Rabu, 24 Ogos 2016

Kisah Mak Minah

           Mak Minah mengusap rambut anak kesayangannya yang sedang lena tidur. Anaknya baharu sahaja tidur kerana gigih mengulangkaji pelajarannya. Dia benar–benar mahu berjaya dalam pelajarannya kerana mahu mengubah kehidupan mereka kelak. Dahi Mak Minah berkerut apabila teringat bagaimana mereka tingga dua beranak sahaja. Dua tahun yang lalu kehidupannya amat bahagia, amat sempurna.

Pada pagi hari Jumaat itu, Mak Minah sedang sibuk melayan anaknya, Hadi. Ketika itu, Hadi sedang bersiap sedia untuk ke sekolah.

“Ibu! Stoking Hadi mana?” teriak anak kesayangan Mak Minah.

“Ini dia. Stoking sendiri pun tidak tahu letak di mana,” jawab Mak Minah sambil mengusik anaknya.

Memang sudah jadi kebiasaan si anak dan si ibu untuk bergurau senda. Ayah Hadi hanya tersenyum melihat gelagat mereka. Pagi itu, ayah Hadi telah berjanji untuk menghantarnya ke sekolah dengan syarat Hadi tidak boleh lewat. Sebab itulah, Hadi sedang kelam-kabut mencari stokingnya.

Selepas bersalaman dengan ibunya, Hadi memakai topi keledarnya dan duduk di bahagian pembonceng motosikal ayahnya. Semasa motosikal ayahnya bergerak, Hadi melambai–lambai tangannya ke arah ibunya. Wajah ibunya sedang melambai-lambai tangannya kian hilang apabila mereka semakin jauh.

Tidak lama kemudian, ayah Hadi tiba di simpang lampu isyarat yang pertama. Ayah Hadi pun menghentikan motosikalnya kerana lampu isyarat itu bertukar kepada warna merah.

         “Pon! Pon! Pon!” bunyi hon lori yang sedang bergerak ke arah Hadi dan ayahnya.

            Lori itu bergerak dengan cepat dan tidak mahu berhenti.

“Aduh!” jeritan Hadi kedengaran.

Hadi telah mengalami kesakitan yang tidak pernah dialaminya. Tiba-tiba,  semua di sekelilingnya menjadi hitam.

“Ayah...” suara Hadi lemah memanggil ayahnya sebelum dia pitam.

Sementara itu, Mak Minah sedang menghirup teh panas apabila dia menerima panggilan dari hospital. Cawan yang dipegangnya terpecah seribu bahagian. Dengan cepat, dia bergegas ke hospital di mana Hadi dan suaminya berada. Mulutnya tidak terhenti-henti terkumat-kamit membaca doa agar suami dan anaknya selamat.

Sebaik sahaja Mak Minah tiba di hospital, Hadi membuka matanya. Dia terbau bau ubat-ubatan dan terasa dirinya di atas katil. Kemudian, dia terlihat wajah ibunya yang cantik. Hadi sedar bahawa dia sedang berada di hospital. Mak Minah mencium dahi anaknya. Hadi tersenyum tetapi senyumannya tidak dibalas. Mak Minah hanya menunjukkannya wajah yang agak sedih lalu mula menangis. Beratnya hati Mak Minah untuk menyampaikan berita tentang suaminya kepada Hadi. Dia sendiri betul tahu dapat menerima berita itu.

Sebenarnya, sebelum Mak Minah masuk ke dalam bilik Hadi, doktor sudah memberitahunya bahawa suaminya telah terkorban dalam kemalangan itu. Mak Minah seolah-olah mahu rebah sahaja tetapi dia tabahkan diri apabila doktor memberitahunya bahawa Hadi masih hidup. Mak Minah tahu dia harus kuatkan diri demi anak kesayangannya. Namun, dia tetap harus menyampaikan berita buruk itu kepada Hadi.

“Hadi, ibu tahu kamu amat menyayangi ayah kamu. Namun, kita tidak boleh melanggar takdir Tuhan. Allah lebih menyayanginya. Lori yang melanggar motosikal ayah kamu telah menyebabkan ayah kamu tercampak beberapa meter dari motosikalnya dan ayah kamu meninggal dunia di tempat kejadian,” luah Mak Minah kepada Hadi.

Air mati Hadi mula mengalir tidak terhenti-henti. Muka Hadi menjadi pucat macam mayat. Hadi menangis teresak-esak. Kalaulah dia tidak mendesak ayahnya untuk menghantarnya pada pagi itu, ayahnya mungkin masih berada di sisinya.

Namun, Hadi sedar bahawa ibunya masih hidup dan masih memerlukannya. Dia pun meletakkan azam untuk belajar bersungguh-sungguh agar dia boleh menjaga ibunya dengan baik.  Hadi berdoa agar roh ayahnya selamat dilindungi Allah.

Dengkuran Hadi membuat Mak Minah tersentak daripada lamunannya. Dia mengelap air matanya apabila teringat akan peristiwa sedih itu. Namun, dia tetap bersyukur kerana Hadi masih ada. Hadi lah yang menjadi penawar luka hatinya. Hadi merupakan anak yang baik yang pandai menjaga Mak Minah. Walaupun mereka miskin, mereka gembira. Itu sahaja yang diminta Mak Minah buat masa sekarang.

 Ditulis oleh:

Nabilah Binte Muhammad Halim (5F)