Khamis, 10 Mac 2022

Percutian Terakhir

          “Ayuh, cepat bersiap-siap! Kita akan bercuti selama 4 hari,” kata ayah.

Aku terpinga-pinga. Bukankah sempadan semuanya ditutup sekarang? Lagipun kita semua tidak dibenarkan melancong. Ke mana pula ayah ingin membawa kami sekeluarga?

 “Nailah, kita akan bercuti dalam negeri,” jawab ayah dengan selamba.

            Itulah kata-kata terakhir daripada ayahku. Aku masih teringat kata-kata arwah ayahku seolah-olah ia berlaku semalam. Itulah percutian yang terakhir bersama seluruh ahli keluarga aku. Air mataku jatuh membasahi pipiku yang gebu. Pemergian arwah ayahku telah membuat titisan air seluruh keluargaku jerih jatuh berguguran dari sudut mata kami setiap hari. Sering kali aku bertanya kepada Ilahi mengapakah ayahku harus meninggalkan kami? Mengapakah awal sekali dia diambil daripada kami? Aku tahu aku tidak harus melawan takdir Tuhan tetapi pemergian lelaki yang terpenting dalam kehidupanku membuat aku hilang arah. Sekiranya ayah tidak membuat kejutan untuk bercuti, dia mungkin ada bersama kami. Kemalangan itu mungkin tidak akan berlaku. Mengpakah ayah masih berdegil mahu keluar walaupun cuaca hujan lebat pada hari itu? Peristiwa itu mencarik hatiku tanpa belas ihsan. Aku amat merindui ayah.

          “Nailah! Bangun sekarang! Kami akan pergi ke tempat yang menarik dan indah untuk percutian minggu ini!” teriak ayah.

          Ketika itu aku masih bermalas di atas katil. Bercuti? Ayah bergurau agaknya. Dengan perasaan malas, aku bergerak keluar bilik. Seluruh ahli keluargaku sedang bersiap-siap untuk bercuti walaupun kami masih di dalam keadaan pandemik Covid-19. Aku berdiri tercegang. Betul ke kita akan bercuti? Aku rasa perbuatan ayahku sangat pelik kerana dia jatuhkan rancangan ini kepada kami secara mendadak. Dia membuat rancangan untuk bercuti tanpa pengetahuan kami. Beribu-ribu soalan bermain di dalam mindaku.

            “Kakak! Oi!” pekik adikku, Adrian,

Aku tersentak lalu melihat jam dindingku. Sekarang sudah jam lapan pagi. Aku rasa aku hanya tidur selama empat jam sahaja. Aku masih mengantuk. Aku menyesal tidur lambat kerana aku ada banyak kerja sekolah yang perlu diselesaikan semasa cuti sekolah. Sering kali aku tertanya mengapakah cuti sekolah diberikan kepada murid-murid tetapi kami tetap harus buat kerja sekolah? Tidak masuk akal langsung. Aku tercegat di depan almari aku yang dipenuhi dengan pelbagai pasang baju. Namun aku tidak tahu apa yang aku perlu bawa.  Adakah kami akan melawat datuk dan nenek di Pulau Ubin atau tinggal di sebuah hotel yang mewah dan mahal selama empat hari?

         “Nailah! Adrian! Cepat nanti kita lambat,” teriak ayah sambil melihat jam tangannya.

           Deruman enjin melanggar gegendang telingaku. Bunyi kereta enjin yang berkarat sedia untuk pergi ke tempat yang ayah ingin membawa kami. Aku dengan kelam-kabut memilih baju-bajuku dan tanpa melipatnya aku memasukannya ke dalam bagasiku. Aku terus memakai pelitup muka lalu berjalan ke arah kereta yang menungguku. Perjalanan kami sudah mula. Sinar gembira mengerlip di mata ayahku. Selama lima belas tahun aku kenali ayahku, aku tidak pernah nampak ayahku berasa begitu ghairah untuk pergi ke sesuatu tempat.

          Ketika itu, cuaca panas yang membakar kulitku membuat manik-manik peluh berguguran di dahiku. Ayahku tiba-tiba menyanyi lagu-lagu Melayu klasik dari zaman 90an yang dia telah memperkenalkan aku dan Adrian. Seluruh ahli keluarga aku gemar menyanyi lagu kegemaran kami iaitu ‘Balik Kampung’ yang dinyanyi oleh penyanyi Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad semasa kami bercuti atau balik kampung datuk dan nenek di Pulau Ubin. Tiba-tiba matahari mula hilang di balik awan yang semakin gelap. Kebimbangan aku mula membakar. Aku tidak mahu percutian itu dibatalkan. Sebenarnya, aku tidak mahu percutian itu dibatalkan kerana aku malas untuk membuat kerja sekolah semasa cuti sekolah.

           Awan-awan hitam kelihatan berarak ditiup angin. Aku membuka tingkap kereta untuk merasa angin bertiup kencang di mukaku. Angin kencang itu  menjatuhkan daun-daun kering dari pohon-pohon yang berjejer semasa perjalanan. Beberapa minit kemudian, hujan mula turun dengan lebat. Kilat sambar-menyambar disusuli bunyi guruh yang berdentum-dentam. Aku mula risau kerana perjalanan di hadapan kelihatan kabur dan membuat pandangan ayahku tidak jelas.

           “Berhati-hati memandu kereta itu ayah,” pesan aku kepada ayah. 

          Ayah hanya tersenyum seolah-olah cuba menenangkan hatiku. Namun bunga-bunga kebimbangan menguntum di kelopak hati aku. Ayahku memandu kereta dengan berhati-hati kerana jalan raya basah dan licin. Namun malang tidak berbau. Semasa kami sedang berbual-bual tentang percutian itu, ayahku hilang kawalan semasa memandu kereta. Aku menjerit sambil memeluk ibuku dan adikku dengan erat. Di dalam mindaku, sekiranya kami ditakdirkan untuk meninggal dunia, kami akan pergi bersama.

          Kedengan bunyi seretan tayar kereta di atas jalan raya itu menandakan kereta Toyota kami tidak dapat dikawal ayah. Ayahku memandu kereta itu ke arah kanan untuk mengelak kereta kami melanggar kereta-kereta lain tetapi dia tidak tahu bahawa di sebelah kanan ialah cerun bukit yang dipenuhi dengan pokok-pokok. Ini kerana ayah tidak boleh nampak keadaan di sekelilingnya dengan jelas. Hujan pula menggila.

          “Ayah!” jerit aku. Dengan itu, kereta itu terjatuh. Keadaan menjadi gelap gelita.

        Kelemahan membelit diri aku bagaikan ikan kena tuba.  Aku menangis melolong. Seluruh tubuhku menggelepar macam ayam disembelih. Aku nampak keluarga aku di dalam keadaan teruk. Darah mengalir dari kepala kami hingga ke kaki disebabkan kecederaan yang parah dari kemalangan tadi. Nasib baik kaki aku terseliuh dan dahi aku berdarah sahaja kerana aku memakai tali pinggang keledar. Aku terus cuba mencari telefon bimbit di dalam kereta Toyota itu. Beberapa minit kemudian, aku jumpa telefon bimbit itu di dalam bagasi ibuku. Aku dengan secepat mungkin menelefon ambulans. Beberapa minit kemudian aku pitam.

           Kedengaran bunyi siren ambulans memecah kesunyian jalan raya itu. Aku dikejut oleh siren ambulans itu. Hatiku bersyukur kerana akhirnya, ambulans sudah tiba. Aku ternampak beberapa orang paramedik dengan segera mengeluarkan usungan-usungan untuk meletakkan ayah, ibu dan adik aku di atas usungan- usungan itu. Aku terus memberitahu kepada seorang paramedik yang merawat aku tentang kemalangan tadi. Dia berjanji keapda aku bahawa keluarga aku di dalam keadaan selamat.

       “Ibu bapa kamu dan adik kamu akan dihantar ke hospital dengan segera untuk mendapatkan rawatan. Insya’Allah mereka akan sembuh. Kamu jangan bimbang ya,” pujuk paramedik itu yang cuba membuat hatiku tenang sedikit.

          Setelah kami sampai di hospital, aku diletakkan di dalam wad kanak-kanak bersama adik aku. Walaupun kami berdua tidak mengalami kecederaan yang begitu parah, aku berasa sangat bimbang akan keadaan ibu dan ayahku. Bagaimanakah keadaan mereka? Di manakah mereka berada sekarang?  Aku dan Adrian amat memerlukan dakapan ibu dan ayah kamu. Ayah ibu di manakah kamu?

      Beberapa minit kemudian, seorang doktor datang ke dalam wad aku untuk memeriksa keadaan aku dan Adrian. Mujurlah keadaan kaki aku dan kepala aku tidak begitu parah. Doktor itu pun langsung ke arah Adrian. Tiba-tiba adik aku bangun. Perasaan gembira meruap di dada aku.  Aku terus pergi ke arah adikku semasa doktor itu melakukan pemeriksaannya. Adrian kelihatan tenang. Mungkin kerana dia masih kecil dan tidak tahu tentang keadaan yang sebenarnya. Aku terus bertanya doktor itu untuk memberi aku kebenaran untuk melawat ibu dan ayahku tetapi doktor itu berkata bahawa mereka harus berehat dahulu. Aku terpaksa akur. 

Hari demi hari berlalu. Aku masih tidak dapat jumpa ibu dan ayahku. Aku mulai berasa marah dan resah. Mengapakah mereka tidak membenarkan aku melawan ibu dan ayah? Tiba-tiba selang beberapa hari, doktor yang sama timbul di tepi katil hospital aku. Aku duduk di atas katil lalu melihatnya. Raut wajah doktor itu tidak kelihatan gembira. Hatiku mula bimbang. Aku cuba menolak segala fikiran negatif. Namun apa yang aku rasakan ada  kebenarannya. Doktor itu berkata kepada aku dan adikku bahawa ayahku telah meninggal dunia daripada kecederaannya yang parah. Dia telah menerangkan kepada aku bahawa kepala ayahku cedera parah akibat kemalangan itu. Otaknya berdarah dan mereka tidak dapat menghentikan darah itu. Mereka telah cuba sedaya upaya mereka untuk menyelamatkan ayahku tetapi ayahku telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas meja pembedahan.

         Mata aku mula terasa basah. Beberapa titik air jernih mula membasahi pipi aku. Aku dan adik aku menangis teresak-esak. Kami saling memeluk antara satu sama lain. Keadaan kami yang sangat menyedihkan membuat doktor kami menangis sekali. Selepas kami sudah dibenarkan keluar dari hospital, ibuku mengadakan upacara pengebumian ayah. Saudara-maraku, datuk dan nenekku semua datang untuk mengiring ayah ke Pusara Aman. Itulah kali terakhir kami bersama sebagai sebuah keluarga. Dengan itu, tarikh 31 Ogos ialah tarikh yang kami tidak akan lupakan.

         “Nailah, mari makan sekarang. Ibu sudah masak makanan kegemaran kamu iaitu nasi lemak,” ajak ibu aku. “Ibu tahu kamu masih merindui arwah ayah kamu. Mari kita sama-sama mengirimkan doa Al-Fatihah kepada ayah ya. Semoga roh ayah dicucuri rahmat,’’ sambung Ibu aku sambil mengajak aku dan adikku untuk berdoa untuk arwah ayah.

           Doa itu dikirim dengan penuh kasih sayang dan perasaan rindu terhadap ayah yang kami sayangi.

        Satu tahun sudah berlalu. Kali ini, ibu yang merancang percutian kami. Percutian keluarga tanpa ayah. Tiba-tiba ibu memberitahu aku tentang percutian yang ingin dibawa arwah ayah. Aku sedar aku tidak pernah tahu ke mana arwah ayah mahu membawa kami sekeluarga. Sebenarnya, arwah ayah ingin membawa kami ke ‘Marina Bay Sands’. Aku tahu penginapan di tempat itu bukanlah murah. Namun arwah ayah sudah menyimpan duit agar kami dapat menikmati keindahan bercuti di hotel yang mewah itu selama 4 hari. Air mataku berlinangan apabila aku dengar kata-kata ibu. Mulianya hati ayahku yang inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Ayah, aku sangat merindui kamu ayah.

Hasil Karya: NUR SOFEA BINTE AZHAR, 6E (2021)