Isnin, 11 April 2011

Peristiwa Yang Tidak Dapat Saya Lupakan

“Boom…!”

“Bunyi apakah itu?” soal Cikgu Rauf.

Kami terkejut mendengar bunyi dentuman yang menggegarkan bilik darjah. Cikgu Rauf bergegas keluar dari bilik darjah. Kami turut mengikutinya dari belakang. Kepulan asap dapat dilihat dari bilik Sains. Api dapat dilihat merebak dengan pantas. Loceng kecemasan berdering dengan kuat. Semua murid panik. Ada yang menjerit ketakutan. Guru-guru bilik darjah masing-masing cuba menenangkan murid mereka.

Sekonyong-konyong, kedengaran suara jeritan dari bilik yang terbakar.

“Tolong! Tolong! Kami terperangkap di sini!”

Oleh kerana bilik darjah kami terletak paling dekat dengan bilik Sains, saya bersama Cikgu Rauf, Ahmad dan Ali cuba memberi bantuan. Saya berlari mengambil pemadam api dari bilik yang terdekat. Saya cuba memadamkan api kebakaran itu. Api semakin membesar. Dengan pantas Cikgu Rauf mengambil pemadam api itu daripada saya lalu menghayunkannya ke arah tingkap.

“Cepat, tolong saya keluarkan mereka!” arah Cikgu Rauf seterusnya.

Saya dan kedua-dua orang kawan saya itu menarik keluar Mak Cik Rosie, seorang pembersih yang baik hati dan Cikgu Ester dari tempat kejadian. Pada masa yang sama, ahli bomba, polis dan ambulans pun tiba. Tangan dan kaki Cikgu Ester melecur. Mak Cik Rosie pula sesak nafas akibat terhidu asap yang tebal itu. Tangan Cikgu Rauf pula terkena serpihan kaca. Mereka dibawa ke ambulans. Ahli bomba dapat memadamkan api kebakaran itu dalam masa beberapa minit. Kami diperiksa oleh pegawai paramedik untuk memastikan kami tidak apa-apa. Cikgu Rauf, Cikgu Ester dan Mak Cik Rosie pula dibawa ke hospital.

Sementara itu, semua guru, murid dan kakitangan sekolah dikehendaki berhimpun di padang sekolah. Cikgu Ester terpaksa dibedah dan dirawat selama dua bulan. Cikgu Rauf dan Mak Cik Rosie dirawat selama dua hari. Kami juga telah dipuji oleh pengetua sekolah kerana keberanian kami. Peristiwa itu tidak dapat saya lupakan.

Hasil karya: Irfan Bin Ibrahim Darjah, 5H (2010)