Rabu, 24 Ogos 2016

Atika

         Atika. Wajahnya selalu terbayang di ruang mataku. Aku tidak dapat berikan tumpuan sepenuhnya pada apa yang sedang Cikgu Sarah ajarkan di dalam kelas. Rasa rindu pada Atika tiba-tiba menggenggam dadaku. Kenapalah engkau harus pergi dan tinggalkan aku, Atika? Walaupun kita masih boleh berhubung antara satu sama lain, namun, aku masih tetap rindu untuk berhadapan denganmu.

       Bermulanya persahabatan aku dengan Atika pada masa aku baru menjejakkan kaki ke bangku sekolah rendah. Pada hari pertama sekolah rendah, aku berasa sangat takut dan darahku gemuruh sekali. Apabila aku masuk ke dalam kelas yang baharu, aku terus ke tempat duduk yang terletak di hadapan meja guru. Tiba-tiba, aku ternampak seorang murid perempuan yang kelihatan senyap. Aku berasa agak malu pada mulanya tetapi aku bertanya siapakah namanya dan dia menjawab bahawa namanya ialah Atika lalu dia bertanyakan soalan yang sama kepadaku pula. Aku memberitahunya namaku, Dalila. Kami pun mula berbual lebih tentang diri kami masing-masing.

         Pada waktu rehat, aku pergi ke kantin bersama Atika. Agak sukar untuk kami mencari tempat duduk kerana kantin pada masa itu sangat sesak. Mujur lah, Atika ternampak tempat kosong yang muat untuk dua orang sahaja. Kami pun letakkan botol air kami dan menunggu di barisan untuk membeli makanan. Kami bercakap-cakap sambil makan. Pada hari pertama di sekolah rendah dan pada saat itu juga lah aku dapat rasakan bahawa Atika dan aku akan menjadi kawan baik.

            Setiap hari ke sekolah, aku akan rasa teruja kerana aku sentiasa menantikan masanya untuk bertemu dengan Atika. Ada sahaja perkara yang menyeronokkan yang dapat kami lakukan bersama di sekolah. Setiap pengalaman baharu yang aku lalui di sekolah, pasti ada Atika bersamaku. Alhamdulillah kami berada di dalam kelas yang sama pada tahun-tahun berikutnya. Kami duduk bersebelahan di dalam kelas dan sentiasa bersama pada waktu-waktu yang lain. Kami  menjadi kawan yang sangat rapat bagai isi dengan kuku.

         Pada tahun kelima persahabatan kami, satu perkara berlaku. Semasa waktu rehat, Atika memberitahu aku berita yang amat mengejutkan. Raut mukanya begitu suram dan sedih membuatkan jantungku berdebar-debar. Suara Atika tergetar-getar memberitahuku. Syarikat di mana ayah Atika bekerja mengarahkan ayahnya berpindah ke negara Australia. Yang menjadi persoalan besar bagi Atika adalah seisi keluarganya harus pergi ke sana termasuk Atika sekali. Mereka akan berhijrah ke Australia. Fikiran Atika menjadi buntu. Dia bertanya kepada aku apa yang harus dilakukannya? Sebaik sahaja mendengar berita itu keluar daripada mulut Atika, aku menjadi kaku. Jantungku seakan-akan terhenti!

Tiba-tiba, aku mendapat idea. Aku bercadang kepada Atika supaya dia meminta keizinan daripada ibunya agar membenarkan Atika untuk terus tinggal di Singapura bersama keluargaku. Ibu Atika dan ibuku juga telah menjadi kawan rapat ekoran persahabatan kami. Secepat kilat, Atika terus pergi ke telefon awam yang berada di kantin untuk menghubungi ibunya.

          Aku melihat Atika sambil memerhatikan apa yang disampaikannya kepada ibunya. Aku terasa pilu mendengar Atika merayu kepada ibunya itu. Akhirnya, selepas sekurang-kurangnya lima belas minit, Atika meletakkan gagang telefon itu dengan muka yang amat kecewa. Ibunya tidak mengizinkan Atika tinggal bersama keluargaku. Aku pun turut berasa kecewa. Kami pulang ke bilik darjah dengan hati yang diselubungi perasaan sedih dan tidak pasti apa yang harus kami lakukan. Pelajaran hari itu menjadi begitu membosankan.

        Setibanya aku tiba di rumah, aku terus memeluk ibuku dan memberitahunya tentang pemergian Atika ke Australia. Aku berasa begitu rasa sedih kerana akan kehilangan seorang teman karib. Ibu memujuk aku dan mengingatkan aku bahawa aku masih boleh berkawan dengan Atika melalui alam siber. Kami boleh gunakan ‘webcam’ untuk berbual dan mengirim pesanan-pesanan melalui telefon bimbit. Ibu juga berjanji akan membawa aku ke Australia satu hari nanti semasa musim cuti sekolah untuk menziarahi Atika dan keluarganya. Rasa sedih aku tiba-tiba surut. Aku tidak akan kehilangan Atika rupanya.

             Hari perpisahan di antara aku dan Atika pun tiba. Aku dan keluargaku menghantar Atika sekeluarga ke Lapangan Terbang Changi. Aku sempat membelikan hadiah untuk Atika buat kenangan persahabatan kami. Aku membelikannya boneka kegemarannya supaya dia akan teringat kepada aku setiap kali bermain boneka itu. Kami juga mengambil banyak gambar bersama. Kami asyik berdakap-dakapan.

Apabila saatnya tiba untuk Atika pergi menaiki pesawat, aku melambai kepadanya sambil tersenyum. Titisan air mataku membasahi pipi tanpa aku sedari. Mungkin itulah kali terakhir aku dapat menatap wajah Atika yang sungguh cantik. Entah bila lagi aku dapat bertemu dengannya? Aku tidak akan pernah melupakanmu. Engkaulah teman karibku, Atika.

Ditulis oleh:
Dayana Binte Eddie (5F)