Khamis, 2 Februari 2012

Hari Yang Malang

Aku menukar bateri jam loceng aku kerana takut akan terlambat ke sekolah sekali lagi. Aku masih ingat lagi hari yang aku terlambat ke sekolah. Itulah kali pertama aku terlambat. Ceritanya mula begini...

“Adik, bangun! Sudah pukul tujuh sepuluh minit pagi! Adik harus pergi ke sekolah!” pekik abangku.

Aku terus bagun dan berlari ke tandas. Aku terkejut kerana jam sudah menunjukkan pukul tujuh sepuluh minit pagi. Aku sepatutnya sudah sampai di sekolah pada masa itu dan bukan bangun pada masa itu. Aku hanya menggosok gigi dan mencuci mukaku. Aku tidak sempat mandi langsung.

Dengan muka yang kelihatan mengantuk, aku terus mengangkat beg sekolahku yang berat macam batu lalu bergegas ke sekolah. Buku-buku sekolahku telah disumbatkan ke dalam begku tanpa menyemaknya dengan betul.

Semasa aku sedang berlari, aku terpijak beberapa ketul batu lalu tersungkur ke lantai yang kasar. Lututku luka. Walaupun begitu, aku tetap berlari terenjut-enjut menuju ke sekolah. Apabila aku sampai di lintasan pejalan kaki, lampu trafik bertukar menjadi merah. Aku tidak menghiraukan lampu trafik itu lalu melintas jalan raya yang sibuk itu.

Tiba-tiba, aku terdengar bunyi hon kereta. Aku menoleh kepalaku dan ternampak sebuah kereta Honda yang berwarna merah menuju ke arahku. Aku terkejut. Dadaku berombak pantas. Aku memekik sekuat hatiku sambil berlari pantas macam kilat melintas jalan raya itu. Aku tidak mahu ditimpa kemalangan. Aku menghela nafas panjang. Aku bernasib baik kerana tidak dilanggar kereta itu.

Aku terpaksa berjalan kaki ke sekolah dengan kaki yang luka dan badan yang penat. Aku tidak boleh berlari lagi. Beberapa minit kemudian, aku sampai di sekolah. Jam menunjukkan pukul tujuh empat puluh minit pagi. Di kelas, guruku, Puan Lim memarahiku kerana terlambat ke sekolah. Aku cuba menjelaskan kepadanya apa yang terjadi tetapi dia tidak menghiraukan aku.

Selepas itu, Puan Lim menyuruh aku menghantar kerja sekolahku. Aku terlupa untuk membuat kerja sekolahku. Aku dibantai ketakutan. Aku dimarahi Puan Lim sekali lagi. Aku terpaksa membuat kerja sekolahku pada waktu rehat. Aku berasa sangat lapar kerana aku juga tidak makan sarapan sebelum datang ke sekolah.

Tiba-tiba, aku terdengar ibuku memanggilku. Aku tersentak daripada lamunanku.

“Sudah tukar bateri jam loceng kamu ke belum? Nanti terlambat lagi ke sekolah seperti minggu yang lalu,” kata ibuku.

“Sudah ibu,” balasku.

Aku tersenyum lalu terus masuk tidur. Aku tidak mahu melalui hari yang malang sebegitu lagi.

Zulaika Binte Zainal (2011)

P6G