Jumaat, 24 Februari 2012

Akibat Tidak Mendengar Nasihat (1)

Haziq dan Azlan sedang bermain bola sepak di ruang tamu. Ibu mereka telah pergi ke pasaraya untuk membeli-belah. Sebelum ibu mereka pergi, dia sempat mengingatkan kedua beradik itu supaya jangan bermain bolasepak di rumah. Walau bagaimanapun, mereka tidak mengendahkan nasihat ibu mereka dan terus bermain dengan gembiranya.

Ketika mereka sedang asyik bermain, Haziq tersepak bola dengan kuat. Bola itu melayang dan terlanggar pasu di atas meja. Pasu itu jatuh dan pecah berderai. Mereka berasa cemas kerana pasu itu pasu kegemaran milik ibu. Mereka tidak tahu membuat apa-apa. Dalam suasana tergopoh-gapah, Azlan terpijak kaca dan kakinya berdarah. Dia mengerang kesakitan dan tidak berhenti menangis. Haziq cuba mengubati luka Azlan dengan menampal sekeping plaster.

Tiba-tiba, mereka terdengar bunyi jejak langkah seseorang mendekati rumah mereka. Pintu pun terbuka dan ibu tercegat di depan rumah mereka. Ibu tersentak apabila melihat keadaan pasu yang telah pecah dan kaki Azlan berlumuran darah.

Walaupun ibu sangat marah, ibu tetap cuba mengurangkan kesakitan Azlan. Ibu memberi ubat supaya Azlan dapat menahan kesakitannya. Sebagai hukuman, ibu melarang Azlan dan Haziq bermain komputer pada masa lapang selama sebulan.

Ditulis oleh: Auni Afiqoh (2012)

Kelas: P4F