Khamis, 2 Februari 2012

Persahabatan Yang Tidak Diduga

Aku masih teringat peristiwa bagaimana aku dan Alif menjadi kawan baik. Ketika itu aku dan Alif berada di dalam darjah lima. Kami bersekolah di Sekolah Rendah Pendekar. Aku tidak begitu pandai dan aku amat membenci Alif kerana dia sering mengejek-ejek dan memalukanku. Alif seorang budak yang pandai, kacak dan candi. Semua murid di dalam kelasku suka kepadanya. Aku berasa cemburu kerana aku selalu tidak mendapat markah setinggi dia. Fikiranku tidak tenteram kerana asyik terfikirkan tentang Alif itu.

Pada suatu hari, aku telah bercadang untuk mencuri barang kawan sedarjahku ketika waktu rehat. Aku terjumpa sebuah telefon bimbit di dalam beg kawan sedarjahku. Aku tersenyum lebar dan mengambil telefon bimbit itu tanpa memikirkan tentang apa yang akan terjadi pada diriku. Aku memang mahu sebuah telefon bimbit dari dahulu lagi tetapi Ibu bapaku selalu memarahi aku kerana selalu meminta mereka membelikanku sebuah telefon bimbit. Kini, masanya untuk aku mendapat telefon bimbit itu.

Setelah waktu rehat tamat, guruku kelihatan sungguh marah. Mungkin murid itu telah memberitahu guruku tentang kehilangan telefon bimbitnya. Aku mula berasa takut macam tikus. Dengan suara yang kuat dan tegas, guruku memberitahu kami tentang kehilangan telefon bimbit itu. Guruku menyuruh ketua kelas untuk memeriksa beg semua murid yang berada di dalam kelasku.

Apabila ketua kelas tiba di hadapanku, aku mula berpeluh. Aku cuba sedaya upayaku untuk menenangkan diriku. Ketua kelas itu tersenyum lalu mengeluarkan telefon bimbit itu dari beg aku. Aku berpura-pura terperanjat seolah-olah aku tidak tahu bagaimana telefon bimbit itu boleh berada di dalam beg aku. Aku mengatakan bahawa mungkin ada murid lain yang hendak menfitnahkan aku dan meletakkan telefon bimbit itu di dalam beg aku. Guruku memandang ke arah aku dengan matanya yang sungguh menyeramkan.

Aku masih tidak mahu mengaku yang aku telah mencuri telefon bimbit itu. Aku tidak mahu mengalah. Guruku pun terus menanya murid-murid lain sama ada sesiapa di antara mereka yang telah meletakkan telefon bimbit itu ke dalam beg aku. Dia juga memberitahu kami bahawa semua murid di dalam kelasku akan didenda jika tiada orang yang mengaku melakukan kesalahan itu. Murid-murid lain kelihatan marah atas denda yang diletakkan oleh guruku yang tidak adil itu.

Tiba-tiba, Alif berdiri dan mengatakan bahawa dia yang bersalah. Alangkah terkejutnya aku apabila dia berbuat demikian. Aku berasa sungguh malu. Alif didenda dan ibu bapanya diberitahu tentang kejadian itu. Murid-murid lain tidak lagi mahu berkawan dengannya kerana mereka menyangka Alif seorang budak yang jahat.

Selepas sekolah tamat, aku berjalan ke arah Alif dan berterus terang kepadanya tentang perkara yang sebenarnya. Pada mulanya dia berasa marah tetapi beberapa saat kemudian dia mula tenang. Dia tidak memarahi aku dan menyuruh aku melupakan perkara yang telah berlaku. Dia menganggap perkara itu sebagai balasannya terhadap aku kerana dia selalu mengejek dan memalukan aku.

Aku berterima kasih kepada Alif. Semenjak hari itu, kami menjadi kawan baik. Aku tidak sangka bahawa orang yang selama ini aku anggap sebagai musuh ketatku boleh menjadi sahabat karibku. Aku juga sedar akan kesilapanku dan mula berubah sikapku yang iri dengan kelebihan orang. Aku tidak mahu bersikap begitu lagi.

Tiba-tiba, aku terdengar suara seseorang memanggil namaku. Aku tersedar dari lamunanku. Rupa-rupanya, Alif yang memanggilku. Aku berasa gembira kerana dapat berjumpa dengannya. Aku pun membelikannya secawan kopi dan mula berborak di kedai kopi itu. Aku berasa bersyukur kerana mendapat kawan yang putih hati seperti Alif.

Mohamad Zaideen Salihin B Z (2011)

P6I