Rabu, 24 Ogos 2016

Sentiasa Di Hati


          Aku berdiri di tepi  jendela berlangsir ungu muda. Hujan yang selebat-lebatnya membasahi bumi. Aku menatap gambar rakan sejatiku, arwah Amyra.  Tanpa aku sedari, air mataku mengalir, membasahi pipiku. Fikiranku melayang dan aku mengenang kembali memori-memori yang akan aku ingati hingga ke akhir hayat. Walaupun jasad arwah Amyra sudah tiada lagi, dia akan sentiasa berada di hatiku.
          Hari pertamaku di sekolah menengah berjalan dengan lancar. Aku mula mengenali beberapa rakan sedarjahku. Aku berkenalan dengan ramai orang. Namun, aku ada perhatikan seorang murid perempuan di belakang kelas. Dia kelihatan  seperti tidak biasa untuk bercampur. Aku pun menghampirinya dengan hati  yang gentar.
          “Hai, saya Nurynn. Nama awak?” Soal aku kepadanya.
          “Oh, nama saya Amyra,” jawab perempuan itu dengan nada yang lembut bagaikan bidadari.
           Wajah Amyra sangat ayu bagaikan bidadari syurga. Dengan tingkah lakunya yang sopan itu, aku sudah boleh agak bahawa hatinya juga selembut sutera.
           Hari demi hari, persahabatan antara aku dan Amyra semakin erat. Lama kelamaan, persahabatan kami bagai isi dengan kuku. Walaupun kami kadangkala difitnah dan sebagainya, aku percaya bahawa ketulusan persahabatan ini adalah punca mengapa kami tetap tidak berpisah. Susah atau senang, kami tetap akan mengharungi cabaran dan rintangan hidup bersama. Tidak pernah sesekali Amyra meninggalkanku. Ini menunjukkan keikhlasannya berkawan dengan aku. Aku seperti tidak boleh hidup tanpanya di sisi. Dialah rakan abadi aku.
         Namun, kesihatanku makin meleset dan aku semakin lemah dan cepat berasa letih. Oleh sebab perasaan risau akan keadaanku yang kurang stabil mengharungi dirinya, Amyra berdegil dan mahu menemani aku sekeluarga untuk pergi ke pemeriksaan kesihatanku.
        Semasa peperiksaan kesihatan aku dijalankan, doktor telah mengesahkan bahawa  aku menghadapi kegagalan kedua-dua buah pinggangku dan aku memerlukan pemindahan buah pinggang secepat mungkin. Namun, di manakah aku boleh mendapat pendermanya?
        “Doktor, bagaimana keadaan anak saya boleh jadi begini? Dia telah mengamalkan cara hidup yang sihat,” soal ibuku dengan nada yang sedih tidak terhingga.
          “Ini semua takdir Tuhan. Kami belum lagi mendapat tahu punca kegagalan kedua-dua buah pinggang Nurynn ,” ujar doktor itu.
         Kata-kata doktor  itu bagaikan petir  yang memanah lubang telingaku. Kesedihan berlabuh di setiap wajah yang hadir, terutama sekali Amyra.
       Secara  mengejut, pada waktu itu juga Amyra menyuruh doktor untuk memeriksa buah pinggangnya  jika ia sesuai untuk didermakan salah satu kepada aku. Besar sungguh pengorbanan Amyra untuk aku.
          Selepas peperiksaan itu, senyuman manis terukir di bibir doktor. Doktor itu berkata bahawa aku bernasib baik kerana buah pinggang Amyra sesuai  didermakan kepada aku. Apabila sesi  pemeriksaan kesihatan aku sudah tamat, aku dan Amyra pun pulang ke rumah  masing-masing.
           Selepas Amyra berbincang dengan keluarganya tentang hasratnya untuk mendermakan buah pinggangnya kepada aku, keluarganya pun bersetuju, demi menyelamatkan nyawaku. Lantas, tarikh pembedahan aku dan Amyra pun ditetapkan.
          Hari pembedahan aku dan Amyra  tiba dengan sekelip mata. Aku bersyukur kerana pembedahan itu berjalan dengan lancar.
          Tidak lama selepas pembedahan itu, aku pun pulih semula. Aku meneruskan kehidupanku bersama orang-orang yang tersayang seperti dahulu sebelum kedua-dua buah pinggangku gagal.
         Malangnya, kegembiraan itu tidak bertahan lama. Beberapa bulan kemudian, Tuhan telah mengambil nyawa Amyra dalam sebuah kemalangan langgar-lari. Para doktor cuba untuk menyelamatkannya namun gagal. Ternyata, Tuhan lebih menyayanginya. Pemergian Amyra telah  meninggalkan parut yang amat mendalam pada diriku. Hatiku terasa pedih bagai ditusuk sembilu.
         Namun, aku harus tabah mengharungi kehidupan ini. Kadangkala, aku berfikir mengapa arwah  Amyra yang pergi dahulu sebelum aku.  Namun, aku percaya bahawa segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Aku tetap bersyukur kerana telah diberi peluang untuk meneruskan kehidupanku.  Aku berjanji kepada diriku bahawa aku tidak akan melupakan arwah Amyra dan jasanya.
          Guruh yang kuat telah mengakhiri lamunanku. Hujan yang lebat masih belum berhenti. Aku menyimpan gambar arwah Amyra ke dalam laci dan bercadang untuk mendengar radio. Kebetulan pula, terdengar lagu ‘Di Mana Kan Ku Cari Ganti’.  Apabila  aku berfikir  balik, aku sebenarnya tidak perlu untuk mencari seorang pengganti serupa dengan arwah Amyra kerana dia sentiasa di dalam hatiku.
             Pergi ke kedai membeli kelapa,
                 Untuk dibuat urap pegaga; 
            Walaupun dirimu sudah tiada,
                 Kenangan dan pengorbananmu takkan ku lupa.
Ditulis oleh:
Nur Angelina Binte Abdul Rahim (6F)