Ahad, 20 November 2022

Satu Salah Sangka

 

                Afiqah dan aku sudah berkawan semenjak kami berusia lima tahun. Aku sungguh beruntung mendapat kawan seperti Afiqah. Sememangnya kami banyak persamaan selain daripada suka membaca. Kami berdua bagai dakwat dan kertas dan jarang berpisah. Di mana adanya saya, di situ juga adanya Afiqah. Afiqah seorang kawan yang baik budi dan lemah lembut. Saya suka melihat perangainya yang sering sabar dan rajin membantu orang lain. Dia jarang hilang marah dan sering tersenyum.

        Pada hari lahirku yang ke-sebelas, aku berasa sangat ghairah dan tidak sabar untuk menyambutnya. Ibu dan ayah aku telah mengaturkan sebuah majlis untuk menyambut hari itu. Mereka telah menjemput ramai keluarga dan kawan-kawan aku termasuk Afiqah. Selepas semua orang yang dijemput telah hadir, ibu dan ayah aku mengajak mereka makan lalu memotong kek. Akhirnya masa untuk aku membuka hadiah-hadiah yang diberi tetamu-tetamu kami. Ayah aku menyuruh aku membuka hadiah yang lain sebelum membuka hadiah yang diberi olehnya dan ibu aku. Setelah membuka semua hadiah, aku pun mula membuka hadiah ibu bapaku. Apabila aku ternampak benda yang mereka telah memberi aku, aku berlari ke arah mereka untuk memeluk mereka kerana terlalu gembira. Di dalam kotak itu, terdapat sebuah telefon bijak yang terkini. Aku mengucapkan terima kasih berkali-kali kepada mereka.

             Pada keesokan hari, aku pergi ke sekolah dengan membawa telefon bijak baharu itu. Aku membawa telefon itu dengan niat untuk menunjuk kepada semua kawan sedarjah aku pada waktu rehat. Malangnya semasa waktu rehat tiba,  aku tak dapat jumpa telefon bijak baharu aku yang telah aku pegang tadi. Aku cuba mencarinya di dalam beg sekolahku, kocekku dan sekeliling mejaku tetapi aku masih tidak jumpa. Aku jadi bengang kerana tidak ingat di mana aku meletaknya. Aku cuba untuk ingat lagi sekali di mana aku telah meletakkan telefon itu. Setahu aku, hanya Afiqah sahaja yang tahu aku membawa telefon bijakku itu.

            “Kamu ke yang ambil telefon bijak aku?” tanya aku kepda Afiqah dengan perasaan marah.

Afiqah menggelengkan kepalanya. Walaupun Afiqah cuba membantu dan mencadangkan tempat-tempat yang patut aku cari, telefon bijak itu masih juga tidak dijumpai. Semakin lama aku mencari, semakin marah perasaanku. Habis Afiqah ditengking aku dan semua yang dibuatnya menjadi salah bagiku. Aku mulai mengesyaki Afiqah dan percaya dialah orang yang telah mengambil telefon bijakku itu. Seperti aku, dia juga amat menyukai telefon bijak aku it. Mungkin dia berasa cemburu dan telah mengambilnya tanpa aku sedari. Puas aku bertanya tetapi Afiqah tetap menafikannya. Akhirnya, dia menangis dan berlari pergi dari situ. Aku semakin yakin bahawa ini semua salah dia. Apalah nasib aku mendapat kawan yang cemburu seperti dia!

               Aku melaporkan kejadian itu kepada guru aku. Guruku berjanji untuk menolong aku mencari dan dia juga akan berjumpa dengan Afiqah untuk mendapatkan penjelasan daripadanya. Setelah tamat sekolah, aku pun mengemas mejaku untuk menyimpan buku-buku aku sambil menunggu guruku datang. Tiba-tiba aku terjumpa telefon bijak aku terselit di tengah-tengah sebuah buku teks. Aku berasa sungguh bersalah dan dengan segera bangun aku berlari untuk mencari Afiqah. Namun Afiqah tidak mahu bercakap dengan aku malah dia tidak mahu melihat muka aku. Perasaan aku pada masa itu sungguh sedih dan aku tidak putus asa meminta maaf dengan Afiqah dengan  mencuba menceritakan hal yang telah berlaku. Mujur akhirnya, dia dengar apa yang aku mahu cakap. Namun malangnya, dia tidak dapat memaafkan aku kerana dia berasa kecewa atas tuduhan aku terhadapnya.

               Sekarang baru aku sedar bahawa sangkaan burukku terhadap temanku ini ternyata tidak benar sama sekali. Aku menyesal kerana sikapku yang mudah menuduh tanpa usul periksa telah merenggangkan hubunganku dengan teman baikku. Walaupun perkara itu telah berlaku beberapa hari yang lepas, aku masih mencuba berbaik dengan Afiqah. Walaupun kami sudah kembali berkawan, persahabatan kami tidak serapat dahulu. Namun aku tidak berputus asa dan akan terus berusaha membina persahabatan aku dengan Afiqah sehingga dia memaafkan aku sepenuhnya.

Hasil karya: Hana Amani Binte Mohamed Sophian (5E)

Bersusah-susah dahulu, Bersenang-senang kemudian

             

                   Adi seorang budak yang degil. Dia suka bermain permainan komputer sehingga waktu malam setiap hari apabila pulang dari sekolah.

                Pada suatu Ahad, Adi sedang bermain permainan komputernya apabila dia teringat bahawa dia mempunyai peperiksaan keesokan hari. Dia berasa bimbang tetapi masih bermain permainan komputernya dan tidak belajar untuk peperiksaan yang akan mula tidak lama lagi. Selepas dia bermain permainan komputernya, Adi sedar waktu pun sudah larut malam.

             “Alamak, sudah waktu malam! Saya belum habiskan kerja rumah saya dan esok saya ada peperiksaan yang sangat penting. Apa yang harus saya lakukan sekarang?” tanya Adi kepada dirinya sendiri.

                 Oleh sebab Adi terlalu penat, dia pun tertidur. Segala perasaan bimbang tadi telah luput.

             Pada waktu pagi, Adi berjalan dangan kawannya, Bob. Perasaan gelisah mula menyelubungi dirinya pada setiap langkah yang dia ambil.

                 Bob bertanya, “Adi, awak sudah belajar untuk peperiksaan hari ini?"

                Adi hanya menggelengkan kepalanya sambil menundukkan kepalanya tanda kesal. Dia tahu dia tidak boleh lakukan apa-apa kerana semuanya sudah terlambat bak pepatah nasi sudah menjadi bubur.

         Namun, Bob tetap mahu memberikan semangat kepada Adi dengan memberinya kata-kata perangsang.

 Bob tersenyum lalu berkata, “Cubalah yang terbaik. Mana tahu sekiranya kamu boleh menjawab beberapa soalan yang boleh membantu kamu.” 

            Adi membalas dengan senyuman malas kepada Bob kerana dia tahu dia tidak mungkin lulus dengan sikapnya yang degil dan pemalas. Dia masih berasa risau. Tidak lama kemudian, mereka pun masuk ke dalam sekolah dan menuju ke kelas mereka. Semasa mereka duduk di kerusi mereka, Puan Tan, guru mereka, mengumumkan bahawa peperiksaan mereka akan bermula dalam tiga puluh minit lagi.

             Dalam tiga puluh minit itu, Adi membuat kata putus untuk cepat-cepat lihat notanya dengan harapan dia dapat menjawab beberapa soalan yang boleh membantunya seperti apa yang dikatakan Bob tadi. Selepas tiga puluh minit itu, peperiksaan tersebut pun mula. Adi berasa gementar tetapi dia cuba menenangkan dirinya.

             “Akhirnya, selepas satu jam empat puluh lima minit yang panjang itu, peperiksaan pun sudah tamat,” kata Adi sambil mengeluh.

           Selepas seminggu berlalu, Adi mendapat kembali kertas peperiksaannya. Tangannya menggeletar semasa menerima kertas peperiksaannya. Dia takut untuk melihat markahnya. Dia pun dengan perlahan-lahan mendedahkan markahnya kepada dirinya sendiri. Sekuntum senyuman terukir di bibirnya. Dia telah berjaya untuk lulus peperiksaan itu. Walaupun markahnya tidak begitu tinggi, dia tetap lulus. Dia berjaya mendapat lima puluh lapan markah daripada seratus markah untuk kertas peperiksaannya. Hati Adi melonjak-lonjak kegembiraan. Barulah dia berasa lega.

             Ketika itu, sesuatu terlintas di mindanya. Sekiranya dalam masa tiga puluh minit dia berjaya meraikan kelulusan, bayangkan berapa banyak markah yang dia boleh dapat sekiranya dia memberi fokus terhadap pelajarannya. Dengan itu, Adi membuat kata putus lagi untuk berehat daripada permainan komputernya dan lebih fokus kepada pelajarannya.

     Kini Adi dilihat sering menelaah pelajarannya dan tidak begitu sibuk dengan permainan komputernya. Ibu bapanya bangga melihat Adi berubah menjadi seorang anak yang lebih baik. Ini termasuk guru-guru di sekolah Adi juga. Mereka gembira perubahan Adi ini memberi manfaat kepada dirinya.

         Adi mendapat pengajaran daripada peristiwa itu iaitu untuk  bersusah dahulu sebelum menikmati ganjarannya bak kata pepatah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

 Hasil Karya: Fatin Marsha Binte Mahamad Mohari (5C)

SANGKAAN YANG BURUK

             Degupan   jantungku  begitu  kencang  bukan  kerana  aku  takut  tetapi  perasaan  ghairah  yang menyelubungi diriku. Buat pertama kali aku akan  tinggal bersendirian di rumah dan ibu membenarkan aku  mengajak  Zul  tinggal  bersama.  Siapa  lagi kalau bukan Zul  yang  akan  menemani aku.  Dialah kawanku dunia dan akhirat. Kawan sejatiku. Kami diibaratkan seperti isi dengan kuku. Tambahan pula, keluargaku  mengenali  keluarga  Zul  dan sudah tentu  ibuku  membenarkan  dia  tinggal  bersama aku sementara ibu dan ayahku berada di luar negara.

             Apabila tiba masanya untuk ibuku pergi ke Kuala Lumpur, aku dengan gembiranya menghantar ayah dan ibuku ke muka pintu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.

            "Zali, kamu pasti kamu tahu apa yang sepatutnya kamu lakukan?" tanya ibuuku sebelum dia bergerak.

         "Tahulah ibu. Ibu usah khuatir. Lagipun ibu pergi selama tiga hari sahaja. Zul pula akan menemani Zali,” jawab Zali untuk menenangkan hati ibunya.

       Aku tahu ibuku ada perasaan risau di dalam hatinya. Ibu mana tidak akan berasa risau meninggalkan anak tunggalnya di rumah. Aku yakin tidak ada apa-apa akan berlaku semasa pemergian mereka.

             "Baiklah, ibu akan pergi dahulu," jawab ibuku.

             “Ingat pesanan ayah juga. Jangan buat perkara yang akan membuat ibu dan ayah kecewa ya,” pesan ayahku pula.

             “Ya ayah,” janjiku.

             Aku bersalaman dengan ibu dan ayahku lalu melihat mereka bergerak. Dari atas aku melambai tanganku semasa mereka manaiki teksi yang sudah pun menunggu ketibaan mereka di tempat letak kereta di bawah. Sebaik sahaja teksi itu bergerak, aku terus menelefon Zul untuk datang ke rumahku. Aku tidak sabar untuk meluangakan masaku bersama Zul.

           Setibanya Zul berada di rumahku, dia mula berlari ke atas untuk mengambil telefon bimbitku lalu dan memanggil kawan-kawanya untuk membuat keramaian di rumahku. Aku membantah tindakannya tetapi dia buat bodoh seolah-olah aku tiada di situ. Aku tidak tahu siapa yang di balik panggilan telefon itu tetapi dia telah membuat rancangan untuk berhibur di rumahku. Namun, aku masih membantah tindakannya kerana aku tahu ibu bapaku pasti tidak membenarkan aku berkelakuan begitu. Oleh sebab kata-kataku hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri, aku mula meningking ke arah Zul dengan menggunakan kata-kata kesat. Aku menolaknya dan menghalau dia keluar dari rumahku.

             Aku sangka Zul mahu menggunakan peluang ketiadaan ibu bapaku untuk mengadakan pesta dan membuat kerosakan di rumah. Aku diselubungi perasaan marah yang tidak terkata.  Zul hanya menundukkan kepalanya. Dia cuba menerangkan sesuatu kepada aku tetapi aku tidak mahu mendengar apa-apa lagi daripadanya. Malah aku menolaknya keluar dari rumahku. Perasaan marah itu meruap-ruap di dadaku.

             “TAK GUNA PUNYA KAWAN!” teriak aku. Itulah kata-kata akhirku kepadanya.

           Kelihatan air mata menitis daripada kelopak matanya. Zul pun berjalan perlahan-lahan pulang. Aku pun masuk ke dalam rumahku sambil memikirkan perkara yang buruk-buruk terhadap Zul. Tiba-tiba, aku kedengaran bunyi tapak kaki berjalan ke arah rumahku.

             “Selamat hari lahir Zali! Kamu terperanjat . . . ” teriak suara ibuku kedengaran pada awalnya mula terhenti sebaik sahaja dia lihat rumahku kekosongan.

             Mataku terbeliak besar. Mengapakah ibu dan ayahku berada di hadapanku? Bukankah mereka mahu ke Kuala Lumpur untuk bercuti? Apakah maksud ini? Bertubi-tubi soalan timbul di mindaku.

              “Ibu, ayah. Kenapa ibu dan ayah berada di sini?” tanya aku penuh kebingungan.

 Mereka menerangkan bahawa mereka dan Zul telah merancang sebuah kejutan untukku sempena hari lahirku. Hari lahirku? Aku hampir lupa hari itu ialah hari lahirku. Zul! Aku telah menuduh Zul yang bukan-bukan sambil meluahkan kata-kata kesat terhadapnya. Patutlah dia kelihatan begitu kecewa dan sedih terhadap aku. Aku terus memberitahu ibu bapaku apa yang telah terjadi. Aku betul-betul kesal dengan sikapku yang suka bertindak sebelum berfikir. Ibu bapaku menyarankan agar aku menelefon Zul dan meminta maaf. Aku cuba tetapi setiap panggilan aku dimatikannya. Aku tahu aku telah rosakkan persahabatan kami. Aku mula menangis. Ibu bapaku memujuk aku agar bersabar dan menasihati aku untuk sentiasa periksa dahulu sebelum menuduh kawan akrabku sembarangan. Mereka faham mengapa aku bertindak sedemikian tetapi mereka menyalahkan aku dengan penggunaan kata-kata kesat terhadap sahabatku.

Aku hanya boleh bersabar sehingga Zul memaafkan aku semula. Aku yakin bahawa persahabatan kami boleh mengatasi masalah ini. Namun persahabatan kami mungkin tidak dapat kembali seperti dahulu. Aku betul-betul kesal.

         Sekarang baru aku sedar bahawa sangkaan burukku terhadap temanku ini ternyata tidak benar sama sekali. Aku menyesal kerana sikapku yang mudah menuduh tanpa usul periksa telah merenggangkan hubunganku dengan teman baikku.

Hasil karya: DANIAL MIRZA BIN RAZALI_5D