Rabu, 24 Ogos 2016

Cerita Mak Minah

          Mak Minah mengusap rambut anak kesayangan yang sedang lena tidur dengan penuh kasih sayang. Anaknya baharu sahaja tidur kerana gigih mngulangkaji pelajarannya. Dia benar-benar mahu berjaya dalam pelajarannya kerana mahu mengubah kehidupan mereka kelak. Dahi Mak Minah berkerut apabila teringat bagaimana mereka tinggal dua beranak sahaja.

Dua tahun yang lalu kehidupan mereka serba mewah. Suami Mak Minah, Pak Ali bekerja di sebuah syarikat minyak dan berjawatan tinggi. Mak Minah tidak pernah kelaparan semenjak berumah tangga dengan Pak Ali. Boleh dikatakan hidupnya serba lengkap. Sebagai seorang isteri, Mak Minah amat bersyukur dengan kehidupannya. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang cukup cantik dan bijak. Mak Minah benar-benar bertuah.

            Namun, setahun lalu, Mak Minah dan Pak Ali mula bergaduh tentang keewangan mereka. Nafkah yang dahulunya cukup kini makin kekurangan. Pak Ali mula sibuk dan asyik pulang lewat. Duit yang diberi kepada Mak Minah  pula tidak mencukupi walaupun Mak Minah memberitahu Pak Ali bahawa duit yang dimintanya adalah untuk pembelanjaan rumah. Namun, Pak Ali tidak mengendahkannya. Dia menuduh Mak Minah bersikap boros dan berbelanja sesuka hati. Perkara ini membuat Mak Minah cukup kecewa dan membuatnya murung.

Dalam masa beberapa bulan, Pak Ali langsung tidak memberi Mak Minah wang nafkah. Menurutnya, dia ingin wang itu untuk dirinya sendiri kerana dia lebih memerlukannya. Mak Minah betul-betul buntu. Semenjak berumah tangga dengan Pak Ali, Mak Minah tidak pernah bekerja. Dia berasa amat kecewa dengan sikap Pak Ali. Di manakah janji-janji Pak Ali untuk menjaganya dengan baik selama ini? Adakah janji-janji itu tidak bermakna langsung? Apakah yang telah terjadi kepada suaminya yang dikasihinya? Air mata Mak Minah mula menitis menahan sebak memikirkan masa mereka hidup senang bersama. Namun, demi anak mereka, Mak Minah tahu dia harus cekal menghadapi segalanya.

   Pada suatu hari, semasa Mak Minah, Pak Ali dan anak mereka sedang duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen. Tiba-tiba,mereka terdengar ketukan yang kuat di pintu rumah mereka. Pak Ali membuka pintu dan terus diserang oleh Ah Long, seorang peminjam duit haram. Kemudian, Pak Ali dibunuh Ah Long itu. Ah Long membunuh Pak Ali kerana Pak Ali tidak dapat membayar hutangnya. Mak Minah tidak sangka perkara sebegitu boleh berlaku kepada keluarganya. Dalam kekecohan suasana itu, Mak Minah berlari mencari tempat persembuyian supaya Ah Long itu tidak akan menjumpai mereka. Mak Minah dengan segera melompat keluar dari tingkap bilik dan bergegas ke rumah kawan baiknya. Dalam ketakutan, Mak Minah memberitahu kawannya tentang perkara yang telah berlaku. Kawan Mak Minah memahami keadaannya lalu membenarkan Mak Minah dan anaknya tinggal di rumahnya sementara dia menghubungi pihak polis.

Ah Long itu akhirnya ditangkap pihak polis atas kesalahan membunuh. Mak Minah mendapat tahu bahawa Pak Ali telah mula ketagih berjudi sehingga kesemua wang simpanan mereka habis digunakan. Oleh sebab itulah, Pak Ali, sebagai jalan terakhir, meminjam wang daripada sindiket peminjam wang haram kerana ketagihan telah merasuk jiwanya. Kepiluan Mak Minah tidak terkata. Suaminya yang dihormatinya telah mengecewakannya. Dia tidak sangka suaminya sanggup meminjam wang daripada Ah Long sehingga menjejas kehidupan mereka semata-mata untuk memuaskan nasfu berjudinya. Sekarang, tinggal Mak Minah dan anaknya berdua.

“Mengapahkah dia sanggup membuat perkara ini? Dia tidak sepatutnya meminjam duit daripada Ah Long. Dia sepatutnya berbincang dengan saya. Baik atau buruk, kita sepatutnya mengharungi bersama-sama. Sekarang sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur,” luah Mak Minah kepada kawannya.

             Kelopak mata Mak Minah bergenang dengan air mata. Dia berasa sungguh kecewa. Seandainya dia tahu kehidupannya akan berakhir sebegini, dia mungkin akan mengambil tindakan setelah melihat perubahan pada diri suaminya. Selama ini, dia tidak mahu membebankan suami yang sibuk bekerja untuk mencari nafkah untuk mereka sekeluarga. Dia pasrah. Mak Minah cekal untuk menghadapi segala rintangan yang akan datang dengan hati yang tabah. Biarlah peristiwa itu menjadi satu pengajaran buat dirinya.

Ditulis oleh:
Nurdini Shakira Bte Meswaree (5F)