Rabu, 24 Ogos 2016

Perbuatan Yang Baik

           Suasana di rumah Amalin sangat sunyi kerana Amalin berada di rumah bersendirian atas sebab adik-adiknya sedang bersekolah dan ibu bapanya sedang bekerja dengan bertungkus-lumus untuk mendapatkan wang menyara kehidupan mereka sekeluarga. Cuaca di luar amat panas kerana sekarang jam dua petang. Amalin pula keluar dari rumah dan menuju ke perpustakaan untuk meluangkan masa membaca buku.

         Pada hari yang lain, Amalin dan adik-adiknya akan sibuk menjalani kehidupan persekolahan. Walaupun ibu bapa Amalin rajin bekerja dan meraih gaji yang lumayan, mereka tetap akan mengingatkan Amalin dan adik-adiknya supaya tidak boros serta mengamalkan budaya menabung.

         Pada suatu hari, semasa Amalin dan adik-adiknya dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah, mereka ternampak seorang perempuan tua yang sedang duduk di luar sekolah.

Adik-adik Amalin memberitahunya bahawa perempuan tua itu ialah seorang yang kurang bernasib baik. Mereka berasa kasihan terhadap perempuan tua itu. Mereka pun bercadang untuk membantu perempuan tua tersebut. Namun demikian, mereka tidak tahu apa yang mereka patut lakukan untuk membantu perempuan tua itu.

      Setelah lama berfikir, akhirnya, Amalin mendapat buah fikiran yang baik. Amalin teringat akan pesanan ibu dan bapanya. Mereka menyuruh Amalin dan adik-adiknya menabung duit untuk persediaan hari-hari kesukaran ataupun kecemasan. Mereka bergegas pulang sepantas kilat untuk mengambil sebahagian daripada duit simpanan mereka untuk diberikan kepada perempuan tua yang mereka simpati itu.

       Selepas mengambil duit daripada tabung simpanan, mereka terus kembali ke sekolah untuk berjumpa dengan perempuan tua yang masih berada di luar sekolah mereka itu. Tanpa membuang masa, Amalin dan adik-adiknya menuju ke arah perempuan tua tersebut.

        Amalin dan adik-adiknya pun menyedekahkan duit simpanan mereka kepada perempuan tua itu kerana mereka tahu bahawa perempuan tua lebih memerlukannya.

“Kamu semua sungguh baik hati. Terima kasih kerana menyedekahkan nenek duit ini,” jelas perempuan tua itu dengan nada yang memilukan.

        “Tiada apa-apalah. Kami putih hati,” kata Amalin dan adik-adiknya dengan seikhlas hati mereka.

        Pada keesokan harinya, sedang bapa Amalin membaca suratkhabar dan ibunya sedang memasak di dapur, bapa Amalin ternampak gambar Amalin dan adik-adiknya di dada akhbar.

         “Bapa dan ibu berasa amat bangga dengan kamu semua kerana sudi menolong perempuan tua tersebut dengan menggunakan wang tabung simpanan kamu itu,” kata ibu bapa Amalin dengan penuh kesyukuran.

         Justeru itu, Amalin dan adik-adiknya berasa bangga serta gembira di atas perbuatan mereka yang ikhlas dan baik hati itu.           

 

Ditulis oleh:
Izz Shafiran Putra Imran (5F)