Khamis, 2 Februari 2012

Peristiwa Yang Mengejutkan Diriku

Namaku Haziq. Aku ada dua orang abang dan seorang kakak. Ketika itu, aku seorang budak yang angkuh macam merak dan hidung tinggi. Ibu bapaku menjagaku seperti menatang minyak yang penuh. Segala kemahuanku ditunaikan. Aku perlu bertanya sahaja dan pasti aku akan mendapatnya. Aku anak emas mereka. Ibu bapaku tidak pernah memarahi aku atau memukulku walaupun aku agak biadab terhadap mereka. Mereka betul-betul sabar macam Nabi. Mungkin mereka berbuat begitu kerana aku anak yang bongsu. Kadang kala, kakakku dan abang-abangku menjadi cemburu dan meluat melihat perangaiku.

Kehidupanku penuh dengan kegembiraan sehinggalah suatu hari. Ibu bapaku keluar untuk pergi ke sebuah pusat beli-belah. Bapaku sedang memandu keretanya. Hari itu, hujan turun tidak terhenti-henti dan pemandangan di luar tidak jelas. Tiba-tiba, bapaku hilang kawalan dan kereta yang dipandunya itu terbabas dan terlanggar pembahagi jalan. Ibu bapaku cedera parah. Pejalan-pejalan kaki di situ dengan segera memberi mereka pertolongan kecemasan dan menghubungi ambulans. Sebaik sahaja, ambulans tiba di tempat kejadian itu, paramedik-paramedik terus membawa ibu bapaku ke sebuah hospital yang terdekat.

Apabila aku mendapat berita bahawa ibu bapaku dilanda nahas jalan raya dan sedang dirawat di hospital, aku menangis melolong. Aku, kakak dan abang-abangku terus bergegas ke hospital tersebut. Namun, apabila kami tiba di sana, kami diberitahu bahawa ibu bapaku telah menghembus nafas terakhir. Kami berempat menangis tidak terhenti-henti. Aku rasa duniaku runtuh dengan sekelip mata.

Selepas ibu bapaku telah dikebumikan, kami berempat telah menerima surat wasiat daripada arwah ibu bapaku. Peguam ibu bapaku pun membaca surat wasiat tersebut. Wasiat itu tertulis bahawa ibu bapaku telah meninggalkan semua harta peninggalan mereka kepada kami berempat. Ia juga menyatakan bahawa mereka amat menyayangi kami berempat dan harap kami semua dapat berbaik walaupun aku adalah anak angkat mereka. Aku tergamam. Hatiku terus terkoyak dan aku terasa duniaku begitu gelap gelita. Aku rupa-rupanya seorang anak angkat. Aku berasa sangat sedih, marah dan terkejut. Kenapa sekarang baru aku tahu? Fikiranku berkecamuk dengan pelbagai soalan yang tidak terjawab.

Aku duduk termenung seorang diri di dalam bilikku. Tiba-tiba, kedengaran ketukan di pintu. Aku mendongak dan terlihat kakakku berada di muka pintu. Dia menuju ke arahku lalu mendakapku. Dia berkata walau apa pun terjadi dia tetap akan menjagaku. Aku berasa terharu. Walaupun, peristiwa yang mengejutkan itu memang pahit macam hempedu, aku tetap bersyukur kerana masih ada orang yang mahu menyayangiku dan menjagaku. Aku bertekad untuk mengubah perangaiku dan menjadi seorang budak yang mengenang jasa demi untuk kebaikan diriku.

Muhammad Haidi B Azaman (2011)

P6G