Isnin, 28 September 2015

Pengorbanan Seorang Ibu

Cerita ini adalah tentang bagaimana saya memahami pengorbanan seorang ibu. Bulan November ini bermakna sudah sebelas tahun saya hidup di dunia ini. Namun saya sedar bahawa saya sudah banyak menyakiti hati ibu saya. Kini saya sudah tahu sedikit-sebanyak tentang pengorbanan seorang ibu. Ceritanya bermula begini…
           Doktor telah mengesahkan ibu saya hamil. Saya mula berasa iri hati kerana saya berfikiran negatif, menyangka bahawa keluarga saya akan bersikap berat sebelah kerana mendapat cahaya mata baharu. Namun, saya tersilap. Ibu tersayang  tetap melayan saya dengan amat baik sekali. Sejak hari itu, saya mula cuba untuk memahami pengorbanan seorang ibu. Pada saya, inilah waktu dan peluang yang terbaik untuk mendalami hal ini.
            Pada awal kehamilan ibu saya, dia sering muntah dan sentiasa berasa lemah dan letih. Siapa lagi  yang menjaga dia kalau bukan saya. Jika saya bersekolah, nenek saya yang masih sihat  itu akan datang ke rumah saya untuk bantu menjaga ibu saya. Mujurlah, nenek saya tinggal berdekatan. Ayah saya pula bekerja siang malam untuk mencari wang. Dia sentiasa membanting tulang demi mencari nafkah. Kadang-kala dia berasa pilu kerana tidak dapat memberi kemewahan yang saya inginkan. Selepas saya pulang dari sekolah, nenek saya akan pulang ke rumahnya untuk menjaga datuk saya yang kurang sihat.
             Saya berasa amat simpati melihat ibu saya dalam keadaan sebegitu. Dia akan berasa pening kepala, kerap muntah, lemah, sakit di beberapa bahagian tubuh dan banyak lagi. Perasaannya juga tidakmenentu. Kadang-kala dia akan berasa tertekan tanpa sebab. Pada waktu-waktu begitu, saya tidak boleh mengganggunya. Selepas menyiapkan kerja sekolah, saya akan menemani ibu saya. Nenek saya sudah membuat hampir kesemua kerja rumah. Saya akan menyiapkan baki-baki tugas yang ada. Walaupun penat, saya pasti bahawa keringat saya amat bermakna kepada ibu saya.
             Ibu saya akan berasa tidak selesa, dan perangainya kadang-kala amat pelik. Namun, dia tetap berusaha untuk berdikari dan menjaga saya. DIa akan sentiasa berterima kasih kepada saya terhadap setiap perkara mahupun kecil atau besar yang saya lakukan. Dia sentiasa terlantar di atas katil kerana dia tidak kuat untuk berjalan terlalu lama atau membuat apa-apa pekerjaan. Dia mahu saya sentiasa menemaninya kerana dia berasa kesunyian jika bersendirian. Dia juga berasa muak untuk memakan ubat yang sama setiap hari. Saya pula akan memujuknya supaya makan ubat tersebut.
             Akhirnya, waktu yang dinanti-nantikan sudah tiba. Selepas segala derita yang dialami, ibu saya akhirnya melahirkan adik saya. Walaupun saya tidak dapat melihat ibu melahirkan, saya seakan terdengar-dengar jeritannya semasa melahirkan adik saya. Perasaan gelisah mula menyelubungi saya. Selepas ibu selamat melahirkan, saya sekeluarga dibenarkan untuk melawatinya. Mukanya pucat seperti mayat kerana terlalu letih tetapi senyuman manis tetap terpancar di mukanya. Saya berasa amat kagum dengannya kerana dia tidak pernah mengeluh semasa menjalani dugaan yang amat besar.
              Dia tetap berlaku adil terhadap saya dan adik. Dia tetap menjaga anak-anaknya dengan  baik dan penuh kasih sayang ketika sihat mahu pun ketika sakit.  Saya masih ingat bagaimana dia menjaga saya semasa dia demam dahulu. Pada masa itu, dia masih lagi melayan saya dengan baik. Air mata mula membasahi pipi saya.
              Kini saya sudah tahu sedikit sebanyak tentang pengorbanan seorang ibu. Kita harus sentiasa menghormati ibu kita dan jangan sesekali melukakan hati mereka. Sesungguhnya doa seorang ibu adalah yang paling mujarab dan restu seorang ibu dapat membantu dalam kehidupan anak-anaknya.

Ditlulis oleh: Nur Angelina (5F)