Rabu, 24 Ogos 2016

Satu Penyesalan

              “Apa yang kau fikirkan lagi Amri?” tanya Fatah.

             “Ikut sahaja apa yang aku buat dan semuanya akan berjalan dengan lancar,” desak Fatah lagi.

             Amri serba salah dibuatnya. Dia sedar apa yang Fatah mahu lakukan itu salah. Namun, Fatah sahabat karibnya sejak di darjah tiga lagi. Fatah telah mencadangkan yang mereka berdua mencuri sebiji telefon bimbit daripada kedai elektronik di pusat membeli-belah berdekatan dengan rumah Fatah.

             Fatah, seorang murid menengah dua, menyuruh sahabat karibnya, Amri, untuk berjumpa di kolong blok rumahnya setelah tamat waktu sekolah. Setelah menunggu selama lima minit, Amri pun tiba. Mereka menaiki tangga ke rumah Fatah di tingkat dua. Pada waktu itu, ibu dan bapanya sedang bekerja dan tidak ada di rumah. Setelah sampai di rumah Fatah, mereka berdua terus masuk ke bilik Fatah kerana Fatah tidak mahu kakaknya, Fatiha mendengar perbincangan mereka.

             Apabila di dalam bilik, Amri terus duduk di atas sebuah kerusi bersebelahan dengan katil Fatah. Fatah kemudian menyatakan yang dia ingin memiliki sebuah telefon bimbit seperti kakaknya. Tetapi, ibu bapa Fatah tidak ada cukup wang untuk membeli telefon bimbit untuknya. Fatah tidak sabar untuk menunggu sehingga ibu bapanya mempunyai cukup wang.

            Fatah kemudian mencadangkan kepada Amri untuk mencuri telefon bimbit di sebuah kedai elektronik. Mereka pun keluar menuju ke pusat membeli-belah itu. Dalam perjalanan ke sana, terlintas di fikiran Amri bahawa apa yang mereka ingin lakukan pada waktu itu adalah salah. Tanpa pengetahuan Fatah, Amri mengambil telefon bimbitnya dan menghubungi kakak dan ibu bapa Fatah supaya berjumpa mereka di pusat membeli-belah itu.

  “Fatah, apa yang kita ingin lakukan ini adalah salah dari segi undang-undang. Kalau kita ditangkap, kita akan dipenjarakan dan masa depan kita akan musnah,” Amri menasihati Fatah.

  “Tetapi, aku sudah tidak sabar lagi untuk menunggu ibu bapaku untuk mendapatkan cukup wang untuk membeli telefon bimbit yang aku sukai. Semua kawan-kawan aku ada telefon bimbit termasuk kau,” jawab Fatah.

            Tiba-tiba, ibu, bapa dan kakak Fatah muncul di hadapan mereka. Fatah berasa cemas apabila melihat ahli keluarganya di situ. Dia ingin melarikan diri tetapi Amri menarik tangan Fatah dan berjalan menuju ke arah ahli keluarga Fatah. Apabila bertemu keluarga Fatah, Amri memberitahu keluarga Fatah apa yang berlaku. Setelah mendengar cerita itu, Fatah berasa bersalah kerana dia tidak berfikir sebelum bertindak. Keluarga Fatah berasa amat bersyukur kerana Fatah mempunyai sahabat karib seperti Amri. Hubungan Fatah dan Amri semakin erat selepas kejadian ini.

Ditulis oleh:

Marsya Adlyna Bte Noor Azhar