Khamis, 10 Mac 2022

Rakan Sejatiku

             Titisan air jernih berguguran dari sudut mataku. Kepalaku menunduk ke arah lantai, air mataku jatuh membasahi lantai wad hospital itu. Aku meletakkan tanganku di atas tangan nenek kesayanganku lalu menggenggam tangannya dengan lembut.

           “N...Nek, tolonglah, jangan tinggalkan Rina. Rina sayang nenek. Rina janji akan bersama nenek buat selama-lamanya Nek,” kata aku dengan lembut sambil membelai tangan nenekku dengan penuh kesedihan.

           Nenekku sudah banyak kali keluar masuk hospital. Namun kali ini dia seakan-akan sudah lama berada di hospital. Tidak aku sangka bahawa keadaannya akan menjadi semakin teruk. Tiba-tiba, tangan nenekku menggenggam tanganku dengan lemah. Aku terkejut kerana sudah lama dia berada di dalam keadaan tidak sedar diri. Aku terus melihatnya. Dia seolah-olah cuba untuk menyatakan sesuatu kepada aku. Namun aku tidak kedengaran apa-apa hanya melihat mulutnya terkumat-kamit. Aku terus mendekatinya dan meletakkan telinga di sebelah mulutnya.

           “Nenek sekarang tidak boleh menjaga Rina lagi. Nenek harap Rina dapat mencari seorang yang rakan yang baik. Seorang rakan yang dapat bersama kamu Rina. Tidak kira dalam keadaan yang baik atau buruk. Nenek percaya rakan itu boleh membimbing Rina ke arah yang baik,” bisik Nenek.

           Pada saat itulah, Nenek melepaskan tangan aku dan menutup matanya buat selama-lamanya. Selepas dia menghembuskan nafas terakhirnya, mesin bersebelahan katilnya berbunyi. Hatiku pecah seribu. Ibu dan ayahku ternampak wajahku lalu segara mendakap aku yang sedang gementar. Aku mula mengimbau kenangan silam yang aku ada dengan nenekku. Ingatan nostalgia terloncat daripada satu peristiwa kepada satu peristiwa yang lain.

           Bunyi mesin itu mengejutkan jururawat yang berada di luar wad nenekku. Mereka bergegas ke dalam wad itu untuk cuba menyelamatkan nenek. Namun aku tahu mereka sudah tidak boleh buat apa-apa lagi melainkan mengesahkan bahawa nenekku telah meninggal dunia. Mereka melihat aku dengan wajah simpati kerana mereka faham keakraban aku dan Nenek. Pada ketika itu, aku terasa kehidupanku hancur bagaikan kaca yang dihempas kuat ke batu. Jururawat-jururawat yang lain mula berkumpul di dalam wad itu untuk membuat kerja mereka lalu menyuruh keluargaku untuk keluar wad itu.

           Kepalaku tertunduk setelah mengingati kata-kata terakhir nenekku kepada aku. Kata-katanya terngiang-ngiang di telingaku. Aku berfikir panjang tentang apa yang dia maksudkan dengan ’rakan itu boleh membimbing Rina ke arah yang baik’. Setahu aku, aku sudah pun mempunyai ramai rakan yang gemar bergaul dengan aku. Itu yang penting, bukan? Mengapa pula Nenek sibuk suruh aku mencari seorang rakan yang baik? Aku berjalan ke hulu dan ke hilir di depan bilik wad nenekku sambil berfikir.

            Semasa aku sedang berfikir, tiba-tiba aku terdengar suara seorang perempuan yang amat aku kenali. Dia memang manis mulut kerana suaranya lemah-lembut dan kata-katanya pula yang paling manis. Walaupun begitu, kedengaran suaranya cukup membangkitkan sejuta rasa benci dan geram dan bunga-bunga kemarahan mulai membenih di wajahku jelas kelihatan. Kebencianku terpeteri jelas dalam ingatanku apabila aku melihat orang yang yang dahulunya aku menganggap rakanku, Aliyah. Di dalam tangannya, dia sedang memegang sejambak bunga

           “Rina, aku datang sebaik sahaja aku mendengar tentang pemergian nenek awak. Aku tahu awak masih tidak mahu berkawan dengan aku lagi tetapi aku hanya berada di sini untuk meminta maaf kepada awak. Aku telah menghalang awak daripada bergaul dengan rakan-rakan yang baru awak kenal kerana aku tahu mereka tidak baik untuk kamu. Aku risau apabila melihat perangai mereka dan aku tidak mahu awak terjebak dalam kegiatan mereka yang merosakkan akhlak. Kamu tidak tahu apa yang katakan tentang awak apabila awak tiada bersama mereka. Aku tidak bersama kamu kerana aku tidak suka bergaul dengan mereka. Namun aku mahu awak tahu bahawa aku masih ingin menjadi rakan awak,” kata Aliyah dengan penuh ikhlas kepadaku.

           Ketika itu, mulutku terkunci. Aku mati akal. Selepas tiada jawapan daripada diriku, Aliyah mengukir senyuman yang tipis lalu meletakkan buah tangannya di atas kerusi di sebelah aku. Dia mula bergerak dari situ. Aku menoleh ke arah sejambak bunga itu lalu mengambilnya dari kerusi itu. Sejambak bunga yang diberi oleh Aliyah ialah bunga kegemaran aku iaitu bunga ros berwarna putih. Aku memang suka warna itu kerana ia melambangkan kesucian dan keikhlasan. Sinar gembira mengerlip di wajahku. Aliyah masih ingat bunga kegemaran aku.

          Aku memegang sejambak bunga ros itu lalu menghidu keharuman bunga itu. Aku tahu Aliyah mahu berbaik semula dengan aku. Aku telah memutuskan persahabatan kami kerana aku rasa Aliyah terlalu mengongkong pergerakkan aku. Aku sebenarnya kesunyian semenjak Nenek berada di hospital kerana Nenek  yang selalu melayan aku di rumah sementara ibu dan ayahku berada di tempat kerja mereka. Rakan-rakan baharu akulah yang sering menemani aku ketika Nenek berada di hospital. Aliyah pula tidak kelihatan.

          Ring! Ring! Tiba-tiba, telefon bijak aku mula berbunyi. Seorang rakan baharu aku telah menghubungi aku.

“Eh, Lisa? Mengapa awak menelefon aku?” tanya aku kepada rakan baharuku,  Lisa yang tiba-tiba menelefon aku.

           “Tidak apa-apa, aku hanya meminjam duit lagi. Aku kehabisan wanglah. Lagi pun, kitakan rakan dan sebagai seorang rakan, kita sepatutnya saling membantukan? Ibu dan ayahkan kaya. Takkan pinjam duit sedikit pun tidak boleh?” kata Lisa dengan nada pasif agresif kepada aku.

          Aku mula berasa geram. Sudah beberapa kali aku telah meminjamkan duit kepadanya. Oleh disebabkan kemarahanku, aku mematikan pangillan itu tanpa bersuara apa-apa. Barulah aku sedar bahawa kata-kata Aliyah itu betul sebenarnya. Lisa dan rakan-rakan baharuku yang lain itu hanya berkawan dengan aku untuk menggunakan duitku. Ibu dan ayahku juga telah memarahi aku kerana aku telah memberikan mereka banyak duit. Namun ketika itu aku tidak mempedulikan mereka.

Selepas banyak berfikir, aku membuat kata putus untuk memutuskan persahabatan aku dengan Lisa dan rakan-rakan baharu tersebut. Kini aku memahami mengapa Aliyah asyik mengongkong pergerakkan aku apabila aku mahu bersama mereka. Pada saat itu juga, barulah aku dapat memahami kata-kata arwah nenekku tentang ’rakan itu boleh membimbing Rina ke arah yang baik’ dan apa yang Aliyah telah lakukan adalah untuk menujukan aku ke langkah kehidupan yang baik.

           Aliyah ialah rakan saya yang sejati. Dia tidak pernah meminjam duitku dam dan dia yang selalu menjaga hal ehwal saya. Dia juga yang datang ke hospital setelah mendengar tentang kematian nenekku. Dia betul-betul ingin menjadi rakan akrab aku. Dia juga tidak pernah berasa cemburu apabila aku berkawan dengan orang lain tetapi dia hanya bimbang kerana dia tahu mereka mahu duitku sahaja. Dia hanya mahu menjaga aku. Aku menyesal kerana aku hampir melepaskan persahabatan yang sangat erat ini. Setelah nenekku telah selamat dikebumikan, aku pergi berjumpa dengan Aliyah. Aku ingin menyelamatkan persahabatan kami. Aliyah menerima persahabatanku dengan tangan terbuka. Semenjak hari itu, persahabatan aku dengan Aliyah semakin rapat. Aku berasa lega dan beruntuk untuk mendapatnya sebagai seorang rakan yang sejati.

Hasil karya: NAYLI EZRA BINTE MUSZAHARI, KELAS 6E (2021)