Khamis, 2 Februari 2012

Salah Faham

Aku menyelongkar begku untuk mencari telefon bimbitku sambil berjalan menuju ke kolong blok. Seorang wanita dan anaknya yang berusia sekitar enam tahun berdiri tercegat di lobi lif itu. Kami menaiki lif itu bersama-sama. Sejurus pintu lif itu tertutup, tiba-tiba, ia terbuka kembali. Aku berhenti mencari telefon bimbitku dan memandang ke arah pintu lif itu. Seorang lelaki yang berambut panjang dan berwajah garang sedang melangkah masuk ke dalam lif.

Serentak itu, aku pun menjerit sekuat-kuat hatiku. Dalam fikiranku, lelaki itu adalah seorang penjahat. Aku juga terdengar suara jeritan dan tangisan daripada kedua-dua orang wanita dan anaknya itu.

Tiba-tiba, lelaki itu bersuara dengan garangnya.

“Mengapa kamu semua menjerit?” katanya. Mukanya bengis dan matanya yang terbeliak memandang ke arah kami.

Dia menyuruh kami diam. Aku semakin yakin bahawa lelaki itu memang seorang penjahat.

Dalam kekecohan itu, seorang pemuda yang sedang lalu di situ secara kebetulan berhenti untuk membantu kami. Dia menyangka lelaki itu telah membuat sesuatu kesalahan dan menghalangnya daripada melarikan diri. Lelaki itu menafi melakukan kesalahan terhadap kami.

Dengan kehadiran pemuda itu, kami mula berasa tenang. Pemuda itu ingin mengetahui apa yang sebenarnya terjadi. Dia bertanya kepadaku apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu. Aku memberitahunya bahawa dia tidak membuat apa-apa kesalahan. Pemuda itu terperanjat dengan pengakuanku lalu bertanya lagi mengapa aku menjerit. Aku menjawab bahawa aku menyangka lelaki itu seorang penjahat. Pemuda itu tercengang mendengar penjelasanku.

Dia menoleh ke arah wanita dan anaknya itu dan menyoal wanita itu mengapa mereka juga menjerit dan menangis. Wanita itu menjawab bahawa dia terkejut dan hanya mengikut perbuatanku. Pemuda itu sudah tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi.

Aku menundukkan kepalaku tanda malu. Aku meminta maaf kepada lelaki itu kerana telah salah faham terhadapnya. Dia memaafkanku. Pemuda itu berasa lega kerana perkara itu telah dapat diselesaikan. Pemuda itu menyambung perjalanannya dan kami menaiki lif semula.

Malangnya, apabila pintu lif itu tertutup, ia terbuka kembali. Rupa-rupanya, lif itu sudah rosak. Kami terpaksa menaiki tangga untuk pulang ke rumah masing-masing. Aku tidak dapat melupakan tentang kejadian ini sepanjang hidupku.

Raja Dayana Kaiyisah P6F (2011)