Rabu, 24 Ogos 2016

Mak Minah

        Mak Minah mengusap rambut anak kesayangannya yang sedang lena tidur dengan penuh kasih. Anaknya baharu sahaja tidur kerana gigih mengulangkaji pelajarannya. Dia benar-benar mahu berjaya dalam pelajarannya kerana mahu mengubah kehidupan mereka kelak. Dahi Mak Minah berkerut kerana apabila teringat bagaimana mereka tinggal berdua sahaja. Dua tahun yang lalu, Mak Minah kehilangan suaminya, Pak Johari, yang merupakan satu-satunya pencari nafkah dalam keluarganya.

       Pak Johari bertugas sebagai seorang kelasi kapal. Dia terjatuh di tengah lautan dari kapal yang dia bertugas. Sehingga hari ini Pak Johari masih belum ditemui. Akilah, anak tunggal Mak Minah dan Pak Johari, percaya yang bapanya masih hidup lagi. Dia memberitahu ibunya, selagi dia tidak melihat jasad bapanya, dia tidak akan berfikir bahawa bapanya sudah mati. Ibunya sebaliknya sudah putus harapan bahawa suaminya masih hidup. Mak Minah adalah seorang surirumah sepenuh masa. Namun setelah kehilangan suaminya, dia akur dia harus menggantikan tempat suaminya untuk mencari nafkah. Duit simpanan, dan pampasan dari tempat kerja suaminya semakin hari semakin susut.
 
      Mak Minah menemui jalan buntu kerana tidak pernah ada pengalaman bekerja selain membasuh pakaian di rumah-rumah orang. Ini disebabkan kerana Mak Minah bersekolah setakat sampai tahap sekolah rendah sahaja. Perbelanjaan Akilah menuntut di politeknik amat besar. Ini belum termasuk duit makan, pakaian, bil rumah dan perubatan.

       Mak Minah bersyukur Akilah seorang anak yang bijak dan gigih. Mak Minah tidak mahu anaknya itu tidak berpelajaran sepertinya. Akilah juga seorang anak yang baik dan bertimbangrasa. Dia tidak meminta-minta ibunya apa-apa barang baru. Mereka hidup ala kadar sahaja.

       Lagi beberapa hari lagi, Ramadan akan tiba. Tahun ini adalah tahun kedua mereka tidak menyambut puasa dan hari raya bersama suami dan bapa tercinta. Mak Minah seperti tiada semangat untuk menyambutnya. Namun, dia teringin untuk membuat Akilah gembira. Dia berasa ini masanya untuk dia mengambil peluang untuk mencari duit. Dia tahu membuat beberapa jenis biskut raya dan dia terfikir untuk menjualnya. Mudah-mudahan dengan mendapat sedikit keuntungan, dia boleh membeli baju raya baru untuk Akilah.

       Apabila Mak Minah memberitahu Akilah tentang rancangannya, anaknyalah orang yang paling gembira dan menyokong kuat. Akilah cadangkan untuk promosi biskut raya jualan ibunya di Internet melalui Facebook dan Instagram. Usaha ibu dan anak itu terbukti berjaya. Mereka menerima banyak tempahan dan keuntungan.

       Syawal yang dinanti-nantikan pun akhirnya tiba. Dari hasil jualan kuih Mak Minah, dia dapat membeli dua pasang baju raya untuk Akilah dan dirinya. Dia juga memasak beberapa lauk-pauk raya seperti ketupat, lodeh, rendang, sambal goreng, ayam masak merah dan serondeng. Akilah berasa gembira melihat ini semua. Namun dalam hati kecilnya dia berkata, alangkah lebih bahagia jikalau bapanya ada bersama-sama dengan mereka.

      Sepanjang Ramadan, Akilah dan ibunya tidak pernah melepaskan peluang bersolat terawih. Akilah juga tidak pernah putus-putus berdoa mengharapkan kepulangan bapanya.

       Ding! Dong! Bunyi loceng pintu. “Assalamualaikum,” suara seorang lelaki kedengaran.

       Tiba-tiba, lamunan Akilah terhenti. Dia bergegas ke pintu pagar rumahnya. Dia melihat ibunya diri termangu dengan airmata berjuraian. Rupa-rupanya suara yang memberi salam adalah suara bapanya. Akhirnya, bapanya yang sudah menghilang, dan disangka sudah mati, sudah pulang.

       Mereka bertiga tidak berkata apa-apa. Mereka hanya berpelukan dengan menangis, tanda syukur yang Pak Johari selamat. Sesungguhnya hari raya tahun ini sangat bermakna buat mereka sekeluarga.

Ditulis oleh:
Amir Mukhtar Bin Muhammad Noor (5B)