Isnin, 25 Oktober 2010

Penculikan

Kami baru sahaja selesai bersiar-siar di sebuah tempat peranginan. Sementara menunggu ketibaan bas, aku melihat-lihat barang cenderamata yang dijual di sebuah kedai. Oleh kerana terlalu asyik, aku tidak sedar yang kawan-kawanku telah bertolak pulang. Aku terkejut apabila mendapat tahu berita itu. Aku terus menjadi gelisah serta panik kerana aku tidak mempunyai wang di dalam sakuku. Hari pun sudah mulai gelap seakan-akan mahu hujan. Aku bercadang untuk menelefon ibu bapaku tetapi, apabila aku menyeluk sakuku, aku teringat bahawa aku telah meninggalkan telefon bimbitku bersama kawan-kawanku. Aku mula menangis melolong.

Tiba-tiba, seorang pemuda yang berbaju hitam dan berseluar panjang menghampiriku.

“Adik, kamu buat apa di sini? Kenapa kamu menangis? Di mana rumah kamu?” pemuda itu bertanya kepadaku.

Dalam hatiku, aku terkata bahawa akhirnya ada juga seorang pemuda sebaik dia yang mahu menolongku. Aku tersenyum. Dengan pantas aku menjawab soalan-soalannya walaupun suaraku tersekat-sekat.

Pemuda itu pun mengeluarkan sebiji gula-gula lalu memberikan kepadaku. Dia terus mempelawaku untuk pulang bersamanya. Pada mulanya aku berasa sangsi tetapi akhirnya, aku setuju kerana pemuda itu telah memujukku. Pemuda itu pun tersenyum tersengih-sengih. Dengan senang hati, aku terus menaiki keretanya yang berwarna merah.

Aku terus duduk di tempat duduk di belakang keretanya. Oleh kerana aku terlalu asyik mendengar lagu dari radio di kereta itu, aku tidak perasan bahawa pemuda itu telah memandu ke arah yang lain dan bukan ke arah rumahku. Apabila aku sedar, aku terus menanyakannya tentang mengapa dia memandu ke arah lain. Dengan pantas, pemuda itu menyuruh aku duduk diam dengan suara yang keras. Aku terus menjadi ketakutan.

Apabila sampai di rumah pemuda itu, aku diikat dengan seutas tali dan dibiarkan di dalam sebuah bilik yang kosong. Aku cuba untuk menjerit tetapi aku ditampar olehnya lalu mulutku ditampal dengan sekeping kertas lekat. Pemuda itu hanya ketawa melihat aku diikat sebegitu. Dia terus keluar dan mengunci pintunya. Dari siang hingga ke malam, aku hanya boleh berdoa agar aku dapat dibebaskan.

Pada keesokan harinya, pemuda itu memasuki bilik itu dan terus meminta nombor telefon ibu bapaku. Aku tidak mahu memberikan nombor itu kepadanya lalu dia mengamcamku. Tanpa berlengah lagi, aku menurut perintahnya itu. Apabila dia sudah mendapat nombor tersebut, dia terus menghubungi ibu bapaku. Dia memberitahu mereka bahawa aku di dalam genggamannya dan mereka harus memberinya wang tebusan jikalau mereka mahu aku selamat. Pada pukul satu petang, waktu yang telah ditetapkan, aku dan pemuda itu terus berjalan ke sebuah taman yang berdekatan. Setibanya kami di sana, aku ternampak ibu bapaku yang kelihatan panik telah menunggu aku di situ. Pemuda itu dengan pantas memegang aku dengan kuat agar aku tidak dapat melarikan diri sebelum dia mendapatkan wang tebusannya. Tiba-tiba, beberapa pegawai polis menyerbu ke arah kami. Aku tersenyum kegembiraan melihat kepintaran ibu bapaku.

Pemuda itu lalu diberkas oleh pegawai-pegawai polis itu. Aku terus berlari menghampiri ibu bapaku dengan perasaan gembira sehingga aku menitis air mata melihat mereka. Mereka terus memelukku. Aku sangat berterima kasih kepada ibu bapaku dan tidak akan lupa jasa mereka buat selama-lamanya seperti pantun berikut;

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.


Hasil karya: Anisah Bte Mohd Dawood, 6G (2009)