menjadi. Aku tidak dapat kawal lagi. Aku memerlukan dadah setiap hari kalau tidak aku akan naik berang. Aku tahu isteriku takut dengan aku apabila aku dalam keadaan demikian. Aku pun sekarang jarang ke tempat kerjaku.
Tanpa diduga, isteriku, Qistina, telah terjumpa dadahku di dalam sebuah laci di bilik mandi kami. Dia terus menanya aku tentang hal tersebut. Pada mulanya aku menafikannya. Setelah melihat air matanya bergenang berkaca-kaca, aku pun berterus terang. Aku dapat melihat hatinya meruntun kecewa. Dia terus dibuai kesedihan. Matanya tidak lagi memandangku dengan penuh kasih sayang. Aku tahu aku telah gagal sebagai seorang suami.

Setelah dua puluh minit mendiamkan diri, Qistina bangun lalu berjalan ke arahku. Dia memberitahu aku bahawa dia tidak suka dengan perangaiku dan mahu aku mendapat pertolongan dan berubah demi dia dan anak kami, Qusyairi.

          “Abang, tolonglah berubah. Saya tidak mahu apa-apa yang terjadi kepada keluarga kami. Qusyairi masih kecil dan saya tidak mahu dia mengikut jejak abang. Saya mohon kepada abang, tolonglah berubah demi Qistina dan Qusyairi,” kata isteriku kepadaku dengan penuh harapan.
          Aku tunduk, diam dan akur dengan apa yang dikatakan isteriku. Aku sedar bahawa isteriku memang amat menyayangiku walaupun aku tidak melayannya dengan baik. Selepas perbualan dia antara aku dan isteriku itu, aku pun bercadang untuk kembalikan dadah yang aku ada kepada kawanku dan mula untuk mengubah kehidupan yang baharu.
            Aku pun berjumpa dengan kawanku, Ashri, di kolong bloknya. Semasa aku memulangkan dadah itu kepada Ashri, tiba-tiba, ada sekumpulan pegawai polis menyerbu kami. Aku terperanjat lalu berlari dengan cepat seperti lipas kudung. Aku tidak mahu ditangkap kerana isteri dan anakku akan menderita. Siapa yang akan menjaga makan dan minum mereka jika aku tidak ada. Aku pun menyembunyi di belakang sebuah tembok. Tanpa di sedari, beberapa orang pegawai polis sudah pun berada di kawasan tembok yang aku sedang bersembunyi. Aku tidak boleh melarikan diri lagi. Aku ditangkap,  digari dan dibawa ke balai polis.
             Aku dipenjara selama lima tahun. Hukumanku tidak begitu berat kerana aku tidak mengedar dadah dan aku telah menyatakan bahawa aku memang mahu berubah. Semasa aku di dalam penjara, aku selalu fikir tentang isteri dan anakku di rumah. Aku bertekad untuk menjadi manusia yang sempurna. Aku mahu menjadi suami yang baik, anak yang soleh, pekerja yang rajin dan banyak lagi. Aku sangat kesal dengan perbuatanku. Dalam masa lima tahun itu, aku telah pelajari banyak perkara.
           Selepas lima tahun di dalam penjara, aku pun dibebaskan. Aku berasa gembira kerana aku dapat berjumpa dengan keluargaku semula. Aku telah berjanji kepada isteriku bahawa aku tidak akan mengulangi kesilapanku itu. Aku mensia-siakan masaku lagi. Aku akan mula mengeratkan hubungan keluargaku dengan lebih baik. Aku mahu mengajar Qusyairi nilai-nilai yang baik supaya dia tidak akan mengikut langkah burukku.
           “ Qusyairi, apabila kamu sudah dewasa kelak, jaga keluarga kamu baik-baik dan selalu meluangkan masa bersama mereka supaya kamu tidak ketinggalan saat-saat penting di dalam hidup mereka. Jangan menjadi seperti ayah. Ayah mahu melihat kamu menjadi manusia yang berguna demi nusa dan bangsa,” nasihat aku kepada Qusyairi.
               Bunyi siren kereta polis itu menyedari aku daripada lamunanku. Sekarang, aku berasa lebih bahagia bersama isteriku, Qistina dan anakku, Qustairi. Mereka sahajalah yang boleh membuatku bahagia dan aku berasa bebas daripada peristiwa silam itu.  Aku kini adalah seorang suami yang bertanggungjawab dan seorang anak yang mendengar kata-kata orang tuaku. Aku bersyukur aku masih diberi peluang untuk  mengubah diriku dan kehidupanku.

Ditulis oleh: Nurul Fikriyah (6B)