Selasa, 23 Ogos 2016

Hadiah Istimewa

           Semua orang di dunia ini pasti impikan kehidupan yang bahagia dan selesa bersama keluarga tercinta. Begitu juga aku.

Aku tinggal bersama ayah, ibu dan adikku di sebuah rumah yang cukup sederhana. Aku bersyukur kerana keluargaku tidak pernah meminta bantuan orang lain walaupun ayah bergaji rendah sebagai pegawai keselamatan. Ibu membantu ayah dengan mengambil upah menjahit.

Pada suatu petang Jumaat, ketika aku baru pulang dari sekolah, aku terdengar ayah dan ibu sedang bertengkar di dalam bilik mereka. Aku tidak dapat mendengar dengan jelas apakah masalah yang menyebabkan mereka bertengkar. Aku hanya terdengar ibu berulang kali menyebut tentang komputer. Beberapa minit kemudian, ayah bergegas keluar dari bilik dan terus keluar untuk bekerja. Ibu memandang aku dengan wajah yang sedih dan kesal. Ibu kemudian memeluk aku dan meminta maaf kerana tidak mampu untuk membelikan aku komputer supaya aku boleh membuat kerja sekolah tanpa perlu meminjam daripada teman atau jiran.

 Oh, Tuhan! Rupa-rupanya ayah dan ibuku bertengkar kerana permintaan aku untuk membeli komputer idamanku. Aku tidak sanggup melihat ibu menangis, hatiku berbisik.  Pada malam itu, aku berasa sukar untuk tidur kerana memikirkan kejadian siang hari. Aku hanya dapat melelapkan mata sekitar pukul 3 pagi. Di saat aku sedang lena tidur, aku dikejutkan dengan panggilan telefon. “Kring kring! Kring kring!” Aku bangun dengan pantas dan berlari untuk menjawab panggilan telefon itu di ruang tamu. Jam di dinding menunjukkan 6.30 pagi. Ayah rupanya. Dia menyuruh aku bersiap dan menunaikan solat subuh sebelum dia pulang ke rumah. Katanya ada kejutan buatku.

Selepas mandi dan menunaikan solat subuh, aku duduk di sofa dengan penuh debaran sambil menunggu ayah pulang. Tepat pukul 8 pagi, terdengar bunyi pintu pagar dibuka. Aku sangat teruja apabila melihat ayah mengangkat sebuah kotak yang besar. Aku lihat ada tertulis “Acer” di kotak itu. Dengan cermat ayah meletakkan kotak itu di atas meja makan dan mengatakan bahawa itu ialah hadiah hari lahir untuk aku. Ayah memberitahu aku bahawa dia tidak menyangka majikannya akan memberi duit bonus kepadanya.

Aku berasa sangat terharu lalu memeluk ayah dan menciumnya. Aku merasakan bahawa hari tu adalah hari yang paling istimewa yang meninggalkan kenangan yang terindahdi dalam kehidupanku. Aku telah mendapat komputer idamanku. Terima kasih ayah dan Ibu.
 
Ditulis oleh:
Danya Aleysha Binte Affandi (3F)