Khamis, 2 Februari 2012

Bantuan yang tidak disangka-sangka

Haidee, Martin, Adam, Aidil dan Zaidin menanti dengan sabar di perhentian kereta api. Semangat mereka berkobar-kobar untuk menakluki Gunung Ledang. Sudah lama mereka merancang untuk pergi bersama-sama dan sebelum masing-masing tamat sekolah dan merancang untuk ke Polliteknik atau Maktab Rendah. Haidee pernah ke gunung ledang bersama keluarganya. Dia dengan sukarela menjadi ketua rombongan mereka itu. Jam telah menunjukkan pukul 10.30 malam. Kereta api yang ditunggu pun tiba.

Di dalam kereta api, mereka tidak putus-putus berbincang tentang apa yang akan mereka lakukan di sana nanti. Mereka tidak menghiraukan keadaan di luar tingkap yang gelap-gelita. Masing-masing membayangkan keindahan Gunung Ledang sehingga mereka terlelap dibuai oleh henjutan gerabak kereta api.

Matin terkejut dari tidurnya apabila terdengar bunyi wisel kereta api. Matin mengerakkan teman-temannya supaya bangun kerana mereka akan sampai di perhentian Segamat tidak lama lagi.

Setibanya mereka tiba di situ, mereka turun di perhentian Segamat sambil melihat-lihat di persekitaran kawasan yang masih gelap-gelita itu. Mereka melabuhkan diri di atas bangku-bangku di situ sementara menunggu pagi menjelma.

Apabila pagi tiba, mereka meneruskan perjalanan ke Gunung Ledang. Di sana mereka bersarapan dahulu sebelum meneruskan pendakian mereka. Haidee berjalan di hadapan sekali mengetuai rombongan mereka.

“Alah, senang saja mendaki gunung ini. Aku dah pernah pergi. Kita ikut sahaja tanda-tanda sepanjang lorong gunung ini,” kata Haidee penuh bangga.

“Kau jangan cakap besar Haidee. Jangan pula kita sesat, nahas kau aku kerjakan. Aku tak nak jadi orang hutan,” sambut Adam dengan hilaian ketawa. Semua tergelak sama.

“Eh, sudahlah tu! Jangan cakap sembarangan di sini,” kata Martin dengan tegas. Dia teringat pesanan ibunya supaya menjaga tatatertib dan bicara apabila berada di tempat demikian.

Mereka meneruskan perjalanan untuk mencari tempat perkhemahan. Hari semakin senja tetapi tempat perkhemahan tidak juga mereka jumpai. Mereka mencari tanda-tanda yang sepatutnya ada untuk membantu mereka tetapi tiada satu tanda pun yang kelihatan.

Mereka pun bercadang untuk berkhemah di tempat di mana mereka berada. Apabila pagi menjelang, mereka terbangun dengan kepanasan pancaran matahari. Mereka menyambung perjalanan mereka dan cuba mencari tanda-tanda yang disebut oleh Haidee. Mereka seakan-akan berpusing-pusing di tempat yang sama, tidak menjumpai jalan keluar. Perjalanan mereka semakin sukar apabila Adam terseliuh kaki kerana terpijak batu. Mereka semua menjadi cemas kerana tersesat. Adam terpaksa dipapah sepanjang perjalanan mereka. Bekalan makanan dan air semakin habis. Mereka mendongak melihat kelamnya langit dan terasa titisan hujan. Mereka pun bergegas untuk mencari tempat perlindungan. Mereka pun membuat keputusan untuk berehat di dalam sebuah gua yang mereka jumpai walaupun mereka ketakutan dan kegelisahan memasuki tempat yang agak tidak ngeri itu.

Haidee menggigil kesejukan, Aidil meletakkan tangannya ke dahi Haidee. Ternyata Haidee demam. Mereka semakin buntu tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan kerana telefon bimbit mereka tidak dapat digunakan di dalam hutan itu. Hari semakin gelap.

Di dalam kegelapan malam, bunyi titisan hujan di luar menambahkan lagi kegelisahan mereka. Semua terbaring kelesuan. Kesejukan malam membuat mereka kelaparan. Tiba-tiba, suluhan lampu dari luar gua itu kelihatan. Tendengar juga suara di luar. Rupa-rupanya renjer kawasan gunung itu tiba. Mereka telah mendapat maklumat bahawa rombongan Haidee dan kawan-kawannya tidak melaporkan diri di puncak gunung itu.

Lima orang sahabat itu bersyukur dengan bantuan yang tidak disangka-sangka itu. Mereka gembira kerana telah selamat walaupun mereka tidak dapat menakluki Gunung Ledang. Mereka berjanji akan datang lagi dan akan menjaga tatatertib mereka semasa melakukan ekspedisi mereka. Mereka pulang ke Singapura dengan satu pengalaman baharu.

Mohamed Riz Mateen Bin Mohamed Ali (2011)

P6G