Rabu, 24 Ogos 2016

Adikku


          “Adik, sudah waktu berbuka puasa !” Ibuku menjerit.

          Aku sedang bermain permainan komputer. Hari itu ialah hari yang terakhir pada bulan Ramadan. Apabila aku pergi ke meja makan, muka ibuku masam macam cuka.

”Kamu ini memang pemalas, degil! Kamu asyik suka bermain permainan komputer sahaja!” bebel Ibuku.

Aku hanya menjeling ke arahnya. Aku tidak mengendahkan kata-katanya. Ibuku selalu suka membebel kepada aku kerana aku tidak suka mendengar katanya. Aku boleh dikatakan anak yang degil. Aku bukan tidak mahu mendengar kata-katanya tetapi naluri hati ini mahu sahaja membantah. Maklumlah aku ialah anak tunggal ibu bapaku.        

Pada tahun ini, aku dan keluargaku bercadang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung ibuku di Muar, Malaysia. Aku berasa ghairah. Aku tidak sabar untuk memakai baju Melayu aku yang baharu. Setibanya waktunya untuk pulang ke kampung, aku sekeluarga berpakaian serba baharu. Apabila kami tiba di sana, datuk dan nenekku sedang menanti kedatangan kami. Kami disambut dengan mesra. Aku bersalaman dengan mereka  lalu terus masuk ke dalam untuk makan makanan yang disediakan nenek. Ibu bapaku hanya menggelengkan kepala mereka. Aku santap ketupat, lauk sambal goreng dan lauk rendang yang dimasak nenek dengan lahap seolah-olah aku tidak makan selama setahun. Selepas makan, aku duduk berehat bersama sanak saudaraku. Tiba-tiba, sepupu aku merancang untuk bermain dengan mercun yang dibawanya. Sebelum itu, ibu bapa serta nenek aku sudah menasihati aku supaya jangan bermain dengan mercun tetapi aku dan sepupu aku tetap mengambil keputusan itu bermain dengan mercun juga. Nasihat itu hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Sia-sia sahaja.

               Aku terus membawa mercun itu ke padang tanpa memberitahu ibuku. Tanpa diduga, semasa aku sedang menghidupkan api untuk menyalakan mercun itu, mercun itu pun meletup di tanganku. Aku berasa terperanjat. Darah mengalir daripada tanganku. Sepupuku juga berasa terperanjat. Dia terus berlari untuk meminta tolong. Aku menjerit kesakitan. Darah bergemuruh hebat macam air terjun. Aku rasa seperti aku akan pitam. Di dalam hatiku, aku betul-betul kesal tidak mendengar nasihat ibu bapaku. Ya Allah! Janganlah apa-apa terjadi kepadaku. Aku tidak mahu kehilangan tanganku. Aku berjanji aku akan berubah. Aku tidak akan lagi menjadi anak yang tidak mengenang jasa bak pepatah seperti kacang lupakan kulit. Aku akan mendengar nasihat ibu bapaku. Ayat-ayat itulah yang diulang di dalam mindaku.

Sekonyong-konyong, aku terasa diriku diangkat. Aku terdengar tangisan ibuku dan suara kerisauan bapaku memanggil namaku. Seterusnya, duniaku menjadi gelap. Aku pun pengsan. Aku tidak tahu apa yang telah terjadi. Apabila aku sedar, aku telah berada di dalam hospital. Baru aku teringat kemalangan yang telah menimpa aku. Apabila aku melihat tanganku, aku telah kehilangan tiga batang jari. Pada ketika itu, doktor telah memberitahu aku bahawa dia tidak dapat menyelamatkan tiga batang jariku itu. Berita itu seperti petir memantuk lubang telingaku. Nasi sudah menjadi bubur. Tiada kata-kata yang boleh mengubah nasib aku ini.

                Kelopak mataku bergenang dengan air mata. Aku sungguh kesal. Seandainya aku tahu ia akan berakhir sebegini, aku tidak akan mengambil keputusan tersebut. Namun, aku pasrah. Aku akan menghadapi segala rintangan yang datang dengan hati yang tabah. Biarlah ia menjadi satu pengajaran buat diriku.

Ditulis oleh:

Nur Saif Iskandar Bin Saifulnizam (5E)